Artikel "Semasa" Terkini
Infrastruktur Sukan DUN Sura Diperkasa
DUNGUN, 8 Oktober – Infrastruktur sukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura kini diperkasa dengan projek pembinaan gelanggang bola sepak pantai yang hampir siap sepenuhnya dan dijangka dapat digunakan dalam masa terdekat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, projek pembangunan itu adalah salah satu inisiatif utama untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti sukan serta memupuk gaya hidup sihat dalam komuniti setempat.
“Menerusi projek ini, kami berhasrat menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti dan mampu menjadi pusat tarikan bagi belia di DUN Sura,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Facebooknya hari ini.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menambah, gelanggang bola pantai yang dibina bukan sahaja akan menjadi tapak latihan dan pertandingan, malah menjadi venue utama bagi kejohanan bola sepak pantai Piala ADUN Sura yang akan berlangsung pada bulan November nanti.
“Kejohanan ini adalah langkah pertama kami untuk mengaktifkan penggunaan gelanggang baharu ini dan saya menyeru semua yang berminat supaya mendaftar segera bagi menyertai acara tersebut,” ujarnya lagi.
Projek pembangunan ini dilihat mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan sukan di kawasan tersebut serta membuka peluang untuk memupuk bakat belia dalam bidang sukan bola sepak pantai.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau mendaftar penyertaan kejohanan bolehlah menghubungi pejabat ADUN Sura atau melayari laman rasmi Facebook ADUN Sura.
08 Oct 25
67
Ahli Parlimen Besut Gesa Henti Sindrom Nuri, Tegur Kelekaan Tadbir Urus
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, menegur kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan kerajaan dalam isu aset usang serta hasil negara yang gagal direalisasikan, sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2025.
Ketika membahaskan laporan itu di Dewan Rakyat petang tadi, beliau berkata perbelanjaan besar bagi penyenggaraan aset lama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jelas menunjukkan kebergantungan berterusan terhadap aset yang sudah berusia dan tidak lagi ekonomik untuk diselenggara.
“APMM telah membelanjakan RM229.93 juta bagi kapal melebihi usia 30 tahun, dan RM78 juta lagi bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun. Ini bukan lagi langkah berhemah, sebaliknya tanda kebergantungan yang berisiko,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keperluan kerajaan mengelak daripada terperangkap dalam apa yang disebut sebagai sunk cost fallacy atau 'kesesatan kos lepas', iaitu terus berbelanja hanya kerana pelaburan lama yang telah dibuat tanpa menilai keberkesanan semasa.
“Kita sudah belajar daripada pengalaman helikopter Nuri, senggara terlalu lama sehingga menelan kos lebih besar daripada membeli baharu, dan akhirnya mengorbankan nyawa anggota keselamatan. Jangan biar ‘Sindrom Nuri’ berulang di laut pula,” tegasnya.
Che Mohamad turut mempersoalkan ketidakaturan dalam pengurusan aset APMM, termasuk bayaran hampir RM60,000 bagi peralatan yang tidak dibekalkan serta RM140,000 bagi peralatan yang tidak menepati spesifikasi.
Katanya, kelemahan ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi melibatkan keselamatan anggota di lapangan apabila beberapa ujian penting bagi memastikan kelayakan pelayaran (seaworthiness) kapal didapati tidak dijalankan sebelum pendaftaran aset.
“Kegagalan seperti ini membahayakan anggota maritim yang bertugas di laut, dan mencerminkan pengurusan aset yang longgar serta tidak menepati prinsip tadbir urus yang baik,” ujarnya lagi.
Dalam perbahasan sama, beliau turut menarik perhatian terhadap isu potensi hasil kerajaan yang tidak direalisasikan seperti dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.
Antaranya, anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115 juta yang boleh dikutip sekiranya nombor pendaftaran kenderaan tidak aktif ditawarkan kepada umum pada harga minimum, selain denda dan sewaan yang tidak dikutip melibatkan jumlah puluhan juta ringgit.
“Akaun belum terima hasil meningkat kepada RM44.55 bilion pada 2024 berbanding RM39.52 bilion tahun sebelumnya, peningkatan 12.8 peratus. Daripada jumlah itu, RM20.6 bilion telah melebihi tempoh enam tahun dan berisiko dihapus kira,” katanya.
Beliau berkata, setiap hasil yang tidak dikutip bermaksud kehilangan sumber untuk rakyat, sama ada dalam bentuk kemudahan awam, pendidikan mahupun keselamatan.
