Artikel "Utama" Terkini
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan.
Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan itu sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mendoakan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sedang menderita.
"Solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak akan pernah goyah. Doa, sokongan dan tekanan masyarakat dunia adalah kunci untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, sekitar jam 8 pagi waktu Malaysia, seramai 12 orang rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa lain telah disekat dan ditahan oleh rejim Israel sejak 2 pagi tadi waktu Malaysia ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Antara aktivis Malaysia yang ditahan, termasuklah dua anak jati Terengganu iaitu Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Ruysdi Ramli, yang telah bersama-sama menyertai misi bersejarah ini demi membela nasib rakyat Palestin," ujarnya.
Untuk perkembangan terkini berhubung misi ini, orang ramai boleh merujuk laman rasmi Global Sumud Flotilla melalui media sosial mereka.
02 Oct 25
186
Masjid Dibaiki Pulih, Solat Jumaat Di Surau – MAIDAM
SETIU, 2 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membenarkan Surau Kampung Baru Penarik mendirikan solat Jumaat bermula 3 Oktober ini, sebagai langkah sementara berikutan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik yang sedang dijalankan.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jemaah setempat.
"Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan adalah bersifat sementara sahaja sehingga kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik siap dilaksanakan sepenuhnya.
"Kebenaran menggunakan bangunan surau berkenaan bagi solat fardhu dan Jumaat mulai Asar 26 September 2025," katanya dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan surau ini bukan satu penggantian kekal, tetapi penyelesaian segera yang diperlukan demi kemaslahatan umat Islam di kawasan tersebut.
"Kita melihat keperluan mendesak bagi menyediakan ruang ibadah yang selamat.
"Penggunaan surau ini adalah langkah sementara dan telah dipersetujui selepas penilaian menyeluruh dilakukan," jelasnya.
Pengerusi Masjid Kampung Penarik, Azri Yusof, menyambut baik keputusan MAIDAM dan memaklumkan keadaan bumbung masjid yang rosak kini tidak lagi selamat untuk digunakan.
"Saya menyambut baik usaha semua pihak bagi kerja-kerja baik pulih memandangkan struktur bangunan masjid di bahagian bumbung tidak selamat digunakan.
"Orang ramai dan masyarakat boleh bersama mengimarahkan Surau Kampung Baru Penarik yang berjarak 600 meter dari Masjid Kampung Penarik," kata beliau.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menghidupkan surau tersebut sebagai pusat ibadah utama sepanjang tempoh pembaikan.
"Kita galakkan semua jemaah hadir ke surau dan meneruskan amalan seperti biasa.
"Walaupun lokasi berubah buat sementara waktu, semangat kekitaan perlu terus diperkukuh," ujarnya
Jelas Azri, hebahan rasmi telah dilakukan bagi memastikan seluruh komuniti mendapat makluman tepat dan tidak berlaku kekeliruan.
"Perisytiharan dan pemakluman juga telah dibuat pada solat Jumaat baru-baru ini oleh Pegawai Agama Daerah mengenai kebenaran berkenaan.
"Makluman telah disampaikan secara langsung kepada jemaah bagi mengelakkan sebarang salah faham," jelasnya.
Sementara itu, rata-rata jemaah menyambut baik penyelesaian ini dan berharap agar kerja pembaikan masjid berjalan lancar serta selesai mengikut jadual.
Mereka menzahirkan sokongan terhadap usaha MAIDAM dan kepimpinan tempatan yang proaktif dalam memastikan ibadah Jumaat tidak terhenti walau diuji dengan kesulitan.
02 Oct 25
48
360 Keluarga Lega, TDM Hadir Ringankan Beban Hidup
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sebanyak 360 keluarga asnaf dari 24 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menghela nafas lega apabila menerima manfaat melalui Program TDM Bersama Masyarakat anjuran TDM Berhad (TDM), anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu, sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md. Fauzi berkata, bantuan yang diberikan merangkumi wang tunai, barangan keperluan asas dan pengisian kerohanian seperti tazkirah dhuha.
“Inisiatif ini tanda kasih sayang untuk meringankan beban rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Pada masa sama, ia mengeratkan hubungan antara sektor korporat dengan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha sebegini memberi kelegaan kepada golongan terkesan, selain memupuk nilai prihatin dan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, program tersebut selaras dengan aspirasi syarikat untuk terus memberi impak positif kepada rakyat Terengganu.
“Tujuan utama kami adalah berkongsi rezeki, membantu mereka yang memerlukan dan meningkatkan kesejahteraan sosial.
“Sejak dilancarkan, program ini menjadi jambatan memperkukuh jaringan sosial dengan kerjasama agensi kerajaan seperti MAIDAM dan Pusat Khidmat Masyarakat Sura.
“Malah, inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan memperbaiki kualiti hidup golongan asnaf,” jelasnya.
Beliau menambah, program itu akan diperluas secara berperingkat ke seluruh 32 DUN di Terengganu agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat jangka panjang, selaras dengan hasrat kerajaan negeri melalui GLC untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.
