lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

UC TATI Anjur Program 'CultureNConnect' Perkukuh Jalinan Antarabangsa
UC TATI Anjur Program 'CultureNConnect' Perkukuh Jalinan Antarabangsa
KEMAMAN, 10 September - University College TATI (UC TATI) telah menganjurkan program CultureNConnect sebagai usaha memperkasa hubungan antarabangsa melalui aktiviti pertukaran bidang dan bahasa bersama institusi luar negara. Pendaftar UC TATI, Hanyza Ahmad berkata Program tersebut  melibatkan seramai 13 peserta antarabangsa dari Mie University, Jepun serta 15 pelajar UC TATI yang bertindak sebagai peserta tempatan dan pengendali program sepanjang ia berlangsung. "Dalam program yang diadakan ini para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pembelajaran bahasa, pertukaran budaya dan lawatan kebudayaan sekitar Terengganu yang menekankan aspek kefahaman silang budaya," ujarnya ketika menyempurnakan perasmian program terbabit, di sini, baru-baru ini Turut hadir, Profesor Emeritus Mie University, Prof. Dr.Masataka Kubo dan Profesor Fakulti Kemanusiaan, Undang-Undang dan Ekonomi Mie University, Prof. Dr. Hirokazu Ajiki. Dalam pada itu, Hanyza berharap agar program tersebut berjaya mencapai matlamat dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik. "Selain memupuk hubungan mesra antara UC TATI dan Mie University di peringkat antarabangasa," ujar beliau.
10 Sep 25
73
Dua Projek Solar RM1.2 Bilion Dibangunkan di Kemaman
Dua Projek Solar RM1.2 Bilion Dibangunkan di Kemaman
KUALA LUMPUR, 10 September – Pimpinan Ehsan Berhad memaklumkan dua projek solar berskala besar (LSS) di Kemaman, Terengganu dengan kapasiti gabungan 400 megawatt arus ulang-alik (MWac) akan dibangunkan melalui anak syarikat tenaga boleh baharunya, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd, bersama Anglo-Eastern Plantations plc dari United Kingdom. Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata jumlah pelaburan kedua-dua projek di bawah program LSS5+ kerajaan itu dianggarkan bernilai RM1.2 bilion. Katanya, lapor DagangNews.com, projek pertama membabitkan pembinaan loji berkapasiti 250 MWac oleh konsortium yang terdiri daripada reNIKOLA, RE Chenderong Sdn Bhd dan Anglo-Eastern Plantations. Projek kedua pula ialah loji berkapasiti 150 MWac yang akan dilaksanakan oleh Antara Hijauan Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh reNIKOLA, bersama Anglo-Eastern Plantations. Menurut Pimpinan Ehsan, pemberitahuan penyenarai pendek bagi projek berkenaan diterima daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 Sept lepas. Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebelum ini memaklumkan projek-projek LSS5+ yang berjaya akan membekalkan tenaga kepada grid nasional untuk tempoh konsesi 21 tahun dengan penyambungan dijangka antara 2027 dan 2028. Pimpinan Ehsan mengambil alih reNIKOLA pada 2021 sebagai sebahagian daripada transformasi kumpulan itu kepada pemain tenaga boleh baharu.  
10 Sep 25
913
Penamatan Subsidi Cetus Semula Masalah Bekalan Beras Tempatan
Penamatan Subsidi Cetus Semula Masalah Bekalan Beras Tempatan
KUALA TERENGGANU, 9 September – Penamatan Program Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) pada 31 Ogos lalu kembali mencetuskan masalah bekalan di pasaran apabila pengedar dan pembekal tidak lagi mampu mengekalkan harga runcit RM2.60 sekilogram tanpa sokongan kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan itu menyebabkan penghantaran beras terhenti dan BPT mula menghilang semula dari pasaran. “Bukan kerana beras tempatan tidak laku, tetapi kerana mekanisme subsidi yang berakhir pada 31 Ogos lalu membuatkan pembekal kembali berada dalam dilema dan ketidakpastian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini. Beliau menjelaskan, program subsidi berjumlah RM150 juta yang diumumkan kerajaan pada Februari lalu dilaksanakan bagi menstabilkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram selama enam bulan. “Program ini menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit beras, dengan kerajaan membayar RM6.25 bagi setiap kampit. “Manfaat langsung hanya diperoleh oleh pengilang, pembungkus dan pengedar BPT, manakala petani serta pesawah tidak menerima apa-apa faedah. “Sepanjang enam bulan, pengguna mendapat manfaat apabila BPT kembali mudah didapati di pasaran,” jelasnya. Dr. Azman menegaskan, pendekatan subsidi bersifat sementara tidak mampu menjadi penyelesaian konkrit kepada isu beras negara.
