lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Dungun Gesa Kerajaan Tarik Balik Kerjasama Starbucks
Ahli Parlimen Dungun Gesa Kerajaan Tarik Balik Kerjasama Starbucks
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
06 Oct 25
137

DUNGUN, 6 Oktober - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dengan tegas menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) supaya menarik balik keputusan Tourism Malaysia menjalin kerjasama rasmi dengan syarikat Starbucks sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Wan Hassan menuntut penjelasan segera, justifikasi MOTAC bekerjasama dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel serta menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

"Langkah ini amat mengecewakan kerana syarikat tersebut secara konsisten dikaitkan dengan sokongan terhadap rejim Zionis Israel yang terus menindas dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa," jelasnya.

Katanya, dalam suasana rakyat Malaysia kini bersatu hati memperjuangkan solidariti terhadap Palestin termasuk memboikot produk dan jenama yang menyokong Israel, keputusan kerajaan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat yang terang-terangan menyokong rejim penindas itu adalah amat tidak wajar dan menyinggung hati nurani rakyat.

"Kerajaan sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat, mempamerkan kepekaan terhadap nilai kemanusiaan, prinsip kenegaraan serta sentimen umat Islam, bukannya bertindak membelakangkan aspirasi rakyat dan mengundang kemarahan umum," tempelaknya.

Beliau dengan tegas menggesa kementerian itu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kerjasama dan pelaburan dengan syarikat Starbucks sebagai tanda menghormati sensitiviti rakyat. 

Di masa yang sama beliau turut mempersoalkan asas atau keperluan untuk menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, sedangkan perkara tersebut jelas bertentangan dengan pekeliling kerajaan, norma budaya, dan nilai asas negara.

"Tindakan menghidangkan arak secara terbuka dalam majlis rasmi pelancaran Kalendar Acara 2026 Tourism Malaysia yang turut dihadiri oleh Menteri. 

"Perbuatan ini bukan sahaja bertentangan dengan sensitiviti umat Islam sebagai majoriti rakyat Malaysia, malah tidak menghormati Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan," tegasnya.

Beliau juga mendesak supaya Kementerian berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda menghormati sensitiviti.

"Memperbetulkan kesilapan yang berlaku dan menunjukkan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap tindakan yang telah menjejaskan maruah institusi rasmi negara," tegasnya lagi..

Menurutnya, laporan turut menyebut bahawa beberapa tetamu beragama Islam terpaksa meninggalkan majlis kerana tidak selesa dengan suasana yang berlaku. 

"Ini merupakan suatu gambaran jelas bahawa pihak penganjur gagal memahami batas dan nilai budaya negara ini," luahnya melahirkan rasa kecewa dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 5 Oktober.


Tag :

Artikel Berkaitan