lightning-solid
Berita :
Rumah Botol Terima Sentuhan Baru
Rumah Botol Terima Sentuhan Baru
Noraini Jusoh
07 Sep 25
736

SETIU, 7 September - Rumah botol Ayahku yang terletak di Kampung Penarik di sini terus memikat sebagai tarikan pelancongan unik Setiu malah tampil lebih berseri dengan sentuhan warna baharu oleh pelajar Universiti Management & Science (MSU) Kampus Kota Bharu.

Pemiliknya, Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, 81, atau lebih mesra dipanggil Ayahku berkata, rumah kayu yang dihiasi ribuan botol kaca itu kini tampil berwarna-warni selepas disapu cat baharu sekali gus mengembalikan seri rumah yang saban hari menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai negeri.

Katanya, kerja mengecat semula menggunakan empat warna utama iaitu hijau, merah, kuning dan biru bagi menyerikan semula bahagian dinding serta hiasan botol kaca yang tersusun di sekeliling rumah.

Jika sebelum ini sebahagian cat mulai pudar, kini botol kaca yang tersusun kemas tampak lebih bersinar di bawah cahaya matahari menjadikan rumah kayu itu ibarat sebuah karya seni yang hidup kembali.

Ayahku mengakui, walaupun rumah itu tidak pernah putus dikunjungi orang ramai, sentuhan pelajar berkenaan memberi makna lebih besar kerana ia menghidupkan kembali semangatnya menjaga kediaman unik itu.

“Ramai orang singgah bergambar, ada yang datang dari jauh semata-mata nak tengok sendiri rumah ini. Tapi bila pelajar sanggup datang beramai-ramai, cat semula sampai lewat petang, saya rasa rumah ini benar-benar dihargai.

“Bila tengok warnanya jadi terang balik, saya sendiri rasa macam semangat saya pun hidup semula. Dulu nampak lusuh, sekarang bila orang datang singgah pun hati saya rasa lebih bangga,” katanya seperti yang dipetik Utusan.

Kehadiran pelajar MSU itu juga seakan membawa 1001 senyuman, bukan sahaja kepada pemilik rumah malah kepada penduduk setempat yang melihat suasana gotong-royong meriah di halaman rumah ikonik tersebut.

Sejak pagi lagi, suara gelak tawa pelajar ini bergema sambil tangan masing-masing sibuk memegang berus cat, menjadikan rumah botol itu kembali ceria dengan sentuhan generasi muda.

Pelajar Diploma Reka Bentuk Grafik, Nik Harris Danial Nik Mohd Yusoff, 20, berkata mereka mahu menjadikan rumah botol itu terus kekal sebagai ikon pelancongan Setiu dengan wajah yang lebih menarik.

“Walaupun seharian berpanas dari pagi hingga petang, rasa penat terus hilang bila melihat hasilnya begitu memuaskan,” katanya.

Sementara itu, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Nur Syafiqah Athirah Mohd Syafizal, 21, berkata pengalaman tersebut memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga warisan komuniti.

“Rumah ini bukan sekadar hiasan botol tapi juga menjadi simbol kreativiti Ayahku. Bila kami dapat bantu, kami rasa sebahagian daripada ceritanya juga,” ujarnya.

Suasana sekitar rumah turut berubah apabila warna ceria pada dinding dan hiasan botol menjadikannya lebih ‘instagrammable’ malah mengundang rasa teruja pengunjung yang singgah bergambar.


Artikel Berkaitan