lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Negeri Komited Mengekalkan Keharmonian Pulau Perhentian Sebagai Destinasi Percutian
Kerajaan Negeri Komited Mengekalkan Keharmonian Pulau Perhentian Sebagai Destinasi Percutian
KUALA TERENGGANU, 5 September - Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk mengekalkan keharmonian Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan keluarga dan eko-pelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keharmonian akan dijaga khususnya melalui pemantauan aktiviti berkaitan penjualan arak.   Datuk Razal (kiri) dan Hilman (kanan) Menurutnya, Terengganu tidak merestui penjualan minuman beralkohol di destinasi peranginan tersebut dan hasil pemeriksaan terhadap 80 pengusaha mendapati semua resort di pulau itu tidak mempunyai lesen penjualan arak. "Perbuatan mereka itu berada dalam keadaan yang tidak direstui oleh kerajaan negeri. Jika ada penguatkuasaan, mereka akan dikenakan tindakan. "Saya ingin pastikan pengusaha Melayu menjaga adat orang Islam dan dinasihatkan supaya menjaga adat Timur. Bagi yang bukan Islam, diharap bersopan dan tidak minum di tepi pantai secara terbuka. Beliau dilaporkan berkata demikian oleh Sinar Harian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Program 'Dive Against Debris' (DAD): Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, kelmarin. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin serta Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Hilman Hajijan. Tegasnya lagi, meskipun kehadiran pelancong di Pulau Perhentian didominasi oleh pelancong luar ia tidak menjadi justifikasi kepada pelancong dan pengusaha untuk menjadikannya sebagai destinasi untuk mabuk. Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
05 Sep 25
36
138 Rakyat Kijal Terima Dokumen Hak Milik Tanah
138 Rakyat Kijal Terima Dokumen Hak Milik Tanah
KEMAMAN, 4 September – Seramai 138 penduduk Kijal menerima dokumen hak milik tanah masing-masing melibatkan 19 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kediaman dan pertanian, manakala 40 lagi menerima notis Borang 5A bagi sebuah RTB kediaman. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata penyerahan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menunaikan janji kepada rakyat serta memastikan kebajikan mereka terus diberi keutamaan. “Alhamdulillah, seramai 138 penerima kini boleh menarik nafas lega selepas menerima dokumen hak milik tanah, manakala 40 lagi menerima notis Borang 5A. “Insya-Allah akan ada lagi penyerahan seterusnya untuk rakyat yang layak," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis Borang 5A Bagi RTB Bangunan Kediaman dan RTB Pertanian bertempat di Kompleks Paya Lasir, Kemaman, hari ini. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan terlibat. Razali berkata RTB yang terlibat termasuk Pondok Pasir, Jong Belabuh, Kampung Payoh, Bujal, Kampung Ibok, Bukit Panjang, Beris Meraga, Kampung Pantai Penunjuk serta beberapa kawasan lain bagi tapak kediaman dan pertanian. Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha mempercepatkan proses berkaitan tanah supaya lebih ramai rakyat Kijal dapat memiliki tanah sendiri secara sah dan terjamin.                
04 Sep 25
4197
Kerajaan Negeri Komited Jaga Keselamatan Pelancong di Perhentian
Kerajaan Negeri Komited Jaga Keselamatan Pelancong di Perhentian
BESUT, 5 September – Kerajaan Terengganu serius memastikan pemandu bot, teksi air dan teksi bot di Pulau Perhentian bebas daripada dadah dengan kerjasama pihak polis. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasil pemantauan polis menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bot semakin berkurangan. “Saya difahamkan, polis sentiasa melakukan pemantauan berhubung perkara ini, namun masih ada yang berbuat demikian. "Namun, alhamdulillah, angkanya makin berkurang dan kita berharap supaya ia terus kekal,” katanya kepada pemberita selepas Program 'Dive Against Debris (DAD): CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian kelmarin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; Pengarah Pelancongan, Hilman Hajijan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor. Razali berkata,  perkara itu dipandang serius kerana melibatkan keselamatan pelancong. Beliau berharap semua pemandu bot dapat memberi kerjasama supaya aspek keselamatan menjadi keutamaan. Sebelum ini, polis mengesahkan pemandu bot yang terlibat dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian pada Jun lalu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.  Katanya, Insiden itu mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak.  