“Kebocoran hasil bukan kerana kecurian, tetapi kerana kelekaan pentadbiran,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Besut menegaskan bahawa teguran terhadap laporan audit bukan bertujuan menyerang kerajaan, sebaliknya untuk memperbetulkan kelemahan dan memastikan setiap sen hasil negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.
“Malangnya, bila kita menegur, ada pula yang menyerang secara peribadi. Kalau nak menjilat, jilatlah, tapi jangan sampai menuduh orang lain bermacam-macam,” katanya dengan nada tegas.
Beliau turut mengingatkan bahawa tadbir urus (governance) yang sering dilaungkan kerajaan perlu diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar slogan.
“Slogan ‘Malaysia Madani Bekerja’ nampak gah, tetapi laporan audit ini membuktikan pengurusan kewangan kerajaan masih sarat dengan kelemahan,” katanya.
08 Oct 25
215
18 Keluarga Dapat Rumah Baharu Selepas 15 Tahun Tersisih
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu penempatan 18 keluarga di Kampung Habib Mohsen, Kuala Kemaman yang berlarutan lebih 15 tahun akhirnya menemui penyelesaian apabila mereka bakal menerima rumah baharu hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata projek pembinaan rumah bagi keluarga terbabit kini telah memasuki fasa kedua dengan kemajuan kerja sebanyak 50 peratus.
“Alhamdulillah, inilah 18 buah rumah yang akan diberikan kepada penduduk yang terjejas. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MAIDAM atas usaha menyelesaikan masalah rakyat ini selepas lebih tiga tahun tertangguh.
“Doakan semoga semua proses berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, nama-nama penduduk yang masih belum menerima penempatan telah dibawa ke Pejabat Daerah dan MAIDAM untuk tindakan lanjut. Langkah ini membuka ruang penyelesaian selepas sekian lama mereka hidup dalam ketidakpastian.
Hanafiah turut yakin projek ini bakal menamatkan episod panjang penantian sejak 2009, sekali gus memberikan kehidupan lebih stabil kepada keluarga terlibat. Projek pembinaan rumah tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.1 juta.
Menurut rekod sejarah, Kampung Habib Mohsen mula didiami lebih 50 tahun lalu, apabila penduduk asal berpindah dari pesisir Kuala Kemaman akibat hakisan ombak.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir oleh PAS telah memindahkan sebahagian besar penduduk ke Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Fikri dan RTB Paya Berenjut, sebahagian lagi tidak berpindah.
Kehidupan penduduk berjalan seperti biasa sehinggalah pada 11 Jun 2009, ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka menerima notis amaran pengosongan tanah selepas waris pemilik asal menuntut semula kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan.
Ratusan penduduk telah dipindahkan ke penempatan semula RTB, namun 18 keluarga masih kekal di kawasan asal.
Mereka kemudian diarahkan oleh pihak Mahkamah untuk mengosongkan tapak tanah tersebut kepada pemilik asal.
Bagi menyelesaikan isu ini, hasil beberapa siri mesyuarat antara Kerajaan Negeri dan MAIDAM, dipersetujui untuk membiayai pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
07 Oct 25
2314
Terengganu Sambut Wira Sumud di Lapangan Terbang Sultan Mahmud
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Kerajaan Terengganu bakal meraikan kepulangan aktivis-aktivis kemanusiaan anak negeri yang menyertai Sumud Flotilla, sebuah misi antarabangsa membawa mesej solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin pada Khamis ini jam 2.30 petang.
Sambutan itu dijangka menjadi manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap keberanian dan pengorbanan mereka yang dianggap wira rakyat Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penyertaan rakyat Terengganu dalam misi tersebut membuktikan keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dan semangat kemanusiaan yang tidak berbelah bahagi.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap perjuangan rakyat Palestin serta menghargai keberanian aktivis yang menyertai misi berisiko itu.
"Kita berbangga kerana ramai rakyat Malaysia terlibat, khususnya rakyat negeri Terengganu," ujarnya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Dr. Khalil turut menyifatkan para aktivis tersebut sebagai lambang keberanian dan suara rakyat negeri yang memperjuangkan keadilan sejagat.
"Kita menganggap mereka adalah wira rakyat Terengganu dan menjadi wakil kepada rakyat Terengganu untuk membela isu Palestin," tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan sambutan rasmi bagi meraikan kepulangan wira-wira terbabit.
"Kita akan mengadakan sambutan bagi menyambut kepulangan wira-wira kita," katanya sambil menyifatkan ia tanda penghargaan terhadap perjuangan anak Terengganu di pentas antarabangsa.
Selain sambutan tersebut, Dr. Khalil turut mengumumkan tiga program utama berkaitan isu Palestin yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.