09 Sep 25
149
Pendapatan Terengganu Inc. Melonjak RM1.75 Bilion, Untung Tiga Kali Ganda
Pendapatan Terengganu Inc. Melonjak RM1.75 Bilion, Untung Tiga Kali Ganda
KUALA TERENGGANU, 8 September – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, menutup tahun kewangan 2024 dengan rekod cemerlang apabila mencatat pendapatan keseluruhan RM1.75 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM81.7 juta. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pencapaian ini didorong oleh kekuatan sektor teras melibatkan perladangan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan yang secara kolektif menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.  “Perladangan kekal penyumbang utama dengan 36 peratus hasil, dipacu kestabilan harga minyak sawit mentah dan peningkatan produktiviti ladang. “Industri ini bukan sahaja menyokong kedudukan kewangan syarikat, malah turut memberi impak besar kepada rantaian bekalan serta peluang pekerjaan tempatan,” jelasnya ketika ditemui di pejabat Terengganu Inc di Chendering, semalam. Beliau berkata sektor minyak dan gas menyumbang 23.1 peratus daripada hasil, manakala sektor penjagaan kesihatan pula menyumbang 20.3 peratus, sekali gus menggambarkan prospek positif dalam kedua-dua industri berkenaan.  Selebihnya ujar beliau, datang daripada sektor tenaga dan sumber asli (13.4 peratus), infrastruktur, pembinaan dan kejuruteraan (4.4 peratus), pelancongan (1.5 peratus) serta pelaburan lain (1.3 peratus). Katanya lagi, dari sudut keuntungan, Terengganu Inc. berjaya melonjakkan PBT lebih tiga kali ganda kepada RM81.7 juta berbanding RM26 juta tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM42.2 juta.  “Perubahan daripada kerugian kepada keuntungan membuktikan keberkesanan langkah pengurusan operasi, pengoptimuman kos serta strategi pelaburan yang lebih berfokus,” katanya. Tambahnya, pada masa sama, jumlah aset kumpulan turut meningkat kepada RM3.85 bilion pada akhir 2024 berbanding RM3.76 bilion tahun sebelumnya.  Jelas beliau, ekuiti pemegang saham mencecah RM1.69 bilion, manakala liabiliti berada pada paras RM2.16 bilion mencerminkan kedudukan kewangan yang lebih stabil dengan struktur modal seimbang. Menurut Burhanuddin, segmen infrastruktur, pembinaan dan kejuruteraan menjadi antara penyumbang terbesar pertumbuhan apabila berjaya menggandakan hasil berbanding tahun lalu. Katanya, sektor pelancongan turut mencatat pemulihan kukuh menerusi peluasan operasi perhotelan dan peningkatan aktiviti pelancongan domestik. “Secara keseluruhan, prestasi 2024 membuktikan Terengganu Inc berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan strategi kepelbagaian perniagaan serta memperkukuh daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran,” ujarnya.
09 Sep 25
2996
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
KUALA TERENGGANU, 9 September - Usaha menghidupkan kembali permainan-permainan tradisional dalam komuniti dilihat mampu menjana perpaduan lebih erat di kalangan ahli masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sukan dan permainan rakyat bukan sekadar monumen atau paparan di muzium semata-mata, sebaliknya konsep permainan yang dimainkan secara beramai-ramai oleh pelbagai golongan itu perlu diturunkan ke lapangan dan dihidupkan supaya asas yang dibina dalam masyarakat ada kekuatan tersendiri. "Terima kasih kepada pihak Muzium Negeri Terengganu (MNT) atas inisiatif untuk menghidupkan permainan tradisional supaya sampai kepada masyarakat. "Dalam komuniti antara perkara sangat penting juga kalau kita boleh kembalikan konsep gotong-royong. Ini kerana ia akan merapatkan hubungan dalam kejiranan. Jiran-jiran mari membantu, mereka bukan sekadar buat kerja tetapi juga bersembang, bercerita, bermain bergurau dan dari situ timbul kolaborasi dalam masyarakat. "Dari sudut perpaduan, ada suatu yang disebut mediator iaitu penghubung antara ahli komuniti supaya masyarakat kembali berhubungan. Mereka tidak berbalah cuma tidak berhubung dan hidup dengan cara mereka sendiri. Jadi apabila tidak berhubung, kemungkinan pergeseran boleh berlaku. "Usaha yang dilakukan pihak muzium ini merupakan sebahagian inisiatif supaya konsep permainan tradisional sampai bukan sekadar yang kita hendak tunjuk dan mengekalkan tradisi, sebaliknya bertujuan mengembalikan kesan kewujudannya yang ternyata memberikan impak sangat besar kepada kesatuan dalam komuniti. "Itulah asasnya, jika di peringkat komuniti lagi tidak bersatu, bagaimana kita ingin membina perpaduan di peringkat negara?," katanya melontarkan persoalan, ketika ditemui selepas menyempurnakan program Muzium Bersama Masyarakat di Kampung Budaya Terengganu, semalam.  Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah MNT, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan), Raja Faisal Raja Haron. Program sehari itu menampilkan pelbagai demonstrasi dan aktiviti sukan tradisional seperti Kaki Hantu, pembuatan Serunai Daun Nyior dan Gasing Tradisional Terengganu, selain penyediaan makanan tradisional seperti Laksa Terengganu, kuih Akok Terengganu, Opok-opok dan Loklik.      
