lightning-solid
Berita :
Presiden PAS Kecam Sokongan AS kepada Israel
Presiden PAS Kecam Sokongan AS kepada Israel
Amirul Aizab Mohd
02 Oct 25
85

MARANG, 2 Oktober — Kira-kira 2,000 rakyat Terengganu berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Rusila petang ini sempena Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla bagi menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam kezaliman rejim zionis Israel.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menegaskan bahawa penindasan terhadap rakyat Palestin berlaku dengan sokongan terang-terangan kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat.

“Mereka menipu untuk melindungi Israel. Mereka ini syaitan besar, termasuklah Donald Trump — itu syaitan besar,” tegas beliau di hadapan ribuan hadirin yang menyambut ucapan itu dengan takbir.

Beliau turut mengecam tindakan menggoda rakyat Palestin dengan habuan kewangan yang besar, hanya untuk menggadaikan tanah air mereka.  

“Mereka menggoda rakyat Palestin dengan duit. Sanggup beri berapa triliun kepada orang Palestin, masyarakat orang Palestin,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Himpunan ini mencerminkan kebersamaan rakyat Malaysia, khususnya di Terengganu, dalam solidariti kemanusiaan sejagat terhadap perjuangan membebaskan Palestin.


Artikel Berkaitan