KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, telah mengemukakan satu usul tergempar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi membahaskan tindakan kerajaan menjemput bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) itu dikemukakan secara rasmi semalam (6 Oktober) dan menuntut agar perkara tersebut disegerakan untuk perbahasan memandangkan ia melibatkan kepentingan awam dan maruah negara.
Menurut Ahmad Amzad, usul itu didorong oleh keperluan mendesak untuk Dewan Rakyat menyatakan pendirian rasmi berhubung jemputan kepada seorang tokoh yang terkenal dengan dasar pro-Israel, termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan menyokong penempatan haram Zionis.
"Usul ini adalah perkara tertentu kerana ia melibatkan tindakan rasmi Kerajaan Malaysia menjemput individu yang secara terbuka menyokong rejim zionis Israel," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa isu ini turut melibatkan kepentingan awam kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam, terutamanya selepas insiden kekejaman rejim Zionis terhadap Global Sumud Flotilla yang turut disertai sukarelawan dari Malaysia.
"Kehadiran Trump boleh menimbulkan persepsi bahawa Malaysia mengabaikan penderitaan rakyat Palestin dan tunduk kepada kuasa yang secara terbuka melindungi Zionis," ujar beliau.
Gesaan untuk menyegerakan perbahasan ini dibuat kerana Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober, iaitu kurang dari sebulan lagi.
Menurut Ahmad Amzad, tanpa ketetapan daripada Parlimen, tindakan kerajaan itu berisiko menjejaskan imej dan prinsip dasar luar Malaysia di persada antarabangsa, khususnya di mata dunia Islam.
"Saya memohon agar Dewan yang mulia ini membahas perbahasan ini dengan segera bagi menyatakan pendirian rasmi bahawa Malaysia menolak sebarang penghormatan terhadap individu yang menyokong kezaliman Zionis serta menegaskan komitmen negara terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin," tambahnya.
Beliau berharap agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' (Dr.) Johari bin Abdul, akan meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan demi menjaga pendirian tegas negara terhadap isu Palestin dan keadilan global.
"Malaysia mesti berdiri di sisi kebenaran walau siapa pun tetamu yang datang," tegasnya.