lightning-solid
Berita :
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Adli Mohamad
05 Sep 25
159

KUALA TERENGGANU, 5 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar amalan bacaan rawi, marhaban dan berzanji kembali dihidupkan secara meluas di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis-majlis komuniti di seluruh negeri.

Baginda bertitah, amalan berkenaan bukan sahaja sebahagian daripada warisan budaya Melayu Islam di Terengganu, malah telah diamalkan sejak sekian lama.

“Mengikut catatan sejarah, pada zaman Kesultanan moyangnda Beta, Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, majlis berzikir termasuk bacaan rawi, marhaban dan berzanji telah menjadi amalan yang subur dalam kalangan rakyat, khususnya apabila tibanya bulan Rabiulawal.

“Bacaan ini bukan hanya tradisi warisan Melayu Islam, tetapi juga medium dakwah, pendidikan rohani dan penghayatan sirah Rasulullah SAW yang mampu menghubungkan hati umat dengan sejarah serta kecintaan kepada Baginda,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1447 Hijrah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhamad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.

Dalam titah yang sama, baginda turut mengajak rakyat menghayati tema sambutan tahun ini iaitu 'Membangun Ummah Madani'.

“Tema ini amat signifikan kerana ia menekankan kepentingan membina masyarakat yang bukan sahaja maju dan berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berkasih sayang sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. 

“Justeru, Beta menyeru seluruh rakyat agar menjiwai dan mengamalkan nilai-nilai murni yang dibawa Baginda dalam kehidupan seharian – sama ada dalam keluarga, di tempat kerja mahupun di tengah masyarakat.

“Dengan semangat inilah kita mampu membina sebuah masyarakat harmoni, bersepadu dan sejahtera berpaksikan ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda.

 


Artikel Berkaitan