01 Oct 25
85
MaluCelli Terus Kuasai LTdL Menang di Terengganu
KEMAMAN, 1 Oktober - Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas muncul juara peringkat keempat dalam kayuhan di Kemaman, hari ini.
Perlumbaan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman menyaksikan pelumba Itali berusia 31 tahun itu sekali lagi mempamerkan kehebatan sekali gus membolehkannya menyarung jersi hijau (Pendahulu Keseluruhan).
Jersi oren (Raja Pecut) turut menjadi miliknya apabila menamatkan saingan peringkat keempat penuh bergaya dengan mencatatkan masa tiga jam 17 minit 56 saat.
Mengirignya di podium ialah pelumba pelumba Polti VisitMalta, Manuel Penalver di tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik Erlend Blikra dari Uno-X Mobility.
Turut hadir meraikan pemenang ialah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
01 Oct 25
510
LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
KEMAMAN, 1 Oktober - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir membuat kejutan apabila mendahului sebahagian besar Perlumbaan pada saingan peringkat empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Nur Aiman walaupun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba apabila ditewaskan kelompok utama yang pada awalanya mendahului sehingga tiga kilometer terakhir.
Aiman untuk edisi pada kali ini telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah hasil aksi penuh berani yang dipamerkan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.
Katanya, kejayaan menguasai sebahagian besar perlumbaan pada hari ini merupakan strategi yang diatur dari awal untuk melepaskannya dalam kelompok 'breakaway'.
"Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah, jadi bagi saya tugasan saya hari ini sudah selesai," katanya, ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Nur Aiman berkata dia juga berusaha keras untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal.
"Malangnya hajat nak menang belum kesampaian, tapi saya puas hati dapat memcuba," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya dia tidak berputus asa tetap mengintai peluang untuk cabaran yang masih berbaki empat peringkat lagi dan menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini.
"Itu laluan laju (pecutan) dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah jika ada peluang saya akan cuba lagi.
"Mengenai cabaran Bukit Fraser itu merupakan medan untuk pendaki, kalau saya boleh terlepas dalam 'breakaway', saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG," ujarnya lagi.
01 Oct 25
107
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 1 Oktober - Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Beliau menyifatkan laluan dalam persaingan tersebut sejauh 141.5 kilometer membuatkannya terpesona dan menyifatkan Terengganu merupakan laluan yang tercantik dalam pengalamannya menyertai acara berbasikal di peringkat dunia.
"Sangat cantik sepanjang laluan pantai, dapat dinikmati keindahannya dalam cuaca yang baik.
"Lebih menyeronokkan penonton bersorak untuk kami sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar merupakan sebuah tempat yang menarik,"ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini.
Katanya, seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan Terengganu sekiranya melihat pemandangan dari atas melalui sisi pandang dron.
"Ia akan dapat dilihat lebih indan dan cantik.
"Selepas ini kami tidak berbasikal, dan akan ambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang cantik ini sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya,"katanya.
01 Oct 25
3250
Gabungan Agama, Keluarga, Alam Semula Jadi Perkasa Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Terengganu mengetengahkan suasana keagamaan, nilai kekeluargaan dan keindahan alam semula jadi sebagai tarikan utama pelancongan, bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah juga pelancong luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, keunikan Terengganu dapat dilihat pada kehidupan seharian masyarakat Islam yang mampu menjadi pengalaman berharga buat pelancong.
Katanya, kerajaan negeri turut mengadakan pelbagai program untuk menghidupkan suasana agama.
“Antaranya program berskala kecil anjuran badan bukan kerajaan (NGO), serta program utama anjuran kerajaan negeri.
"Sekali gus, menampilkan tokoh agama terkenal seperti Ustaz Azhar Idrus, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri, Ustaz Mad Kecik serta ramai lagi,” katanya kepada Radio Molek FM baru-baru ini.
Razali berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri baru-baru ini menganjurkan majlis perkahwinan perdana di semua daerah dengan kos ditanggung sepenuhnya.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja membantu pasangan muda, malah menjadi langkah pencegahan gejala sosial.
Tambahnya lagi, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu mempunyai lebih 12 masjid dan 30 surau yang sentiasa aktif dengan pelbagai aktiviti.
“Inilah suasana yang kita mahu pelancong rasai, selain keindahan 244 kilometer pantai dari Kemaman hingga Besut
"Gabungan suasana rohani, nilai kekeluargaan dan keindahan alam menjadikan Terengganu kekal sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.
"Saya mengalu-alukan semua penggiat pelancongan dan pihak media untuk datang melihat sendiri keunikan tersebut agar lebih ramai memilih Terengganu sebagai destinasi utama," ujarnya.
30 Sep 25
75
Laluan Utama di Kuala Terengganu Ditutup Sementara Sempena LTdL
KUALA TERENGGANU, 30 September - Beberapa jalan utama di sekitar daerah Kuala Terengganu akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Jelajah Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025, pada 1 Oktober ini (Rabu).
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail, penutupan itu bagi memastikan kelancaran peringkat keempat kejohanan berprestij tersebut yang bermula di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kemaman.
