lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Puluhan Tahun Derita, Pagar Elektrik Jadi Harapan Penduduk Basung
Puluhan Tahun Derita, Pagar Elektrik Jadi Harapan Penduduk Basung
HULU TERENGGANU, 10 Oktober– Masalah pencerobohan gajah liar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun di kawasan sekitar Tasik Kenyir dijangka dapat dikurangkan dengan pemasangan pagar elektrik sementara sepanjang empat kilometer dari Kampung Basung ke Pintu Gerbang Pengkalan Gawi. Pagar bernilai RM400,000 itu menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan kini dalam proses pemasangan dijangka siap sepenuhnya serta mula beroperasi pada 15 Oktober ini. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, K.S. Loo, berkata projek itu dilaksanakan oleh Pasukan Basung Rangers dengan kerjasama Perhilitan Negeri Terengganu, JPKK Kampung Basung dan JPKK Kampung Pasir Dula. Menurut beliau, usaha ini merupakan langkah segera bagi menangani konflik manusia-hidupan liar, khususnya melibatkan gajah, yang sering merosakkan tanaman dan menimbulkan keresahan penduduk sejak sekian lama. “Penduduk di sini telah berdepan gangguan gajah liar sejak berdekad-dekad, dengan kerugian hasil pertanian yang tidak sedikit. "Pagar elektrik sementara ini diharap dapat memberikan kelegaan segera, sementara usaha jangka panjang lain diteruskan,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pemasangan pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail. Sementara itu, Zawawi  menyatakan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama menjayakan projek berkenaan. Beliau menegaskan bahawa keselamatan penduduk kampung perlu diutamakan tanpa mengabaikan kelestarian hidupan liar. “Isu gajah liar ini telah berlarutan puluhan tahun. Ramai penduduk hilang sumber rezeki akibat tanaman yang musnah. "Harapan saya agar pagar ini benar-benar berkesan untuk mengurangkan ancaman pencerobohan dan membawa kelegaan kepada masyarakat setempat,” katanya. Zawawi juga berharap kerajaan negeri dan pusat menambah peruntukan bagi membina pagar elektrik kekal di kawasan panas (hotspot) lain di Hulu Terengganu. “Ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga soal masa depan ekonomi penduduk luar bandar,” tambahnya. Katanya lagi, pemasangan pagar elektrik sementara ini dilihat sebagai contoh kerjasama erat antara agensi kerajaan, pasukan sukarelawan dan masyarakat kampung dalam menyelesaikan isu konflik hidupan liar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
10 Oct 25
119
Hidangan Arak Langgar Pekeliling, Jawapan Menteri Tidak Memuaskan
Hidangan Arak Langgar Pekeliling, Jawapan Menteri Tidak Memuaskan
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Jawapan yang diberikan oleh Menteri berhubung isu pentadbiran dan pengurusan Kementeriannya berkait isu hidangan alkohol disifatkan sebagai sangat tidak memuaskan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. Wan Hassan, yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), menyuarakan kebimbangan serius terhadap aspek tata kelola dan integriti di kementerian tersebut, khususnya apabila terdapat program atau keputusan yang telah disahkan secara rasmi tidak dipatuhi atau seolah-olah dilanggar. Beliau menegaskan bahawa apabila sesuatu perkara telah menjadi rasmi, terutamanya selepas mendapat kelulusan menteri, maka semua peraturan, pekeliling dan tatakelola yang berkaitan mestilah dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi. “Apakah maknanya apabila kita tidak mematuhi program-program yang sudah menjadi rasmi dengan sebab kelulusan menteri pelancongan?.  “Ia seolah-olah membawa satu makna bahawa boleh dilanggar tata kelola, integriti, soal pekeliling dan lain-lain,” tegasnya. Menurut beliau, tindakan melanggar garis panduan atau tatakelola sedia ada memberikan mesej yang tidak baik terhadap aspek pentadbiran dan pengurusan, bukan sahaja di peringkat kementerian, tetapi juga kepada pengurusan kerajaan dan negara secara keseluruhan. Teguran keras itu dibuat bagi mendesak kerajaan memastikan semua kementerian mematuhi piawaian tertinggi dalam tadbir urus dan integriti, bagi mengelakkan sebarang salah laku atau ketidakpatuhan prosedur rasmi yang boleh menjejaskan kepercayaan awam. Terdahulu, Wan Hassan meminta agar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya memberikan penjelasan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung penganjuran majlis makan malam rasmi Global Travel Meet 2025 yang melibatkan pelanggaran pekeliling perkhidmatan. Dalam soalan beliau di Dewan Rakyat, Wan Hassan merujuk kepada kenyataan Menteri yang dilaporkan oleh The Star bertarikh 5 Oktober 2025, yang menyebut bahawa cadangan supaya penganjuran Gala Dinner Global Travel Meet 2025 diambil alih oleh pihak swasta telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan dipersetujui oleh Menteri demi menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Beliau menegaskan, walaupun penganjuran diambil alih pihak swasta, kelulusan oleh Menteri menjadikan acara tersebut masih dikategorikan sebagai majlis rasmi, dan oleh itu ia tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3 Palang 2003 serta garis panduan kementerian yang berkuat kuasa.
09 Oct 25
126
Penyalahgunaan Dadah Perlu Ditangani Secara Menyeluruh
Penyalahgunaan Dadah Perlu Ditangani Secara Menyeluruh
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Isu penyalahgunaan dadah di Terengganu perlu ditangani secara menyeluruh dan bersepadu dengan melibatkan semua pihak, bukan hanya bergantung kepada entiti tertentu semata-mata.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kerjasama padu antara kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat amat penting dalam membanteras gejala tersebut secara berkesan. Beliau menegaskan, masalah dadah merupakan ancaman global yang memerlukan strategi menyeluruh serta tindakan berterusan. “Sebagaimana kita maklum, Terengganu merupakan antara negeri tertinggi dari segi penyalahgunaan dadah dan bahan memabukkan. “Hal ini amat menyedihkan, namun pada masa yang sama kita perlu berfikir secara profesional dan positif kerana penyalahgunaan dadah bukan lagi isu setempat atau nasional semata-mata, bahkan ia merupakan masalah di peringkat antarabangsa. “Selagi adanya syaitan dan iblis, kita tidak mungkin dapat menghapuskan sepenuhnya maksiat serta kemungkaran berkaitan dadah, tetapi kita wajib berusaha untuk mengurangkannya,” jelasnya. Dr. Muhammad Khalil yang juga Pengerusi PEMADAM Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemantapan PEMADAM Negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, hari ini. Beliau turut memberi contoh situasi di beberapa negara Amerika Selatan seperti Colombia, yang terpaksa mengerahkan tentera bagi memerangi kartel dadah, menggambarkan betapa serius dan berbahayanya ancaman tersebut terhadap kestabilan sesebuah negara. Mengulas langkah kerajaan negeri, Dr. Muhammad Khalil berkata Terengganu telah melaksanakan pelbagai pendekatan menyeluruh sejak penggal lalu, termasuk menubuhkan Pusat Pemulihan Darul Barakah dan mempergiat program kesedaran masyarakat di semua peringkat. Menurutnya, melalui tema 'Indahnya Hidup Bersyariat', kerajaan negeri memberi penekanan khusus terhadap usaha membanteras penyalahgunaan dadah, seiring dengan pendekatan Islam yang menekankan kesejahteraan rohani dan sosial. “Saya yakin PEMADAM Negeri Terengganu mampu menjadi contoh terbaik kepada negeri lain melalui pendekatan yang tersusun dan berpandukan syariat Allah SWT,” ujarnya.  
