KUALA NERUS, 6 Oktober – Kerajaan Terengganu terus komited memperkukuh masa depan pendidikan negeri dengan menyalurkan bantuan one-off berjumlah RM1.99 juta kepada 19,932 calon peperiksaan awam di seluruh negeri sebagai dorongan semangat menjelang peperiksaan tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif di bawah Yayasan Terengganu itu mencerminkan keprihatinan dan kebersamaan kerajaan negeri dalam memastikan calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM bersedia menghadapi cabaran akademik dengan penuh keyakinan dan iltizam.
"Program ini salah satu usaha untuk membuktikan kebersamaan kita bersama-sama dengan calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM supaya mereka mempersembahkan yang terbaik untuk peperiksaan serta memperoleh keputusan cemerlang nanti.
"Itu doa kami daripada pihak kerajaan negeri kepada semua calon-calon yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Majlis Penyampaian Bantuan One-Off kepada Calon Peperiksaan Awam Negeri Terengganu Tahun 2025 peringkat Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 2,605 calon daripada 17 buah sekolah menengah di daerah Kuala Nerus turut menerima bantuan pendidikan berjumlah RM260,500 dengan kadar RM100 seorang, melibatkan 2,424 calon SPM, 169 calon STPM dan 12 calon STAM.
"Gunakanlah bantuan bernilai RM100 ini secara bijaksana dan bertanggungjawab.
"Ia bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi tanda kasih serta dorongan moral agar anda lebih bersemangat menghadapi detik penting ini," tambahnya.
Hishamuddin turut menzahirkan harapan agar semua calon menjadikan peperiksaan yang bakal diduduki sebagai langkah awal membina masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna.
"Jadikanlah peperiksaan ini sebagai permulaan ke arah menara gading serta kehidupan yang gemilang.
"Ingatlah, setiap kejayaan anda adalah hadiah paling berharga buat ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu berkorban demi memastikan anda berjaya," ujarnya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon peperiksaan awam di negeri ini agar terus melangkah dengan penuh keyakinan dan membawa nama Terengganu sebagai negeri yang unggul dalam kecemerlangan pendidikan.