04 Sep 25
61
Terengganu Import Baka Brahman, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan
Terengganu Import Baka Brahman, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan
KUALA TERENGGANU, 4 September - Kerajaan Terengganu sedang dalam proses membawa masuk sebanyak 128 ekor induk betina dan pejantan baka Brahman dari Darwin, Australia, sebagai langkah memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, ternakan berkenaan kini ditempatkan di Export Yard Darwin untuk menjalani proses kuarantin selama tujuh hari. “Proses kuarantin ini penting bagi memastikan kesihatan haiwan terjamin. Sampel darah diambil untuk pemeriksaan bagi mengelak sebarang risiko penyakit sebelum dieksport ke Malaysia,” katanya selepas meninjau fasiliti tersebut bersama Mr Kelvin Mulvahil, Director Australian Cattle Enterprise, hari ini. Beliau menambah, pusat kuarantin berkenaan mampu menampung sehingga 4,000 ekor ternakan pada satu-satu masa, dengan kapasiti muatan sebuah kapal antara 3,500 hingga 4,000 ekor setiap trip. "Setiap tahun, kira-kira 95,000 ekor lembu dieksport ke pelbagai destinasi dunia, termasuk Asia Tenggara," jelasnya. Dr. Azman berkata, usaha membawa masuk baka Brahman ini merupakan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh industri penternakan tempatan. “Insya-Allah, lembu-lembu ini dijangka tiba di Terengganu pada akhir September 2025," ujarnya. Langkah ini, tambah beliau, adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi menjamin keselamatan makanan serta menyokong agenda pengukuhan industri agro di Terengganu.
04 Sep 25
472
100 Tahun Pengakap Terengganu: Seabad Membina Generasi
100 Tahun Pengakap Terengganu: Seabad Membina Generasi
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu bakal meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya tahun hadapan, menandakan satu abad perjalanan sejak ditubuhkan pada tahun 1926.  Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Shahrul Azwan Mohamad@Endut berkata, sambutan tersebut bakal menjadi detik bersejarah dalam mengangkat kembali warisan dan pencapaian gerakan pengakap di negeri ini. Menurut beliau, kepengakapan mula bertapak di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20, bermula di kawasan Pantai Barat sebelum berkembang ke negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu.  “Pada tahun 1926, gerakan ini diperkenalkan di Negeri Terengganu hasil usaha pendidik dari luar, termasuk dari Singapura. Mereka membawa bersama semangat dan metodologi pendidikan pengakap, bukan sahaja untuk mengisi masa lapang pelajar, tetapi juga sebagai pelengkap kepada kurikulum pendidikan formal. “Antara individu penting dalam memperkenalkan gerakan ini di Terengganu ialah Mr. A.J. Gracle, yang diiktiraf sebagai Pengasas Pengakap Negeri Terengganu pada tahun 1926. “Seterusnya, gerakan ini terus diperkukuhkan oleh barisan Pesuruhjaya dan Ketua Pesuruhjaya yang menerajui kepimpinan pengakap negeri sehingga kini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, Sekolah Sultan Sulaiman, sebagai institusi pendidikan Melayu terawal di Terengganu, turut memainkan peranan penting dalam percambahan awal pengakap di negeri ini.  “Sebagai sekolah yang menempatkan ramai pelajar lelaki dari pelbagai latar belakang, ia menjadi pusat strategik bagi memperkenalkan budaya kepengakapan kepada generasi muda. “Kini, selepas satu abad, Pengakap Negeri Terengganu kekal relevan dalam mendidik generasi muda melalui program berteraskan kepimpinan, khidmat masyarakat, kemahiran hidup dan kesukarelawanan,” ujarnya. Tambah beliau, bersempena sambutan 100 tahun, antara acara kemuncak yang akan dianjurkan ialah Jambori Antarabangsa Terengganu (TIJ 100) pada 17-21 Disember 2025, di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus yang bakal menghimpunkan 10,000 ahli pengakap dari dalam dan luar negara. “Sambutan 100 tahun ini bukan sahaja mengenang jasa dan pengorbanan tokoh terdahulu, tetapi juga akan menjadi titik tolak untuk memperkukuhkan lagi peranan pengakap Terengganu dalam melahirkan generasi yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran globalisasi serta era digital,” katanya.  
03 Sep 25
24
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
KUALA TERENGGANU, 3 September - Petani dan usahawan tani Terengganu dipelawa merebut peluang menyertai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang masih mempunyai lot kosong untuk diusahakan di beberapa daerah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan boleh dibuat di Pejabat Pertanian Daerah dengan keutamaan diberikan kepada rakyat serta usahawan tempatan. Dr. Azman (Tengah) di TKPM Rhu Tapai, Setiu "Semalam bila saya post gambar ladang betik di TKPM Rhu Tapai Setiu, ada beberapa orang yang mesej menyatakan minat untuk turut sama terlibat.  "Kepada petani atau usahawan yang berminat menyertai TKPM boleh membuat permohonan. Ada lagi lot-lot kosong yang sedia untuk diisi oleh pemohon yang layak," katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya, hari ini. Menurut beliau, selain tanaman betik, TKPM turut memberi peluang untuk mengusahakan tanaman makanan yang mempunyai tempoh singkat matang. "Kalau nak tanam durian perlu mohon tanah kategori lain," jelasnya ringkas. Berdasarkan maklumat Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang telah dikongsikan oleh Dr. Azman melalui hantaran yang sama, kekosongan lot TKPM ditawarkan di tiga lokasi utama. Antaranya termasuklah TKPM Rhu Tapai, Setiu (35 lot terbuka); TKPM Paloh Jenang, Kemaman (6 lot terbuka) serta TKPM Tok Dor, Besut dengan tujuh lot terbuka serta 22 lot Struktur Pelindung Hujan (SPH). Sekiranya berminat, borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Pertanian Daerah terlibat, manakala sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian pejabat di Besut (09-6971015), Setiu (09-6097373) dan Kemaman (09-8583195). Ladang betik Amira di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkeluasan 10 ekar dan mengandungi kira-kira 5,000 pokok Terdahulu, Dr. Azman berkongsi kejayaan seorang anak muda tempatan yang mengusahakan ladang betik varieti Amira dengan keluasan 10 ekar di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkapasiti kira-kira 5,000 pokok. Jelasnya, betik varieti tersebut mula mengeluarkan hasil pada usia lapan bulan dengan jangka hayat maksimum tiga tahun, manakala harga ladang sekitar RM3 sekilogram.
03 Sep 25
1503
80 Penyelam Angkat 30.7 Kg Sampah Dari Laut Pulau Perhentian
80 Penyelam Angkat 30.7 Kg Sampah Dari Laut Pulau Perhentian
BESUT, 3 September - Program pembersihan laut dan darat di Pulau Perhentian mencatat penyertaan luar biasa apabila seramai 80 penyelam turun ke dasar laut bagi mengutip sampah menerusi aktiviti Dive Against Debris. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata secara keseluruhan, 384 orang termasuk komuniti setempat berganding bahu menjayakan program yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan. “Melalui aktiviti ‘Beach Clean Up’ di Kampung Nelayan, sebanyak 290 kilogram sampah berjaya dikutip, manakala para penyelam mengangkat kira-kira 30.7 kilogram sisa dari dasar laut. “Sambutan kali ini amat membanggakan kerana penyertaan melebihi jangkaan. Target asal kita hanya 70 penyelam, namun seramai 80 orang telah turun ke laut dengan penyertaan keseluruhan 384 orang menjayakan program ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup ‘Dive Against Debris Pulau Perhentian’ yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan semalam. Razali berkata lebih istimewa, ia dilaksanakan secara serentak melibatkan pembersihan kampung (plogging), pembersihan dasar laut, aktiviti CSR membaik pulih pagar masjid serta gotong-royong membersihkan kawasan kubur bersama komuniti tempatan. "Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah mengeratkan hubungan komuniti dengan pelancong serta pihak berkuasa. “Pulau Perhentian adalah antara destinasi pelancongan utama negara. Program seperti ini akan membantu memastikan ekosistem laut kita kekal terpelihara dan memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung,” ujarnya.  
03 Sep 25
100
Pasukan Menyelamat Khas Ditubuh di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah
Pasukan Menyelamat Khas Ditubuh di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah
BESUT, 2 September – Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas bagi memastikan tahap keselamatan pelancong di Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah sentiasa terjamin. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat susulan beberapa insiden melibatkan keselamatan pelancong di kawasan berkenaan baru-baru ini. Menurutnya, pasukan khas ini akan beroperasi setiap tahun bermula Mac hingga Oktober, iaitu musim puncak kehadiran pelancong di kedua-dua pulau peranginan tersebut. “Pasukan SAR ini akan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui OCPD Besut dengan Balai Polis Perhentian dijadikan pusat panggilan (call centre). “Operasinya hanya tertumpu di kawasan pulau sepanjang musim pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Razali berkata, pasukan itu turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat sedia ada, antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Turut sama, kerjasama daripada Pejabat Daerah Besut, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat. “Antara langkah utama yang dipersetujui termasuk memperketatkan aspek keselamatan pelancong, memastikan semua agensi sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim pelancong serta penyediaan kemudahan logistik seperti bot oleh Jabatan Perikanan agi menghadapi situasi kecemasan. “Kerajaan Negeri yakin penubuhan pasukan khas ini bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti di Terengganu, malah memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang berada di pulau-pulau peranginan negeri ini,” ujarnya.    
02 Sep 25
113
Projek Terbiar Pembenihan Ikan Marin Dihidupkan Semula
Projek Terbiar Pembenihan Ikan Marin Dihidupkan Semula
KUALA TERENGGANU, 2 September – Pusat Pembenihan Ikan Marin di Kampung Rhu 10, Setiu yang sebelum ini terbiar pada zaman pentadbiran terdahulu kini kembali beroperasi dengan jayanya. Usaha menghidupkan semula pusat ini dilakukan melalui kerjasama strategik antara Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan syarikat tempatan, Aishah Zulkifli Resources. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perladangan negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata antara komponen penting yang dipulihkan termasuk pemasangan 120 tangki pembiakan baharu serta sistem bekalan air laut yang dipam terus ke pusat tersebut. “Kesempurnaan bekalan air bersih dengan kadar kemasinan yang tepat merupakan faktor utama kejayaan projek pembenihan ikan marin, khususnya bagi spesies kerapu hibrid yang sangat sensitif terhadap perubahan saliniti,” katanya. Beliau menambah, kejayaan menghidupkan kembali pusat pembenihan ini membuktikan pendekatan kerajaan negeri dalam memanfaatkan aset-aset terbiar mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi, di samping menjana peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
02 Sep 25
117
Jambatan RM10 Juta Siap Sepenuhnya Lebih Awal
Jambatan RM10 Juta Siap Sepenuhnya Lebih Awal
DUNGUN, 1 September – Dua projek pembinaan jambatan di Dungun dan Setiu berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dengan kos keseluruhan RM10.72 juta, malah lebih awal daripada jadual asal. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan semula jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau, Dungun serta pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah, Setiu. "Jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi ini mengalami kerosakan serius akibat banjir besar pada 2022 sehingga menjejaskan hubungan kawasan serta menyukarkan pergerakan penduduk," katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato Mohd Azmi Mohamad Daham; Ketua Penolong Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Mohd Saiful Anuar Mohd Noor; Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir Dr Hasli Ibrahim. Menurut Hanafiah, bagi kerja pembaikan jambatan di Dungun, sebanyak RM5,769,999.50 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek menggantikan jambatan sediada di T118/02/913, Jalan Durian Mentangau, Seksyen 1.9. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh syarikat Hj Abdul Rahman Abas Sdn. Bhd. selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 20 November 2023. "Skop kerja tersebut merangkumi pembinaan jambatan konkrit single span sepanjang 30 meter, naik taraf jalan tuju sejauh 400 meter, serta pemasangan lampu jalan jenis solar.  "Pemantauan rapi dilaksanakan oleh JKR Daerah Dungun, dan hasil komitmen semua pihak, projek berjaya disiapkan pada 5 Jun 2025 iaitu lima bulan 14 hari lebih awal daripada tarikh siap asal," jelasnya. Sementara itu, jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah pula melibatkan kos RM4.95 juta, sekali gus melengkapkan dua projek utama ini di bawah peruntukan MARRIS. "Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami akan terus komited memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), mahupun dana pembangunan yang lain, benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.  "Sama ada di Dungun, Setiu, Hulu Terengganu mahupun kawasan pedalaman lain, pembangunan infrastruktur mestilah inklusif, tidak hanya tertumpu di kawasan bandar," tegasnya.  
01 Sep 25
7504