lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kontinjen Hulu Terengganu Sasar 9 Pingat Emas di SUTERA 2025
Kontinjen Hulu Terengganu Sasar 9 Pingat Emas di SUTERA 2025
HULU TERENGGANU, 8 September – Kontinjen Hulu Terengganu menyasarkan kutipan sembilan pingat emas pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 yang bakal berlangsung hujung bulan ini. Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah, berkata sasaran itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan acara sukan daripada tujuh sebelum ini kepada 13 acara pada edisi kali ini. Menurutnya, kontinjen Hulu Terengganu akan menghantar seramai 250 atlet yang akan bersaing dalam pelbagai acara termasuk bola sepak raga, sepak takraw, pencak silat, bola tampar, ping pong, tenis, tenpin boling dan e-sukan. “Dengan pertambahan acara, kita percaya ada ruang peningkatan. Justeru, sasaran kita kali ini ialah sembilan emas, tiga perak dan 11 gangsa. Insya-Allah dengan latihan rapi serta sokongan semua pihak, kita mampu mencapainya,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Bapa Angkat serta Jabatan Angkat Kontinjen Hulu Terengganu di Ulu Garden, Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang. Menurutnya lagi, pada edisi 2021 Hulu Terengganu sekadar membawa pulang satu emas, lapan perak dan 13 gangsa, sekali gus menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada lapan daerah yang bertanding. Tambah Mohd Fadli, majlis tersebut turut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan kepada bapa angkat, jabatan angkat, anak syarikat kerajaan serta penaja yang banyak menyalurkan sumbangan dalam memastikan temasya kali ini berlangsung dengan jayanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menegaskan bahawa selain kejayaan pingat, atlet perlu menjaga disiplin, semangat kesukanan serta mengekalkan imej pakaian patuh syariah yang menjadi identiti atlet Terengganu. Katanya, penyertaan dalam SUTERA bukan sekadar medan persaingan, malah pentas penting melahirkan atlet pelapis negeri yang mampu melangkah ke SUKMA dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
08 Sep 25
590
SG4 Angkat Isu Palestin Ke Pentas Antarabangsa
SG4 Angkat Isu Palestin Ke Pentas Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 7 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang akan berlangsung pada 14 September di BDB Hotel & Suites, Jitra, Kedah dijangka menjadi pentas penting mengangkat isu Palestin ke perhatian dunia Islam. Program anjuran State Government 4 (SG4) yang dianggotai Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis itu bakal menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, sarjana, aktivis kemanusiaan serta NGO antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, forum ini akan membina jaringan strategik merentas sempadan.  "MUNIF 2025 ini bakal menghimpunkan para pemimpin gerakan Islam, sarjana dan aktivis kemanusiaan, serta NGO antarabangsa di bawah satu platform strategik. "Matlamat dan fokus utama forum ini ialah memperkukuhkan sinergi kerja dan kolaborasi strategik antara pertubuhan Islam antarabangsa, khususnya di rantau Asia Tenggara," katanya ketika Sidang Media Pra-Pelancaran MUNIF 2025 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut beliau, Palestin menjadi agenda utama kerana ia menyentuh perasaan umat Islam sejagat.  "Bagi tahun ini, fokus kita ialah kepada isu pembebasan Baitul Maqdis dan juga isu penindasan ke atas rakyat Palestin di Gaza. "Justeru, saya menyeru kepada NGO-NGO dan juga individu yang prihatin terhadap isu ini untuk sama-sama memberikan sokongan dan dokongan," ujar beliau. MUNIF 2025 turut menegaskan tiga agenda utama iaitu menyelamatkan Gaza daripada kezaliman Zionis, membebaskan Masjid Al-Aqsa serta mempertahankan kedudukan Baitulmaqdis, dan merangka tindakan segera yang praktikal.  "Strateginya merangkumi empat aspek: kemanusiaan dengan bantuan segera, diplomasi melalui gerakan politik antarabangsa, ekonomi menerusi boikot berkesan dan dana ummah, serta media bagi melawan propaganda Zionis dengan naratif benar," tegas beliau. Muhammad Khalil menjelaskan, penyertaan peserta luar negara akan memperkukuhkan solidariti serantau.  "Kita jangkakan kehadiran peserta dari luar negara seperti dari negara-negara ASEAN, khususnya negara berdekatan seperti Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Sri Lanka, termasuk juga Turki, Pakistan dan Bangladesh.  "Sekurang-kurangnya, kita mengambil satu pendekatan untuk terus memberikan kesedaran kepada masyarakat dan umat Islam tentang isu besar dunia Islam," tambahnya. Beliau menegaskan forum ini bukan sekadar wacana simbolik, sebaliknya usaha praktikal menghidupkan perjuangan Palestin.  "Supaya kita sentiasa hidupkan isu ini dengan pelbagai program.  "MUNIF 2025 adalah simbol kebangkitan solidariti umat Islam untuk Al-Aqsa, Gaza dan Palestin," ujarnya. Forum ini dianjurkan Pertubuhan Pencinta Baitulmaqdis dengan penganjuran bersama Kerajaan Negeri SG4 serta kerjasama NGO termasuk Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Isra’, Cakna Palestin, Yayasan Permata Ummah dan I-Aware.
