lightning-solid
Berita :
Suasana Kelam Kabut , Sistem MyKasih Gagal Berfungsi
Suasana Kelam Kabut , Sistem MyKasih Gagal Berfungsi
Adli Mohamad
05 Sep 25
70

KUALA TERENGGANU, 5 September – Kegagalan sistem MyKasih berfungsi dengan baik mencetuskan kekecohan di beberapa pasar raya apabila orang ramai terpaksa beratur panjang, terkandas berjam-jam malah ada yang terpaksa meninggalkan barangan di troli kerana transaksi tidak dapat diproses.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, menegaskan isu ini perlu diberi perhatian serius kerana pihaknya menerima banyak aduan sejak proses penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 bermula pada 1 September lalu.

“Semalam, masuk hari keempat penebusan, aduan semakin bertambah. Ramai rakyat berpendapatan rendah kecewa kerana terpaksa pulang dengan tangan kosong, walaupun sudah mengeluarkan kos pengangkutan ke pasar raya.

“Keadaan ini menambah beban mereka yang sememangnya serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, kegagalan sistem tersebut bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah turut memberi kesan kepada pihak pasar raya yang terpaksa menanggung kerugian akibat barangan ditinggalkan serta berdepan kekeliruan operasi.

“Perkara ini jelas menunjukkan kelemahan perancangan kerajaan dalam melaksanakan program bantuan rakyat. Sistem sepatutnya diuji, diperkukuh dan dipastikan berfungsi dengan baik sebelum diumumkan kepada rakyat,” tegasnya. 

Menurut Rosol, pengumuman bantuan SARA kepada 22 juta penerima di seluruh negara pada 23 Julai lalu seharusnya disusuli dengan persediaan rapi termasuk ujian teknikal bagi mengelakkan kegagalan seperti yang berlaku.

“Bantuan yang kononnya mahu meringankan beban rakyat akhirnya bertukar menjadi punca kekecewaan apabila pelaksanaannya tidak diurus dengan baik. Rakyat hanya mahu hak yang dijanjikan sampai kepada mereka dengan cekap dan berkesan, bukannya menimbulkan masalah baru,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyegerakan langkah konkrit bagi memastikan masalah sama tidak berulang, termasuk mengkaji semula keberkesanan vendor sistem yang dilantik serta menyediakan pelan kontingensi yang jelas sekiranya berlaku gangguan teknikal.

“Kerajaan juga perlu lebih teliti dalam merangka dasar berkaitan kos sara hidup. Program bantuan rakyat mesti benar-benar sampai kepada penerima dengan cepat, telus dan tanpa halangan teknikal. Rakyat tidak boleh terus menjadi mangsa kelemahan pentadbiran dan ketidakcekapan kerajaan,” katanya.


Artikel Berkaitan