09 Sep 25
97
Alumni Mahasiswa dan Belia di DUN Diwujudkan
Alumni Mahasiswa dan Belia di DUN Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 9 September – Satu inisiatif baharu bakal dilaksanakan dengan mewujudkan platform alumni di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghimpunkan bekas pelajar daripada pelbagai universiti, termasuk wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belia bermula awal tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, program itu dijangka menjadi medium strategik dalam menyalurkan peruntukan bagi aktiviti mahasiswa dan belia, selain memperkasa program kecemerlangan di peringkat akar umbi. ”Penubuhan alumni di peringkat DUN bukan sahaja berfungsi sebagai jaringan sokongan antara bekas mahasiswa, malah mampu menjadi jambatan untuk memperkukuh kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, ADUN serta agensi berkaitan. “Alumni akan dijadikan saluran rasmi untuk menggerakkan program pembangunan mahasiswa, aktiviti belia serta inisiatif kecemerlangan akademik dan sahsiah. “Ia juga dapat memastikan peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Aspirasi Pendidikan: Bicara Ilmiah Bersama Mahasiswa Terengganu di Hotel Grand Puteri, baru-baru ini. Satiful juga berkata dengan adanya struktur alumni di setiap DUN, mahasiswa dan belia tempatan diyakini akan lebih berdaya saing serta berpeluang menyertai lebih banyak program berbentuk akademik, kepimpinan, keusahawanan dan kebajikan. “Inisiatif ini turut membuka ruang kepada pemimpin muda di peringkat DUN untuk berganding bahu bersama bekas mahasiswa dalam membentuk ekosistem belia yang progresif, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.  
09 Sep 25
120
Dr Sam Jumpa Johari, Perkukuh Kerjasama
Dr Sam Jumpa Johari, Perkukuh Kerjasama
KUALA TERENGGANU, 9 September - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengunjungi Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian untuk mengukuhkan kerjasama strategik. Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya telah mewakili Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) untuk memberikan taklimat semasa mengenai yayasan tersebut. "Taklimat (diberikan) kepada YB Menteri mengenai peranan dan inisiatif YPASM dalam bidang penyelidikan, pemuliharaan alam sekitar serta kerjasama strategik ke arah kelestarian sumber asli negara. "Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada hubungan strategik yang lebih erat pada masa depan," ujarnya melalui satu kenyataan melalui facebooknya, hari ini. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penaung YPASM bertitah kedudukan Malaysia di tangga 36 daripada 200 negara dalam penerbitan kertas saintifik merupakan bukti pencapaian dan sumbangan dalam memahami bumi ini. "Bagaimanapun, beta ingin menekankan bahawa untuk memastikan penyelidikan berkembang maju di Antartika, kita perlu memahami rangka kerja dasar yang merangkumi peruntukan tahunan untuk menyokong usaha-usaha penyelidikan di Antartika secara berterusan. "Dengan minat yang semakin meningkat terhadap penyelidikan dalam perubahan iklim yang berkaitan dengan kawasan kutub, dana penyelidikan yang mampan penting bagi mengukuhkan program penyeludukan kutub kita," titah baginda ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia (MISA) di Bangi.  Pada majlis itu juga, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan geran penyelidikan berjumlah RM800,000 kepada tujuh penyelidik melalui kerjasama inisitif perkongsian pintar atara YPASM dan 10 universiti tempatan.
