KUALA NERUS, 2 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengharumkan nama negara apabila seramai 26 pensyarahnya tersenarai dalam dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025 hasil penilaian Universiti Stanford bersama penerbit akademik terkemuka Elsevier dari Amerika Syarikat.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pengiktirafan itu diumumkan melalui laporan Updated Science-Wide Author Databases of Standardized Citation Indicators versi kelapan yang menilai impak penyelidik berdasarkan petunjuk standard pemilihan.
Menurutnya, tujuh pensyarah UMT diiktiraf dalam Kategori Sepanjang Kerjaya, manakala 19 lagi dalam Kategori Setahun 2024.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidik UMT bersaing di peringkat global, selain satu penghormatan besar kepada universiti.
“Ia juga menjadi bukti sumbangan signifikan tenaga pakar UMT dalam penghasilan ilmu baharu, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan kejayaan tersebut selaras dengan usaha UMT memperkukuh kedudukannya sebagai universiti berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik yang berdaya saing di persada dunia.
“UMT amat berbangga kerana saintis kami mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia,” jelasnya.