"Pada 10 Oktober akan diadakan program Perarakan Bot menyokong perjuangan rakyat Palestin.
"Pada 14 Oktober pula, program Maulid Akbar Untuk-Mu Al-Aqsa akan diadakan, manakala 17 Oktober akan berlangsung Ceramah Taufan Al-Aqsa yang bakal dihadiri tokoh-tokoh utama termasuk Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang akan menyampaikan ucaptama pada malam tersebut," jelasnya.
Dr. Khalil menyeru rakyat Terengganu agar terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin melalui doa, sokongan dan tindakan nyata, sebagai bukti keutuhan solidariti umat Islam sejagat.
07 Oct 25
10148
Kerajaan Negeri Jumpa PR1MA Teroka Jalan Siapkan Projek Terbengkalai
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Batu Rakit yang kini masih terbengkalai dijangka 'hidup' kembali selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perbincangan itu bertujuan bagi meneroka semula potensi projek tersebut.
Tambah beliau, pertemuan rasmi bersama pengurusan PR1MA turut membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik di Terengganu.
"Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam usaha membangunkan dan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa serta mampu milik untuk rakyat.
"Komitmen ini dizahirkan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama agensi persekutuan dan pihak berkaitan bagi memastikan setiap rakyat khususnya golongan B40 dan M40 berpeluang memiliki rumah sendiri.
"Pertemuan ini turut menumpukan kepada potensi tapak baharu untuk dimajukan serta cadangan meneruskan semula Projek PR1MA di Batu Rakit," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, semalam.
Turut bersama dalam kunjungan rasmi itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan delegasi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan).
Menurutnya lagi, kerajaan negeri optimis bahawa kerjasama erat dengan PR1MA akan membuka ruang lebih luas bagi pelaksanaan projek perumahan berkualiti di seluruh Terengganu.
"Kerajaan negeri optimis bahawa melalui kerjasama erat dengan PR1MA, lebih banyak projek perumahan berkualiti dan mampu milik dapat direalisasikan di negeri ini.
"Seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti, insya-Allah," ujarnya.
Projek PR1MA Batu Rakit yang diumumkan pada tahun terdahulu sebelum ini dirancang membabitkan 350 unit kediaman berharga antara RM195,000 hingga RM241,000 dengan keluasan 850 kaki persegi.
Ia merupakan skim projek perumahan yang telah dilancarkan pada 4 Julai 2011 oleh mantan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan dipertanggungjawabkan kepada PR1MA Corporation Malaysia sebagai pemaju.
Perumahan itu sebelum ini dirancang untuk mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Antara kemudahan lain disediakan ialah surau berhampiran pantai, dewan komuniti serta bilik pengurusan jenazah.
Namun, projek di Batu Rakit itu terpaksa dihentikan selepas mencatat kadar tempahan rendah (10 peratus tempahan) dan isu lokasi berhampiran pantai yang terdedah kepada masalah hakisan.
07 Oct 25
4418
Sekatan Kewangan Tak Halang Terengganu Laksana Kad Sejahtera
Oleh : Syahida Mohd/Safwan Syakir
KUALA NERUS, 7 Oktober – Sekatan kewangan oleh pihak tertentu tidak menghalang Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus melaksanakan program kebajikan Kad Sejahtera, demi memastikan rakyat tetap menerima manfaat kesihatan asas.
Program yang kembali dilaksanakan bagi Fasa 5 tahun 2025 ini menyaksikan seramai 4,224 rakyat Terengganu terpilih sebagai penerima, selepas dua tahun program tersebut terpaksa dihentikan akibat kekangan kewangan.
ADUN Bukit Tunggal, Lsr. Zaharudin Zahid, berkata Kad Sejahtera merupakan antara manifesto penting Kerajaan PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan telah dilaksanakan sejak tahun 2019 hingga 2022.
Namun kata beliau, pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan pada 2023 dan 2024.
“Kalau sebelum ini penerima dari tiga DUN, Tepoh, Seberang Takir dan Bukit Tunggal seramai 10,000 orang dengan peruntukan RM10 juta, kali ini jumlah penerima dikurangkan kepada sekitar 500 orang bagi ketiga-tiga DUN.
“Ia disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika berucap dalam Program Taklimat Kad Sejahtera Fasa 5 di Riyadh Resident, di sini pagi semalam.
Menurut Zaharudin, walaupun jumlah penerima dan nilai bantuan diubah, pendekatan baharu ini membolehkan manfaat program terus dirasai rakyat, walaupun dalam keadaan kewangan negeri yang terbatas.
