KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan, hari ini.
Keberangkatan baginda disambut dengan penuh penghormatan, diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda.
Majlis bertambah seri dengan kehadiran Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Nawawi Ismail.

Acara dimulakan dengan persembahan pancaragam SMKSS, diikuti tarian selamat datang oleh penari Sutra Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, dan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.
Sejurus selepas itu, Tengku Seri Bijaya Raja mempersembahkan ucapan aluan, sebelum majlis diserikan dengan titah ucapan perasmian oleh Sultan Mizan.
Usai bertitah, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong, diiringi Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, sebagai simbolik bermulanya lembaran baharu perjalanan kecemerlangan SMKSS dalam abad kedua penubuhannya.
Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda menanam sepohon pokok Majesty Palm, tanda kelangsungan warisan pendidikan yang subur sepanjang zaman. Baginda kemudian berkenan melawat Galeri Junjungan Setangi yang memaparkan perjalanan sejarah 100 tahun SMKSS, sebelum berangkat ke majlis santapan diraja.
