MARANG, 2 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel serta mendesak campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi membela aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), selepas sebahagian mereka dilaporkan ditahan sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang telah berlarutan sejak 1948.
“Zionis Israel mesti dikenakan tindakan antarabangsa. Mereka berkali-kali melakukan pelanggaran terhadap undang-undang dan hak asasi manusia.
“Terengganu akan lakukan apa sahaja dalam bidang kuasa kita, sama ada ceramah, doa, solat hajat, perhimpunan atau demonstrasi sebagai tanda solidariti dan bentuk tekanan,” tegasnya ketika ditemui selepas Himpunan Solidariti Palestin dan GSF di Rusila, hari ini.

Dalam masa yang sama menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui JHEAT mengarahkan solat hajat serentak di lebih 500 masjid seluruh Terengganu selepas solat Jumaat, manakala negeri-negeri lain dalam blok SG4 (Kelantan, Kedah dan Perlis) turut mengambil inisiatif sama.
Dr. Khalil turut memaklumkan bahawa teks khutbah Jumaat di negeri-negeri berkenaan akan menyentuh isu Palestin dan perjuangan flotilla sebagai usaha menyemarakkan kesedaran rakyat.
Terdahulu, lebih 5,000 peserta berhimpun di hadapan Masjid Rusila petang tadi dalam acara Himpunan dan Flashmob Solidariti Sumud Flotilla, yang turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Dr. Khalil, operasi GSF disertai aktivis dari seluruh dunia termasuk anak Terengganu yang berada dalam misi berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat Malaysia berhak menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini.
“Negara kita demokrasi. Rakyat berhak menyatakan pendirian bahawa Trump tidak wajar diterima, kerana beliau jelas sekutu rapat Zionis,” ujarnya.