“Sebelum ini nilai bantuan RM500 setahun. Tahun ini, kita sesuaikan kepada RM200 untuk tempoh enam bulan. Walaupun lebih kecil, ia tetap mampu meringankan beban rakyat dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mendahulukan kebajikan rakyat,” ujarnya.
Zaharuddin.
Pegawai Bahagian Undang-Undang TSIS, Kamal Ismail, yang hadir sebagai penceramah taklimat, menjelaskan bahawa bagi Fasa 5 ini, penerima tidak lagi menerima kad fizikal seperti sebelum ini.
Sebaliknya ujar beliau, nilai bantuan RM200 akan dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan penerima.
“Langkah ini bagi mengelakkan masalah kehilangan atau tertinggal kad seperti sebelum ini.
“Penggunaan kad ini turut meliputi semua tanggungan penerima, dan sebarang penambahan ahli keluarga boleh dimaklumkan kepada Ketua JPKK atau Pusat Khidmat Masyarakat untuk pendaftaran dalam tempoh dua minggu,” jelasnya.
Menurut Kamal lagi, terdapat 90 klinik panel sah di seluruh negeri yang terlibat dalam pelaksanaan Kad Sejahtera.
“Had penggunaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi setiap caj rawatan, membolehkan rakyat mengakses rawatan asas tanpa menanggung kos tinggi,” katanya.
Pelaksanaan program kali ini turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang turut menyalurkan sebahagian dana bagi menjayakan inisiatif ini.
07 Oct 25
2213
2,844 Peserta Meriahkan Jamboree Peminat 4X4 Malaysia
HULU TERENGGANU, 7 Oktober – Seramai 2,844 peserta bersama 948 kenderaan pacuan empat roda (4×4) dari seluruh negara berhimpun di Belukar Bukit, Hulu Terengganu sempena Program Jamboree Peminat 4X4 Malaysia Siri 4/2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Oktober itu berjaya menjadi antara jamboree 4x4 terbesar pernah diadakan di negeri itu.
"Acara kemuncak program ialah Terengganu International 4x4 (GPX4) Offroad Challenge 2025 yang diadakan pada hari terakhir dengan penyertaan 100 peserta bersama 50 buah kenderaan dalam dua kategori utama dan Litecore dan Hardcore.
“Pertandingan ini menjadi tumpuan utama peminat aktiviti lasak dari seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Team Jamboree 4×4 2025 bertempat di Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu, kelmarin.
Program berkenaan merupakan anjuran Kay Adventure 4x4 dan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama beberapa kelab Tempatan.
Razali berkata selain pertandingan, kawasan Belukar Bukit turut berubah menjadi ‘campsite’ besar apabila para peserta mendirikan khemah, berkumpul santai bersama keluarga dan rakan.
"Jamboree tersebut bukan sekadar medan perhimpunan bagi peminat 4x4, tetapi turut menjadi platform mengukuhkan semangat perpaduan komuniti dan kesukarelawan dari pelbagai latar belakang," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan memuji semangat gotong-royong tinggi sepanjang program berlangsung.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dan sukan lasak seperti ini.
"Hal ini kerana, ia bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah membantu menaikkan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi ekstrem,” ujarnya.
07 Oct 25
670
Syukur Tak Terhingga, Warga Emas Terima Rumah Baharu
KEMAMAN, 7 Oktober – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Sidek Muda, 82 tahun, apabila menerima kunci rumah baharu di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Tahun 2025 yang berlangsung di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang, baru-baru ini.
Sidek yang sebelum ini menetap di rumah lama yang uzur melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak.
"Khususnya kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta Kerajaan Negeri Terengganu kerana permudahkan dalam urusan mendapatkan rumah ini.
“Saya tak sangka terpilih dalam program PPKB. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu saya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Tahun 2025 yang berlangsung di Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang, baru-baru ini.
Majlis penyerahan rumah tersebut disempurnakan oleh Setiausaha MPK, Yang Mulia Tuan Sharifah Khairuzita Tuan Kechil, dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
Pembantu Pembangunan Masyarakat MPK, Hamzah Ibrahim berkata sebanyak lima buah rumah telah disiapkan.
"Kesemua rumah tersebut diserahkan kepada penerima layak di bawah program tahun ini, melibatkan kawasan Kijal, Pengkalan Cicar, Kampung Payoh, Ibok, Pengekalan Pandan, dan Batu 4 Binjai.
"Semua penerima dipilih daripada senarai e-Kasih, terdiri daripada keluarga B40 yang mempunyai tanah sendiri dan menepati syarat kelayakan ditetapkan," ujarnya.
