lightning-solid
Berita :
Suri Rumah Bukan Penjaga Rumah Semata-mata
Suri Rumah Bukan Penjaga Rumah Semata-mata
Rohayati Ripin
02 Oct 25
60

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Suri rumah bukan lagi dilihat sekadar penjaga rumah tangga, sebaliknya merupakan tulang belakang keluarga dan pemacu pembangunan masyarakat.

Justeru itu, Simposium Suri Sejahtera 2025 yang bakal berlangsung pada 11 Oktober ini di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Watiqhu Billah, Kuala Nerus menjadi platform penting untuk memperkasakan golongan suri melalui perkongsian ilmu, motivasi dan peluang ekonomi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,Pembagunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Negeri, Zuraida Mohd Noor, berkata simposium julung kali itu memberi ruang kepada suri rumah Terengganu meluahkan pandangan dan mengemukakan harapan agar kerajaan negeri menyediakan sokongan lebih menyeluruh terhadap mereka.

“Berdasarkan kajian, 57 peratus wanita Terengganu adalah suri rumah. Mereka istimewa, bukan suri biasa-biasa. 

“Simposium ini akan mendedahkan mereka kepada pengurusan diri, kesihatan mental, kewangan keluarga dan peluang jana pendapatan seperti perniagaan atas talian serta kerja sambilan,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika bual bicara bersama Manis FM, pada semalam.

Menurut beliau, stigma bahawa suri rumah tidak menyumbang kepada masyarakat perlu dihapuskan, sebaliknya mereka wajar diberi pengiktirafan sebagai pendidik utama dalam keluarga serta penyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Bertemakan 'Suri Hebat, Suri Mandiri', program itu menghimpunkan barisan pakar dan profesional untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan kebajikan suri rumah, termasuk tekanan ekonomi, keseimbangan peranan dan peluang bantuan kerajaan serta NGO.

Selain itu, satu resolusi bersama akan diangkat sebagai suara suri Terengganu demi memastikan mereka terus mendapat sokongan dalam pendidikan, kemahiran dan peluang ekonomi.


Tag :

Artikel Berkaitan