07 Sep 25
87
Piala Agong 2025: Terengganu Pamer Belang Aksi Pertama
Piala Agong 2025: Terengganu Pamer Belang Aksi Pertama
KUALA NERUS, 7 September - Pasukan Ragbi Terengganu mempamerkan persembahan terbaik pada perlawanan pembuka tiarai kejohanan Piala Agong 2025 apabila menewaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 49-11, petang semalam. Pada aksi di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail Kompleks Sukan Negeri Terengganu, kemenangan itu diserikan lagi dengan keberangkatan tiba DYTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan memberi sokongan bersama paduka kekandanya, Tengku Puteri Utama Raja. Terengganu bermula garang seawal perlawanan apabila pemain flyhalf Ahmad Aiman Asrul menghukum kesilapan lawan dengan tiga mata pertama pada minit kedua, sekali gus memberi tekanan awal buat pasukan lawan mencari rentak permainan. Pasukan kendalian Aminuddin Sulong terus mempamerkan aksi bertenaga untuk menambah kutipan mata melalui tiga jatuhan try, dua tendangan conversion dan satu tendangan penalti untuk meraih 25 mata sebelum tamat permainan separuh masa pertama, mencipta jurang besar dengan pasukan pelawat hanya berjaya meraih 8 mata. Bersambung babak kedua,  permainan bermula seimbang bagi kedua-dua pasukan. Terengganu menambah 14 mata penuh melalui jatuhan try dan tendangan conversion menafikan kebangkitan anak-anak buah  Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss untuk merapatkan kedudukan. Try terakhir Muhammad Hadi Haiqal Abdullah menoktahkan perlawanan dengan keputusan 49-11, memberikan kemenangan pertama buat Terengganu di laman sendiri. Minggu pembukaan Piala Agong musim ini turut meyaksikan lain perlawanan lain berlangsung di mana Johor mencipta sensasi tersendiri dengan membelasah Pahang 122-17, manakala Perlis membuat kejutan untuk menewaskan Kelantan yang berakhir dengan keputusan 21-10. Pasukan Selangor turut meraih kemenangan pertama setelah menumpaskan Kedah di laman sendiri yang berakhir dengan keputusan 46 berbalas 3.    