09 Oct 25
53
Isu Dadah Masalah Global, Bukan Hanya Tertumpu Kepada SG4
Isu Dadah Masalah Global, Bukan Hanya Tertumpu Kepada SG4
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober –Isu penyalahgunaan dadah adalah masalah global yang tidak sepatutnya dipersalahkan kepada negeri atau institusi tertentu, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara bersama. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Khalil Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas persepsi yang timbul apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sering mengaitkan isu dadah dengan negeri-negeri dalam kelompok SG4, sedangkan data rasmi menunjukkan kadar penyalahgunaan dadah di negeri lain lebih tinggi berbanding Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. “Bagi saya kita tidak menafikan data tersebut, tetapi penyelesaiannya mesti dilihat secara matang dan bersama. "Jangan menuding jari kepada negeri atau institusi tertentu. Dadah ini masalah sejagat,” jelasnya. Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM berkata demikian dalam sidang media selepas Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadun Islam, hari ini. Menurutnya, kerajaan Terengganu telah menyedari hakikat tersebut sejak sebelum mengambil alih pentadbiran pada 2018, lalu memasukkan cadangan penubuhan pusat pemulihan Darul Barakah dalam manifesto pilihan raya. Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai Pusat Pemulihan Darul Barakah menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi daripada individu yang ingin mendapatkan latihan dan pemulihan, namun terpaksa menolak sebahagiannya berikutan kekangan kewangan. “Setakat ini peserta ahli Barakah seramai 85 orang, kita menerima permohonan terlalu tinggi sehingga ada yang terpaksa ditolak kerana isu kewangan yang tidak dapat kita beri,” ujarnya. Beliau menjelaskan, pelatih yang berjaya menamatkan program di pusat tersebut akan terus disusuli oleh agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta institusi bukan kerajaan bagi memastikan mereka tidak terpinggir selepas keluar. Menurutnya, usaha di Darul Barakah memberi tumpuan kepada latihan kemahiran agar peserta mampu berdikari, khususnya dalam bidang pertanian, perikanan dan keusahawanan. “Apa yang kita lakukan di Barakah ini adalah melatih mereka supaya boleh bergerak sendiri. "Dengan kemahiran yang diperoleh, mereka mampu menggerakkan kehidupan selepas keluar,” katanya.
09 Oct 25
29
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
KUALA NERUS, 9 Oktober - Global Sumud Flotilla yang disekat melalui jalan laut tidak akan mematahkan semangat sukarelawan untuk meneruskan misi melalui jalan darat. Wira Sumud Flotilla dari Terengganu, Ustaz Muhammad Abdullah berkata, Sumud Nusantara telah mengadakan perbincangan dan menyatakan usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusian kepada Palestin melalui bumi Rafah.  "Alhamdulillah , hari ini kita dapat keputusan bahawa telah ada perjanjian damai yang menampakkan peluang cerah untuk  masuk ke bumi Gaza melalui darat. "Berdoalah bersama, agar kita dipermudahkan urusan untuk masuk ke darat dan semua 23 peserta yang telah mengikuti misi melalui laut akan turut terlibat untuk masuk melalui darat. "Itulah tujuan kita (melalui misi Sumud Nusantara) sebelum ini untuk memastikan dunia akan terus bercakap mengenai isu Palestin dan sekarang ini seluruh dunia mula bercakap sehinggakan tidak pernah dalam sejarah dari 199 buah negara, 157 atau 2/3 negara mengundi untuk Palestin Merdeka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika tiba di Terengganu dan telah disambut oleh ribuan rakyat Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Seorang lagi peserta Sumud Nusantara, Mohd Asmawi Mukhtar pula berpandangan, pelbagai misi perlu terus dilaksanakan sehingga Palestin itu dibebaskan sepenuhnya dan sehingga kekejaman Israel dapat dihentikan. "Apa yang kita perlu lakukan adalah secara kerjasama, bukan saya sahaja, bukan Ustaz Muhammad sahaja tetapi tetapi semua orang perlu memperjuangkannya," katanya. Tambah Asmawi, apa yang dilalui sepanjang terlibat dengan misi adalah beliau dapat melihat betapa zalim dan jahatnya Zionis Israel.  "Sepanjang perjalanan (terlibat dengan misi) benar-benar menguji dari sudut mental, dan menjadi penguat adalah Ustaz Muhammad yang selalu membacakan doa agar diberikan keselamatan dan bantuan dapat disampaikan, namun dihalang," ujar beliau.  