"Penutupan akan bermula jam 9.30 pagi dengan laluan konvoi pelumba dijangka melalui kawasan ini sekitar jam 10 pagi.
"Laluan yang terlibat ialah Dataran Batu Buruk, Jalan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai, Chendering dan Sempadan Marang.
"Semua jalan akan dibuka semula setelah konvoi selesai melintasi kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan.
Tambahnya lagi, pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan anggota polis yang bertugas sepanjang laluan perlumbaan demi menjamin keselamatan pelumba, penonton serta masyarakat setempat.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243.
30 Sep 25
7027
R&R@Masjid : UMT Adaptasi Kemesraan Terengganu Sambut Tetamu
KUALA NERUS, 30 September - Pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2025/2026, semalam bukan sahaja membuka lembaran dunia baharu kepada para penuntut, tetapi juga menyingkap wajah mesra universiti berkenaan dalam menyantuni kedatangan mereka ke sana.
Antara usaha yang dilakukan UMT menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) ialah mengadakan R&R (Rehat dan Rawat) @Masjid UMT.
Menurut Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir, pelbagai kemudahan ditawarkan sebagai satu bentuk penghormatan kepada tetamu yang hadir ke UMT.
“Penganjuran R&R @Masjid UMT bertujuan menyantuni para ibu bapa dan menyambut pelajar baharu ke UMT selain meringankan beban keluarga dengan kemudahan yang disediakan.
“Usaha ini menjadikan masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah.
"Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan, diberi perhatian dan disambut dengan penuh kasih sayang," katanya.
Tambahnya, antara kemudahan yang disediakan ialah sarapan pagi percuma, makan tengah hari percuma, minuman serta kudapan ringan, di samping ruang rehat, ruang solat dan tandas yang selesa.
Selain menyediakan keperluan asas, program yang dianjurkan turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara warga masjid, pelajar dan keluarga.
Ia juga memperlihatkan peranan masjid sebagai pusat komuniti kampus yang hidup dan dinamik, serta membina masyarakat kampus yang harmoni, berakhlak dan sejahtera.
Melalui reaksi balas yang diterima di kalangan ibu bapa yang hadir, PISM merakamkan sekalung penghargaan kepada semua penyumbang serta berharap agar inisiatif berkenaan dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa akan datang.
30 Sep 25
977
Hospital Mesra Ibadah KMI Lantik Ustaz Khusus Bimbing Pesakit
KUALA TERENGGANU, 30 September – Keunikan utama Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare Sdn. Bhd. ialah pelantikan pegawai agama khusus serta kakitangan terlatih bagi membimbing pesakit dari aspek kerohanian, selain rawatan moden yang disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, pegawai agama tersebut berperanan memberi bimbingan ibadah seperti solat, berdoa bersama pesakit dan keluarga, selain menjadi rujukan kepada mereka yang ingin mendapatkan panduan berkaitan amalan keagamaan ketika menerima rawatan.
“Pesakit bukan sahaja mendapat kemudahan asas seperti sejadah, al-Quran atau arah kiblat, tetapi turut dibimbing secara langsung oleh ustaz yang akan melawat dan memberi sokongan kerohanian.
“Inilah perbezaan utama yang menjadikan hospital kami benar-benar mesra ibadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Hospital Mesra Ibadah KMI Healthcare di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam.
Dr. Rayney menegaskan, KMI komited menjadikan semua hospital di bawah naungannya sebagai Hospital Mesra Ibadah sebelum dinaik taraf kepada Hospital Patuh Syariah menjelang tahun hadapan.
“Hospital baharu yang sedang dibangunkan di Chukai, Terengganu dan Bertam, Pulau Pinang juga dibina sepenuhnya dengan konsep ini.
“Projek di Bertam sudah bermula dengan kemajuan sekitar lima peratus, manakala di Kemaman kini dalam proses kebenaran merancang. Insya-Allah, dalam tempoh tiga tahun ia dijangka mula beroperasi,” jelasnya.
Menurut beliau, ciri paling utama dalam konsep hospital patuh Syariah adalah memastikan semua urusan berlandaskan prinsip Islam, meliputi rawatan, operasi, bekalan ubat-ubatan sehinggalah kepada kaedah perniagaan dan pinjaman bank.
“Keseluruhan urusan akan dipastikan halal, telus dan tiada unsur haram. Prinsip Islam seperti amanah, integriti dan kejujuran menjadi asas kepada pengurusan hospital,” katanya.
Dr. Rayney turut menegaskan bahawa meskipun memberi keutamaan kepada kemudahan ibadah umat Islam, hospital KMI tetap terbuka kepada semua masyarakat.
“Kita juga menyediakan bilik khas atau quiet room untuk bukan Islam menunaikan amalan kerohanian mengikut kepercayaan masing-masing. Hospital ini bukan hanya untuk orang Islam, tetapi untuk semua,” ujarnya.
Beliau optimis usaha ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pesakit Muslim yang mementingkan aspek ibadah, tetapi juga akan menarik minat pesakit bukan Islam yang menghargai nilai amanah, integriti dan kejujuran yang diterapkan.
30 Sep 25
961