KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Kerajaan Negeri mengumumkan akan menanggung subsidi bil air dengan nilai RM24 juta setahun bagi meringankan beban rakyat susulan pelarasan kadar tarif baharu oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 Oktober lalu selepas mengambil kira peruntukan Seksyen 84(2)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] serta meneliti kesan langsung terhadap rakyat, khususnya pengguna domestik.
Menurutnya, subsidi itu melibatkan pengguna domestik Band 2 dan Band 3, dengan pelaksanaan bermula bagi bil air bulan November 2025.
“Kerajaan Negeri bersetuju menanggung subsidi bil air sebanyak 30 peratus bagi pengguna domestik Band 2 yang menggunakan antara 21 hingga 35 meter padu sebulan, manakala subsidi sebanyak 15 peratus diberikan kepada pengguna domestik Band 3 dengan penggunaan melebihi 35 meter padu.
“Pengguna domestik bagi kategori Band 2 berjumlah sebanyak 78,807 akaun hanya perlu membayar 70 peratus daripada jumlah bil penggunaan Band 2, manakala pengguna domestik kategori Band 3 berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85 peratus daripada jumlah bil penggunaan Band 3 mereka.” katanya dalam satu kenyataan.
Dato’ Nara Setia menegaskan, keputusan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk terus membela rakyat dalam mendepani kos sara hidup, tanpa menjejaskan kelangsungan SATU dalam membekalkan air bersih dan berkualiti.
“Subsidi ini mewujudkan situasi menang-menang, rakyat menikmati bil air lebih rendah, sementara SATU mampu terus beroperasi secara mampan,” katanya.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan negeri yakin rakyat Terengganu akan terus dapat menikmati bekalan air yang mampu milik, stabil dan berkualiti, seiring dengan hasrat menjadikan negeri ini lebih Maju, Berkat dan Sejahtera.