Tambah beliau, program ini telah bermula sejak tahun 2020 dan diteruskan setiap tahun dengan peningkatan kos pembinaan daripada RM68,000 pada tahun 2020 kepada RM90,000 pada tahun ini, sejajar dengan kenaikan harga bahan binaan.
Sehingga kini, sebanyak 21 buah rumah bina baharu telah berjaya disiapkan di bawah program ini di sekitar daerah Kemaman.
"Program PPKB merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman yang lebih selesa, selamat dan sempurna.
"Semoga rumah baharu ini menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik dan membawa sinar kebahagiaan buat semua penerima," ujarnya.
07 Oct 25
63
Pusat Sains Terengganu Ambil Inisiatif Pupuk Kesedaran Berkaitan Gempa Bumi
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Berikutan tular berita tentang negeri Terengganu sebagai salah satu negeri yang berisiko mengalami gempa bumi baru-baru ini, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bencana itu.
Ketua pegawai eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, sebagai pusat pengembangan ilmu sains, teknologi dan inovasi tempatan, pihaknya telah memulakan kempen dan penyebaran ilmu tentang bencana alam lebih awal kepada rakyat negeri itu, terutama pelajar dan golongan muda.
"Antara usaha yang dilakukan adalah melalui Sciences Journey Carnival (SJC) 2025 yang diadakan di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di Hulu Dungun, hujung minggu lalu.
Simulasi letusan gunung berapi turut diadakan.
"Salah satu acara pentas utama dalam karnival itu adalah Bicara STEM yang bertajuk Gempa Bumi dan Keselamatan Diri yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, selain pameran tentang peralatan untuk mengesan gempa dan tsunami yang memberikan lebih maklumat kepada pelajar-pelajar yang hadir.
"Usaha ini adalah kolaborasi PSKT bersama pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Petronas dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebenarnya," katanya.
Jelasnya, penganjuran SJC sedikit sebanyak membantu memberikan kesedaran kepada masyarakat luar bandar tentang bahaya bencana itu serta langkah-langkah menghadapinya.
"Sebenarnya karnival ini merupakan kali pertama diadakan dengan berskala besar sebegini.
"Dengan jumlah penyertaan yang kami terima memberi inspirasi dan aspirasi untuk melihat aktiviti, kempen kesedaran dan penyebaran maklumat seumpama ini dapat diadakan dari masa ke masa, insya-Allah," ujarnya.
PSKT yang bertempat di Kampung Laut, Kuala Terengganu mempunyai ruang pameran interaktif khusus berkaitan bencana alam yang bukan sahaja menyampaikan maklumat, bahkan menyediakan simulasi skala kecil sesuatu bencana alam yang berlaku supaya ia lebih difahami oleh para pengunjung yang hadir.
07 Oct 25
210
Air Bawah Tanah Perlu Jadi Sumber Strategik dan Diurus Secara Mampan - Ahmad Amzad
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Air bawah tanah perlu dijadikan sumber bekalan strategik negara dan diurus secara mampan bagi menjamin keselamatan bekalan air jangka panjang, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan (JKP), Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Ketika sesi Penerangan Penyata DR.20 Tahun 2025 berhubung Potensi dan Hala Tuju Air Bawah Tanah di Malaysia di Dewan Rakyat semalam, beliau menekankan bahawa penggunaan air bawah tanah secara konjunktif bersama air permukaan dapat meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negara dan berfungsi sebagai sumber simpanan penting ketika musim kemarau atau krisis air.
“Jawatankuasa mengesyorkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadikan air bawah tanah sebagai sumber bekalan strategik negara, khususnya sebagai simpanan jangka panjang yang boleh diaktifkan semasa musim kemarau atau situasi kecemasan,” katanya.
Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai potensi besar sumber air bawah tanah, namun tahap penggunaannya masih rendah.
Katanya, negara kini berdepan cabaran pengurusan sumber air, tekanan pembangunan pesat serta kesan perubahan iklim yang menyebabkan pengurangan hujan tahunan sehingga 22 peratus.
Beliau berkata, perkara tersebut antara yang diperincikan dalam lapan syor utama jawatankuasa, merangkumi tiga syor bagi pengurusan sumber air bawah tanah, dua bagi teknologi dan inovasi, serta tiga lagi berkaitan tadbir urus dan perancangan strategik.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan penerapan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan Kembar Digital (Digital Twin) bagi memperkukuh pemantauan serta pengurusan sumber air bawah tanah secara bersepadu.
Semalam, penyata berkenaan turut dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk Tan Hong Pin (PH–Bakri), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik), Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) dan Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing).
07 Oct 25
69