07 Sep 25
311
Rumah Botol Terima Sentuhan Baru
Rumah Botol Terima Sentuhan Baru
SETIU, 7 September - Rumah botol Ayahku yang terletak di Kampung Penarik di sini terus memikat sebagai tarikan pelancongan unik Setiu malah tampil lebih berseri dengan sentuhan warna baharu oleh pelajar Universiti Management & Science (MSU) Kampus Kota Bharu. Pemiliknya, Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, 81, atau lebih mesra dipanggil Ayahku berkata, rumah kayu yang dihiasi ribuan botol kaca itu kini tampil berwarna-warni selepas disapu cat baharu sekali gus mengembalikan seri rumah yang saban hari menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai negeri. Katanya, kerja mengecat semula menggunakan empat warna utama iaitu hijau, merah, kuning dan biru bagi menyerikan semula bahagian dinding serta hiasan botol kaca yang tersusun di sekeliling rumah. Jika sebelum ini sebahagian cat mulai pudar, kini botol kaca yang tersusun kemas tampak lebih bersinar di bawah cahaya matahari menjadikan rumah kayu itu ibarat sebuah karya seni yang hidup kembali. Ayahku mengakui, walaupun rumah itu tidak pernah putus dikunjungi orang ramai, sentuhan pelajar berkenaan memberi makna lebih besar kerana ia menghidupkan kembali semangatnya menjaga kediaman unik itu. “Ramai orang singgah bergambar, ada yang datang dari jauh semata-mata nak tengok sendiri rumah ini. Tapi bila pelajar sanggup datang beramai-ramai, cat semula sampai lewat petang, saya rasa rumah ini benar-benar dihargai. “Bila tengok warnanya jadi terang balik, saya sendiri rasa macam semangat saya pun hidup semula. Dulu nampak lusuh, sekarang bila orang datang singgah pun hati saya rasa lebih bangga,” katanya seperti yang dipetik Utusan. Kehadiran pelajar MSU itu juga seakan membawa 1001 senyuman, bukan sahaja kepada pemilik rumah malah kepada penduduk setempat yang melihat suasana gotong-royong meriah di halaman rumah ikonik tersebut. Sejak pagi lagi, suara gelak tawa pelajar ini bergema sambil tangan masing-masing sibuk memegang berus cat, menjadikan rumah botol itu kembali ceria dengan sentuhan generasi muda. Pelajar Diploma Reka Bentuk Grafik, Nik Harris Danial Nik Mohd Yusoff, 20, berkata mereka mahu menjadikan rumah botol itu terus kekal sebagai ikon pelancongan Setiu dengan wajah yang lebih menarik. “Walaupun seharian berpanas dari pagi hingga petang, rasa penat terus hilang bila melihat hasilnya begitu memuaskan,” katanya. Sementara itu, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Nur Syafiqah Athirah Mohd Syafizal, 21, berkata pengalaman tersebut memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga warisan komuniti. “Rumah ini bukan sekadar hiasan botol tapi juga menjadi simbol kreativiti Ayahku. Bila kami dapat bantu, kami rasa sebahagian daripada ceritanya juga,” ujarnya. Suasana sekitar rumah turut berubah apabila warna ceria pada dinding dan hiasan botol menjadikannya lebih ‘instagrammable’ malah mengundang rasa teruja pengunjung yang singgah bergambar.
07 Sep 25
740
Kerajaan Negeri Perkenal Peranan ‘Abang Angkat’ Perkukuh Suara Mahasiswa
Kerajaan Negeri Perkenal Peranan ‘Abang Angkat’ Perkukuh Suara Mahasiswa
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus mendengar serta memenuhi suara mahasiswa melalui pelbagai saluran, termasuk dengan memperkenalkan peranan abang angkat sebagai orang tengah dalam menyampaikan pandangan dan keperluan pelajar. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, berkata pendekatan itu diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) dengan kerajaan negeri, sekali gus menjamin kelangsungan program serta aktiviti yang dirancang agar lebih tersusun dan berkesan. “Langkah ini juga dapat mengelakkan isu yang timbul sebelum ini seperti polemik ‘ayah angkat’, yang kadangkala menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peserta kerana faktor usia dan kesibukan. “Dengan adanya agensi khusus (abang angkat), segala usaha melibatkan anak muda dapat digerakkan secara lebih sistematik, disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Aspirasi Pendidikan: Bicara Ilmiah Bersama Mahasiswa Terengganu di Hotel Grand Puteri, kelmarin. Sementara itu, Yang Dipertua Permata Kebangsaan, Nor Bismillah Asy Syakur Nor Yami, 23, berkata  usaha ini sebagai platform penting untuk anak muda bersuara, berbakti serta memberi sumbangan kepada masyarakat.  Beliau turut menegaskan bahawa sokongan padu daripada kerajaan negeri amat diperlukan bagi memastikan isu-isu yang sering berbangkit sebelum ini, termasuk berkaitan peranan pihak luar, dapat ditangani dengan lebih berkesan.    