09 Sep 25
117
Inspirasi Citra Merdeka 2025: Patriotisme Disulam Gaya Hidup Sihat
Inspirasi Citra Merdeka 2025: Patriotisme Disulam Gaya Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 8 September – Sambutan Inspirasi Citra Merdeka 2025 yang berlangsung di Pusat Sains Kreativiti Terengganu disambut meriah dengan pengisian pelbagai aktiviti berbentuk riadah, sukan tradisional dan gaya hidup sihat, sekali gus mencetus suasana penuh semangat patriotik. Majlis pelepasan Fun Walk disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim.  Menurut Hishamuddin, sambutan seumpama itu bukan sahaja memperkukuh semangat cintakan tanah air, malah mampu menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. “Program ini amat bermakna buat semua peserta kerana ia bukan sekadar menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, bahkan mendidik masyarakat untuk memilih aktiviti sihat dan bermanfaat. “Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya,” katanya.  Turut serta memeriahkan acara ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk sepak raga bulat, galah panjang dan congkak yang dikendalikan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu.  Tidak ketinggalan, cabaran tuju gol, memanah dan aktiviti berkuda yang memberi peluang kepada belia serta kanak-kanak merasai pengalaman baharu dalam suasana santai namun berteraskan nilai patriotisme.  Sambutan Inspirasi Citra Merdeka 2025 turut diiktiraf sebagai platform berkesan dalam memupuk perpaduan, mengenang jasa pejuang kemerdekaan serta menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat negeri ini.  
08 Sep 25
60
Songket Tradisional Iringi Perjuangan Ragbi Terengganu
Songket Tradisional Iringi Perjuangan Ragbi Terengganu
KUALA NERUS, 8 September - Di sebalik kemenangan skuad Ragbi Terengganu dalam aksi sulung Piala Agong 2025 kelmarin tersemat satu rahsia pada jersi yang digunakan para pemain Terengganu. Rekaan jersi berwarna hitam putih itu memaparkan motif Pucuk Rebung tersebunyi dan motif songket tradisional Terengganu yang direka dan ditaja Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) khusus bagi skuad 'Sang Penyu' mengharungi Piala Agong 2025. Menerusi kenyataan dikeluarkan pihak yayasan, rekayasa jersi berkenaan dizahirkan sebagai identiti Ragbi Terengganu yang membawa simbol ketabahan, kerjasama dan kebanggaan Terengganu. "Usaha menyatukan dinamik ragbi dan keindahan seni nongkat, kita bukan sekadar mengenakan pakaian kepada atlet, tetapi juga melengkapkan mereka denga sebuah cerita. "Setiap jalinan benang akan membisikkan warisan kita kepada dunia, menjadikan para pemain sebagai duta jiwa Terengganu," jelas kenyataan terbabit. Secara amnya, rekaan terbaru itu bertujuan melestarikan warisan asli kaftangan songket yang diiktiraf  Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). YTNZ memahami bahawa budaya tidak hanya terpelihara dalam muzium, sebaliknya ia hidup apabila ditenun dalam masa kini. "Jersi lebih daripada sekadar uniform; ia adalah warisan yang bergerak. Bersama-sama, kita boleh memberikan Terengganu satu simbol yang lebih kekal daripada trofi, iaitu kebanggaan yang tidak akan lekang," menurut kenyataan itu. Tonggak import Terengganu, Waidilo Alipate dan kapten pasukan, Mohammad Nasharuddin Ismail mempamerkan jersi rekaan YTNZ.  
08 Sep 25
736
Projek Solar RM800 Juta Di Setiu Masuki Fasa Pelaksanaan
Projek Solar RM800 Juta Di Setiu Masuki Fasa Pelaksanaan
KUALA TERENGGANU, 7 September – Projek Ladang Solar Skala Besar (LSS) bernilai RM800 juta di Setiu kini melangkah ke fasa pelaksanaan selepas menerima kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Tenaga. Selepas lebih setahun di peringkat perancangan, projek berimpak tinggi itu disahkan apabila konsortium JAKS Power Holdings menerima dua Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 September lalu. Menurut perancangan, konsortium berkenaan bersama rakan strategik dari China, China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd (CPEEC) akan membangunkan dua loji solar berkapasiti 99.99MW setiap satu di Setiu, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 200MW. “Bagi tujuan tersebut, sebuah syarikat tujuan khas akan ditubuhkan untuk menandatangani perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” jelas JAKS seperti dilaporkan NST. Projek ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. Pada Julai 2024, anak syarikat kerajaan negeri, TDM-YT Plantation Sdn. Bhd., telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JAKS Solar Power Holdings Sdn. Bhd. bagi membangunkan ladang solar di Lembah Bidong. Projek tersebut melibatkan pelaburan RM800 juta di kawasan seluas 700 hektar dengan kapasiti 200MW. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan projek itu sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, selain memperkukuh kedudukan Terengganu dalam agenda tenaga boleh baharu negara. Pengerusi TDM-YT Plantation, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, sebelum ini menjangkakan kerjasama tersebut mampu memberi pulangan tetap sekitar RM1 juta setahun kepada syarikat berkenaan. Beliau juga optimis projek itu bakal membuka peluang kepada rakyat tempatan dalam aspek pekerjaan, keusahawanan serta latihan kemahiran, seiring aspirasi negeri ke arah pembangunan mapan.
08 Sep 25
303