09 Oct 25
117
30 Tahun Berteduh, Rumah Kak Ton Musnah Dalam Sekelip Mata
30 Tahun Berteduh, Rumah Kak Ton Musnah Dalam Sekelip Mata
KEMAMAN, 8 Oktober - Rumah kediaman milik Riyatun Abdullah, 53 tahun, atau lebih dikenali sebagai Kak Ton, musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.30 petang semalam di Teluk Kalong. Kak Ton yang telah menetap di rumah berkenaan selama hampir 30 tahun difahamkan tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku. “Saya tinggal bersama dua orang anak, dan kesemuanya selamat daripada insiden tersebut.  "Waktu kejadian, saya berada di Kampung Padang Kubu kerana ada beberapa urusan kerja,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata beberapa bantuan segera telah disalurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Katanya, ia bagi meringankan beban keluarga mangsa sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berwajib. "Kejadian ini amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila kediaman yang didiami selama tiga dekad musnah sepenuhnya dalam sekelip mata. "Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun difahamkan api merebak dengan cepat menyebabkan keseluruhan rumah gagal diselamatkan," ujarnya. Beliau menyeru agar semua pihak agar terus mendoakan kekuatan dan ketabahan buat Kak Ton sekeluarga dalam menghadapi ujian berat ini.  "Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mereka dan menggantikan kehilangan ini dengan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.  
09 Oct 25
3133
Rosol Gesa Kerajaan Kaji Semula Mekanisme Harga Automatik Bahan Api
Rosol Gesa Kerajaan Kaji Semula Mekanisme Harga Automatik Bahan Api
KUALA LUMPUR, 9 Oktober– Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid hari ini menggesa kerajaan supaya segera mengkaji semula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan dalam penetapan harga runcit bahan api negara, yang menurutnya tidak disemak lebih 40 tahun. Beliau berkata, semakan semula mekanisme tersebut perlu dilakukan bagi memastikan sistem penetapan harga dan pemberian subsidi bahan api, khususnya petrol RON95, dilaksanakan dengan lebih adil dan telus kepada rakyat. “Sampai bila rakyat akan menikmati harga RM1.99 (seliter) sedangkan harga pasaran mungkin RM2.61. Kerajaan ambil 61 sen, beri kepada rakyat 6 sen, kemudian ambil balik 61 sen. Itulah keadaannya,” katanya ketika membahaskan isu pelaksanaan subsidi bersasar di Dewan Rakyat hari ini. Rosol turut mendakwa, selagi formula APM tidak disemak, rakyat akan terus menanggung beban manakala kerajaan pula berpotensi memperoleh keuntungan lebih besar apabila harga minyak mentah dunia menurun. Selain itu, beliau turut membangkitkan rungutan daripada pengusaha stesen minyak yang didakwa terpaksa menanggung caj tambahan berikutan pelaksanaan sistem subsidi bersasar baharu. Menurutnya, pengusaha stesen minyak kini dikenakan caj sewa peralatan subsidi sebanyak RM80 sebulan, yang disifatkannya sebagai membebankan. “Alat di stesen minyak dikatakan disewa atau dikenakan caj RM80 sebulan. Apakah penyelesaian daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)?” soalnya. Rosol berkata, penyasaran subsidi perlu mengambil kira kesan kepada semua pihak dalam rantaian bekalan bahan api, termasuk pengusaha stesen dan pengguna akhir, bagi memastikan pelaksanaannya lebih seimbang dan berkesan.  
