KUALA NERUS, 7 Oktober – Ratusan anak muda berhimpun di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad, bagi menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
Program anjuran komuniti RXZ Members itu menjadi simbol kebangkitan kesedaran anak muda terhadap isu kemanusiaan sejagat, khususnya mempertahankan bumi suci Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam.
Isu Palestin bukanlah isu politik kepartian, sebaliknya ia menjadi titik penyatuan umat Islam seluruh dunia dalam mempertahankan maruah dan tanah suci yang diberkati. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat pertama yang bermaksud:
“Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Isra’: 1)
Ayat ini menjadi bukti jelas bahawa Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam bukan sekadar tapak sejarah, tetapi lambang aqidah dan keimanan yang wajib dipertahankan oleh seluruh umat Muhammad SAW.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi, yang turut hadir berkata, setiap individu memiliki kelebihan dan peranan tersendiri untuk menyumbang kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Gunakanlah apa jua ruang dan kemampuan yang kita ada suara, tulisan, doa, bahkan media sosial untuk terus bercakap dan menuntut hak rakyat Palestin. Jangan sesekali kita diam terhadap kezaliman,” tegasnya.
Beliau turut menyeru agar umat Islam tidak pernah lupa untuk terus berdoa buat saudara seagama di bumi Al-Quds, kerana doa orang beriman adalah senjata yang paling kuat untuk mematahkan keangkuhan musuh.
“Selagi ada yang bersujud dan menadah tangan, selagi itu Al-Quds tidak akan sunyi daripada harapan,” ujarnya lagi.
