lightning-solid
Berita :
Perkukuh Pengupayaan Wanita Melalui Hari Sayyidatina Aisyah
Perkukuh Pengupayaan Wanita Melalui Hari Sayyidatina Aisyah
Rohayati Ripin
06 Oct 25
119

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh agenda pengupayaan wanita dengan menganjurkan Program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bakal berlangsung pada 12 Oktober ini di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Al-Watiqu Billah, Kuala Nerus.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata program ini berteraskan semangat tokoh agung Islam, Sayyidatina Aisyah R.A, yang dikenali sebagai simbol keilmuan, keberanian dan kepimpinan.

“Wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan masyarakat. Sayyidatina Aisyah bukan sahaja seorang isteri Rasulullah SAW, tetapi juga perawi hadis, guru ummah dan ilmuwan wanita yang menjadi teladan terbaik bagi Muslimah sepanjang zaman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, pada hari ini.

Menurut bancian penduduk 2020, hampir 50 peratus daripada 1.2 juta penduduk Terengganu adalah wanita.

“Meskipun wanita Terengganu memainkan peranan besar dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah, masih ramai yang berdepan cabaran dari segi keyakinan diri, akses ilmu serta sokongan moral,” ujar Roslina.

Justeru itu, program ini sebagai platform untuk meningkatkan kefahaman, menyemai kesedaran serta melahirkan ikon wanita negeri dalam pelbagai sektor.

Dengan penyertaan lebih 2,000 peserta termasuk kakitangan kerajaan, GLC, NGO, mahasiswa dan orang awam, Hari Sayyidatina Aisyah 2025 bertemakan “Sayyidatina Aisyah: Wanita Inspirasi” serta berkonsepkan batik.

“Antara objektif utama penganjuran ini ialah meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan wanita dalam pembangunan ummah dan menyemai kesedaran kepimpinan wanita dalam keluarga serta masyarakat.

“Selain itu, mewujudkan ruang interaksi serta perkongsian ilmu sesama wanita dan melahirkan ikon wanita Terengganu dalam bidang strategik,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional komited menjadikan program ini sebagai wadah memperkukuh jati diri wanita agar mereka lebih berilmu, berdaya saing dan berperanan aktif di peringkat negeri serta negara.

“Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar hadir memeriahkan Program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengangkat martabat wanita di Terengganu.

“Kehadiran masyarakat bukan sahaja memberi semangat kepada kaum wanita, malah menjadi bukti kebersamaan dalam membina generasi berilmu, berdaya saing dan berjati diri Islam,” tambahnya lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan