lightning-solid
Berita :
Kontinjen Hulu Terengganu Sasar 9 Pingat Emas di SUTERA 2025
Kontinjen Hulu Terengganu Sasar 9 Pingat Emas di SUTERA 2025
Azhar Yusof
08 Sep 25
585

HULU TERENGGANU, 8 September – Kontinjen Hulu Terengganu menyasarkan kutipan sembilan pingat emas pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah, berkata sasaran itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan acara sukan daripada tujuh sebelum ini kepada 13 acara pada edisi kali ini.

Menurutnya, kontinjen Hulu Terengganu akan menghantar seramai 250 atlet yang akan bersaing dalam pelbagai acara termasuk bola sepak raga, sepak takraw, pencak silat, bola tampar, ping pong, tenis, tenpin boling dan e-sukan.


“Dengan pertambahan acara, kita percaya ada ruang peningkatan. Justeru, sasaran kita kali ini ialah sembilan emas, tiga perak dan 11 gangsa. Insya-Allah dengan latihan rapi serta sokongan semua pihak, kita mampu mencapainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Bapa Angkat serta Jabatan Angkat Kontinjen Hulu Terengganu di Ulu Garden, Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang.

Menurutnya lagi, pada edisi 2021 Hulu Terengganu sekadar membawa pulang satu emas, lapan perak dan 13 gangsa, sekali gus menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada lapan daerah yang bertanding.

Tambah Mohd Fadli, majlis tersebut turut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan kepada bapa angkat, jabatan angkat, anak syarikat kerajaan serta penaja yang banyak menyalurkan sumbangan dalam memastikan temasya kali ini berlangsung dengan jayanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menegaskan bahawa selain kejayaan pingat, atlet perlu menjaga disiplin, semangat kesukanan serta mengekalkan imej pakaian patuh syariah yang menjadi identiti atlet Terengganu.

Katanya, penyertaan dalam SUTERA bukan sekadar medan persaingan, malah pentas penting melahirkan atlet pelapis negeri yang mampu melangkah ke SUKMA dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.


Tag :

Artikel Berkaitan