lightning-solid
Berita :
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
Khairul Faez Rosdi
05 Sep 25
1148

CHINA, 6 September – Kerajaan Negeri Terengganu menyertai Tomorrow City Shanghai, acara tahunan bertaraf antarabangsa yang membincangkan hala tuju pembangunan bandar pintar di Shanghai, China. 

Delegasi Terengganu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Setiausaha Bahagian Kerajaan Terengganu, Datuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu.

Menurut Wan Sukairi, penyertaan tiga hari pada 2 hingga 4 September lepas memberi peluang besar untuk bertukar pandangan dan mempelajari pengalaman negara lain.

"Banyak elemen bandar pintar boleh disesuaikan di Terengganu mengikut lokasi, iklim dan populasi. Insya-Allah pengalaman sepanjang menyertai program ini akan diterjemahkan dalam dasar negeri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Terengganu telah melaksanakan beberapa inisiatif bandar pintar, termasuk pemasangan sistem pemantauan CCTV serta pusat arahan setempat di MBKT.

"Kita akan menambah bilangan CCTV di Kemaman dan Kuala Terengganu, sebelum diperluas ke daerah lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu, TPr Dr Abu Bakar Mat, pula menyifatkan Tomorrow City Shanghai sebagai platform penting memperkukuh jaringan antarabangsa.

“Sesi ini membuka peluang perbincangan terus bersama vendor bandar pintar, selain memperluas kerjasama dengan negara seperti Hong Kong dan Korea. Malah, China turut menunjukkan kesediaan untuk membantu,” ujarnya.

Selain pembangunan bandar pintar, delegasi Terengganu turut mengambil kesempatan memperkenalkan potensi pelancongan negeri.

“Selepas sesi pembentangan, ramai yang berminat mengetahui keindahan Terengganu. Ini juga membantu mempromosikan Smart City Activation Day anjuran PlanMalaysia@Terengganu,” tambah Dr Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, PlanMalaysia Terengganu dijadualkan menganjurkan Terengganu Smart City Activation Day 2025 pada 14 Oktober ini di Duyong Convention Centre, The Langit Duyong Marina Resort yang bakal menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan strategi dan hala tuju bandar pintar di negeri ini.

Penyertaan Terengganu dalam Tomorrow City Shanghai diyakini menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ke arah bandar pintar berdaya huni, inklusif dan mampan.


Artikel Berkaitan