06 Sep 25
125
48 Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
48 Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 September – Seramai 48 bayi di seluruh Terengganu bergelar ‘Bayi Permata Maulidur Rasul’ apabila lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kelahiran kesemua bayi pada tarikh bersejarah bertepatan dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW memberi makna yang sangat istimewa. Menurutnya, mereka juga turut diraikan melalui program Permata Maulidur Rasul sebagai tanda penghargaan dan kegembiraan terhadap kelahiran bayi yang datang pada hari istimewa ini. “Alhamdulillah, kelahiran 48 bayi pada hari ini amat bermakna.  "Kita mendoakan agar mereka membesar dengan sihat, menjadi anak soleh dan solehah serta pewaris ummah yang membawa rahmat kepada negeri dan negara,” katanya selepas meraikan bayi Permata Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini. Beliau turut menyampaikan sumbangan dan hadiah kepada ibu bapa bayi berkenaan sebagai tanda kasih serta doa daripada kerajaan negeri. Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi kenangan bermakna buat keluarga terlibat malah mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menghargai kelahiran generasi baharu.
05 Sep 25
786
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
CHINA, 6 September – Kerajaan Negeri Terengganu menyertai Tomorrow City Shanghai, acara tahunan bertaraf antarabangsa yang membincangkan hala tuju pembangunan bandar pintar di Shanghai, China.  Delegasi Terengganu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Setiausaha Bahagian Kerajaan Terengganu, Datuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu. Menurut Wan Sukairi, penyertaan tiga hari pada 2 hingga 4 September lepas memberi peluang besar untuk bertukar pandangan dan mempelajari pengalaman negara lain. "Banyak elemen bandar pintar boleh disesuaikan di Terengganu mengikut lokasi, iklim dan populasi. Insya-Allah pengalaman sepanjang menyertai program ini akan diterjemahkan dalam dasar negeri,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa Terengganu telah melaksanakan beberapa inisiatif bandar pintar, termasuk pemasangan sistem pemantauan CCTV serta pusat arahan setempat di MBKT. "Kita akan menambah bilangan CCTV di Kemaman dan Kuala Terengganu, sebelum diperluas ke daerah lain,” jelasnya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu, TPr Dr Abu Bakar Mat, pula menyifatkan Tomorrow City Shanghai sebagai platform penting memperkukuh jaringan antarabangsa. “Sesi ini membuka peluang perbincangan terus bersama vendor bandar pintar, selain memperluas kerjasama dengan negara seperti Hong Kong dan Korea. Malah, China turut menunjukkan kesediaan untuk membantu,” ujarnya. Selain pembangunan bandar pintar, delegasi Terengganu turut mengambil kesempatan memperkenalkan potensi pelancongan negeri. “Selepas sesi pembentangan, ramai yang berminat mengetahui keindahan Terengganu. Ini juga membantu mempromosikan Smart City Activation Day anjuran PlanMalaysia@Terengganu,” tambah Dr Abu Bakar. Dalam perkembangan sama, PlanMalaysia Terengganu dijadualkan menganjurkan Terengganu Smart City Activation Day 2025 pada 14 Oktober ini di Duyong Convention Centre, The Langit Duyong Marina Resort yang bakal menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan strategi dan hala tuju bandar pintar di negeri ini. Penyertaan Terengganu dalam Tomorrow City Shanghai diyakini menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ke arah bandar pintar berdaya huni, inklusif dan mampan.
05 Sep 25
1152
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kerajaan Terengganu merancang pelbagai inisiatif sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi menyemarakkan lagi rasa cinta umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepelbagaian program yang bakal dilaksanakan itu bukan sahaja bertujuan memperkasa minda dan intelek, malah berperanan menyemai kesejahteraan jiwa dalam kalangan masyarakat negeri ini. “Kita akan teruskan pendekatan dakwah melalui penyampaian ilmu dan tarbiah, di samping melaksanakan kaedah yang lebih menyeluruh serta berkesan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmian sambutan. Keberangkatan baginda berdua turut diiringi Menteri Besar bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.  
