KUALA NERUS, 6 Oktober – Penampilan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membuktikan keupayaan pasukan itu terus berada pada tahap membanggakan meskipun berdepan pasukan elit dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kejayaan pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Rosli, menamatkan Peringkat Ketujuh Melaka–Medini di tempat kedua menjadi detik manis selepas lima tahun pasukan itu tidak menaiki podium dalam kejohanan berprestij tersebut.
"Dalam tempoh beberapa hari perlumbaan, TSG berjaya beberapa kali menaiki podium, dan yang terakhir di Stage 7 apabila Aiman menamatkan saingan di tempat kedua.
"Ini satu pencapaian yang cukup manis kerana sudah lima tahun kita tidak mencapai kejayaan seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun TSG tidak meraih kejuaraan keseluruhan, kemampuan pasukan menyaingi kelab profesional antarabangsa membuktikan kekuatan dan daya saing tinggi pelumba tempatan.
"Dengan persaingan hebat bersama kelab-kelab elit dunia, prestasi ini sudah cukup membanggakan dan menunjukkan TSG kekal sebagai antara pasukan terbaik rantau ini," ujarnya.