09 Oct 25
92
Mantan Ketua Editor UPDI Meninggal Dunia
Mantan Ketua Editor UPDI Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Mantan Ketua Editor Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Aida Abdul Rahman, 46, meninggal dunia di kediaman keluarganya yang bertempat di Kampung Kubang Parit, pagi ini. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.03 pagi, setelah hampir setahun bertarung dengan penyakit kanser usus. Allahyarhamah Aida meninggalkan tiga orang anak masing berumur 14 tahun, 10 dan enam tahun. Memulakan kerjaya sebagai wartawan di Harian Metro, Allahyarhamah Aida mula bertugas di Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) pada tahun 2004, yang kemudian dijenamakan sebagai UPDI pda tahun 2018. Aida kini menjawat jawatan Penolong Pegawai Penyelidik Penerbitan dan Multimedia di Wisma Darul Iman, sebelum bercuti sejak awal tahun ini setelah didiagnos menghidap kanser pada tahap empat. Semoga Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.  
09 Oct 25
375
31 Buah Rumah Rosak Dilanda Ribut di Cukai Dibaiki
31 Buah Rumah Rosak Dilanda Ribut di Cukai Dibaiki
KEMAMAN, 9 Oktober - Kira-kira 31 buah rumah dilaporkan rosak akibat ribut dan angin kencang yang melanda daerah ini, semalam mula dibaik pulih.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda, terutama bumbung rumah yang tercabut. "Setakat ini kami menerima laporan melibatkan beberapa kampung di DUN Cukai ini. "Hari ini, melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing- masing, kami akan memulakan proses baik pulih. "Insya-Allah, kami akan membantu seluruh keluarga yang terlibat bagi memastikan ianya dapat meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi ketika musibah seperti ini berlaku," ujarnya kepada pemberita. Terdahulu, dilaporkan 31 buah rumah yang mengalami kerosakan ini melibatkan Kampung Pengkalan Pandan, Jalan Dato', Kampung Gong Pauh, Kampung Gong Limau, Kampung Jaya, Kampung Jabur Kubur, Lot 144, Kampung Geliga Baru, Kampung Geliga, Kampung Kubang Kurus, Kg Paya Berenjut, Kampung Bakau Tinggi , Kampung Besut 2 dan Taman Perumahan Gong Pauh. 
09 Oct 25
49
"Tugas Kita Belum Selesai, Teruskan Bercerita Tentang Palestin"
"Tugas Kita Belum Selesai, Teruskan Bercerita Tentang Palestin"
KUALA LUMPUR – “Tugas kita belum selesai. Balik ke rumah masing-masing, ceritakan perjuangan ini, jangan diam, ” seru Ustaz Muhammad Abdullah, wira Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla, yang menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil sekejap tadi.  Berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin, pendakwah berusia 32 tahun itu menyuntik gelombang inspirasi apabila menegaskan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk tidak bersuara. “Saya sering terfikir, saya ini tubuh kecil, apa yang boleh saya buat? Rupa-rupanya, kecil tidak menjadi halangan untuk kita menggegarkan dunia,” katanya.  Ucapan beliau disambut dengan laungan takbir dan tepukan gemuruh, membuktikan bahawa keberanian dan keyakinan mampu menembusi batas fizikal. Suasana menjadi semakin gamat apabila beliau secara berseloroh menyindir Zionis. “Israel pun takut (dengan budak kecil),” jelasnya.  Beliau turut berkongsi kisah peribadinya yang dibesarkan oleh ibu tunggal selepas kematian bapa ketika usia enam tahun.  Ucapan beliau turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama barisan kepimpinan negara dan tokoh masyarakat.  Mengakhiri ucapan, Ustaz Muhammad mengingatkan bahawa perjuangan tidak berakhir di Axiata Arena. “Bangkitkan semangat kepada anak-anak dan keluarga kalian tentang erti sebenar kemanusiaan,” tambah beliau. 
08 Oct 25
139