05 Sep 25
132
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
KUALA TERENGGANU, 5 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar amalan bacaan rawi, marhaban dan berzanji kembali dihidupkan secara meluas di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis-majlis komuniti di seluruh negeri. Baginda bertitah, amalan berkenaan bukan sahaja sebahagian daripada warisan budaya Melayu Islam di Terengganu, malah telah diamalkan sejak sekian lama. “Mengikut catatan sejarah, pada zaman Kesultanan moyangnda Beta, Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, majlis berzikir termasuk bacaan rawi, marhaban dan berzanji telah menjadi amalan yang subur dalam kalangan rakyat, khususnya apabila tibanya bulan Rabiulawal. “Bacaan ini bukan hanya tradisi warisan Melayu Islam, tetapi juga medium dakwah, pendidikan rohani dan penghayatan sirah Rasulullah SAW yang mampu menghubungkan hati umat dengan sejarah serta kecintaan kepada Baginda,” titah baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1447 Hijrah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhamad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Dalam titah yang sama, baginda turut mengajak rakyat menghayati tema sambutan tahun ini iaitu 'Membangun Ummah Madani'. “Tema ini amat signifikan kerana ia menekankan kepentingan membina masyarakat yang bukan sahaja maju dan berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berkasih sayang sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.  “Justeru, Beta menyeru seluruh rakyat agar menjiwai dan mengamalkan nilai-nilai murni yang dibawa Baginda dalam kehidupan seharian – sama ada dalam keluarga, di tempat kerja mahupun di tengah masyarakat. “Dengan semangat inilah kita mampu membina sebuah masyarakat harmoni, bersepadu dan sejahtera berpaksikan ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda.  
05 Sep 25
166
Suasana Kelam Kabut , Sistem MyKasih Gagal Berfungsi
Suasana Kelam Kabut , Sistem MyKasih Gagal Berfungsi
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kegagalan sistem MyKasih berfungsi dengan baik mencetuskan kekecohan di beberapa pasar raya apabila orang ramai terpaksa beratur panjang, terkandas berjam-jam malah ada yang terpaksa meninggalkan barangan di troli kerana transaksi tidak dapat diproses. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, menegaskan isu ini perlu diberi perhatian serius kerana pihaknya menerima banyak aduan sejak proses penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 bermula pada 1 September lalu. “Semalam, masuk hari keempat penebusan, aduan semakin bertambah. Ramai rakyat berpendapatan rendah kecewa kerana terpaksa pulang dengan tangan kosong, walaupun sudah mengeluarkan kos pengangkutan ke pasar raya. “Keadaan ini menambah beban mereka yang sememangnya serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, kegagalan sistem tersebut bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah turut memberi kesan kepada pihak pasar raya yang terpaksa menanggung kerugian akibat barangan ditinggalkan serta berdepan kekeliruan operasi. “Perkara ini jelas menunjukkan kelemahan perancangan kerajaan dalam melaksanakan program bantuan rakyat. Sistem sepatutnya diuji, diperkukuh dan dipastikan berfungsi dengan baik sebelum diumumkan kepada rakyat,” tegasnya.  Menurut Rosol, pengumuman bantuan SARA kepada 22 juta penerima di seluruh negara pada 23 Julai lalu seharusnya disusuli dengan persediaan rapi termasuk ujian teknikal bagi mengelakkan kegagalan seperti yang berlaku. “Bantuan yang kononnya mahu meringankan beban rakyat akhirnya bertukar menjadi punca kekecewaan apabila pelaksanaannya tidak diurus dengan baik. Rakyat hanya mahu hak yang dijanjikan sampai kepada mereka dengan cekap dan berkesan, bukannya menimbulkan masalah baru,” ujarnya. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyegerakan langkah konkrit bagi memastikan masalah sama tidak berulang, termasuk mengkaji semula keberkesanan vendor sistem yang dilantik serta menyediakan pelan kontingensi yang jelas sekiranya berlaku gangguan teknikal. “Kerajaan juga perlu lebih teliti dalam merangka dasar berkaitan kos sara hidup. Program bantuan rakyat mesti benar-benar sampai kepada penerima dengan cepat, telus dan tanpa halangan teknikal. Rakyat tidak boleh terus menjadi mangsa kelemahan pentadbiran dan ketidakcekapan kerajaan,” katanya.
05 Sep 25
74