KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Terengganu termasuk antara enam negeri di Malaysia yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman gempa bumi berdasarkan kajian terkini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato' Sri Huang Tiong Sii, berkata selain Terengganu, negeri lain yang turut berada dalam zon berisiko ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, pemetaan sesar aktif oleh JMG menunjukkan kewujudan zon sesar di enam negeri tersebut yang berpotensi mencetuskan gegaran bumi, meskipun dalam skala rendah hingga sederhana.

"Pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia dengan mengambil kira maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, kewujudan sesar aktif bahan geologi dan maklumat siasatan tanah," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Antara yang turut bekerjasama dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia terbitan JMG itu termasuklah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan serta agensi berkaitan.
Menjawab pertanyaan mengenai gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat, Huang menjelaskan kejadian itu merupakan proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan kerak bumi.
"Berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat," jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan melalui JMG dan MetMalaysia terus bekerjasama dalam pemantauan aktiviti seismik bagi memastikan sistem amaran dan tindak balas bencana berfungsi dengan berkesan.
Huang turut memaklumkan bahawa Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merangkumi pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara serta pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor.
"Projek itu merangkumi pengukuhan 12 stensen seismik di seluruh negara termasuk pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis 'strong to weak motion' untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah," katanya.