lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
Tanah Peneroka ‘Dirampas’ 2010, Kini Bakal Kembali Ke Pangkuan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu tanah peneroka di Cakuh 9, Jerangau yang berlarutan lebih empat dekad kini kembali menunjukkan sinar penyelesaian apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersetuju membuka semula pelan penyerahan tanah kepada Kerajaan Negeri untuk diberi hak milik kepada peneroka asal yang telah meneroka tanah tersebut sejak tahun 1985. Menurut rekod, seramai 80 peneroka telah mengusahakan tanah seluas lima ekar setiap lot bagi tanaman sawit secara sah mengikut Peraturan Tanah Terengganu, namun pada tahun 2010, tanah berkenaan telah diberi milik kepada KETENGAH oleh kerajaan ketika itu, sekali gus menafikan hak peneroka asal yang telah berpuluh tahun membangunkan kawasan tersebut dari hutan tebal menjadi ladang sawit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa kesilapan itu bukan berpunca daripada rakyat, sebaliknya daripada keputusan kerajaan terdahulu yang menyerahkan tanah rakyat kepada agensi. “Isu sebenar ialah bukan rakyat yang menceroboh tanah KETENGAH, tetapi hakikatnya KETENGAH yang tersilap mengambil tanah yang telah diterokai rakyat sejak berpuluh tahun lalu. “Sepatutnya para peneroka ini diberikan hak milik bagi tanah yang mereka telah terokai. Apatah lagi keluasan setiap lot adalah lima ekar mematuhi peraturan bagi kebun sawit. Dari segi moral, adalah silap apabila tanah ini diberi milik kepada KETENGAH. Ia satu bentuk kezaliman terhadap peneroka asal,” katanya menerusi laman sosialnya, kelmarin. Dr. Azman mendedahkan, ketika beliau berada dalam Lembaga Pengarah KETENGAH (BOD), satu keputusan telah dibuat untuk menyerahkan kembali tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri supaya diagihkan semula kepada peneroka asal. Ujar beliau, sebagai gantinya Kerajaan Negeri akan memberi tanah lain kepada KETENGAH dengan keluasan yang sama. “Namun, pelan penyelesaian tersebut tergendala susulan pertukaran kepimpinan politik dan perubahan jawatan Pengerusi KETENGAH, menyebabkan keputusan itu dibatalkan. “Situasi menjadi tegang apabila pada Disember 2024, notis pengurusan baharu KETENGAH ditampal di ladang sawit Cakuh 9, mencetuskan konflik terbuka dengan peneroka. Tambah beliau, kini, selepas perubahan kepimpinan sekali lagi, KETENGAH bersetuju untuk menghidupkan semula pelan penyelesaian tersebut dengan kerjasama penuh Kerajaan Negeri bagi menamatkan kemelut yang telah berlarutan selama lebih 40 tahun. “Semasa saya dalam BOD KETENGAH dulu, pelan penyelesaian telah dibuka untuk dilaksanakan kembali. Kerajaan Negeri sedia membuka ruang sepenuhnya supaya ia dapat diselesaikan segera demi manfaat rakyat. “Dulu kami telah bekerja separuh jalan, tinggal sedikit sahaja lagi untuk disempurnakan. Terima kasih KETENGAH kerana kembali ke landasan yang betul. “Isu ini bukan salah pengurusan tetapi berpunca daripada mantan Pengerusi yang terlalu ghairah berpolitik tanpa mengira kepentingan rakyat. Alhamdulillah, beliau telah tiada lagi dalam posisi tersebut dan rakyat perlu pastikan orang sebegini tidak kembali,” tegas Dr. Azman.
08 Oct 25
17160
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
Kerajaan Negeri Bantu Usahawan Wanita Manfaat Platform Digital
HULU TERENGGANU, 8 Oktober – Usahawan wanita di negeri ini disaran mengambil kesempatan dengan manfaatkan teknologi terkini termasuk menggunakan platform digital sebagai medium bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi terkini sangat penting dalam memastikan mereka tidak ketinggalan. Katanya, susulan itu Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sentiasa memantau usahawan-usahawan ini termasuk menyediakan latihan, kursus, khidmat nasihat dan lain-lain agar mereka sentiasa berdaya saing. “Bidang perniagaan adalah sesuatu yang sangat fleksibel, walaupun kita lihat ramai usahawan wanita telah berjaya tetapi mereka perlu sentiasa diberikan latihan dan bimbingan dari semasa ke semasa memandangkan perkembangan teknologi terkini yang sangat laju. “Malah masih ada di kalangan usahawan wanita yang memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar hanya berdaftar di platform digital tetapi juga mampu berjaya seperti orang lain dan inilah peranan kita untuk membantu mereka lebih maju ke hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jejak Usahawan yang menyertai Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di Ajil, semalam. Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru usahawan Terengganu berdaftar dengan YPU walaupun sudah berbuat demikian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan mereka merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.  
08 Oct 25
117
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
26 PKM Kini Dilengkapi S@MPAI, Strategi Baharu Bantu Rakyat Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Inisiatif Kerajaan Terengganu bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terpinggir daripada peluang pekerjaan terus diperkasa apabila skrin Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) kini telah dipasang di 26 Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh negeri setakat September lalu. S@MPAI merupakan platform penyampaian maklumat pekerjaan yang diperkenalkan melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), dengan pendekatan visual grafik interaktif yang dikemas kini secara harian. Ia menjadi saluran pilihan rakyat untuk mendapatkan maklumat pekerjaan dengan lebih cepat, tepat dan mesra pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sistem berkenaan kini telah mula bersiaran setiap hari, menyalurkan pelbagai maklumat pekerjaan dalam dan luar negeri. “Selain maklumat kerja kosong, S@MPAI turut memaparkan maklumat berkaitan program pembangunan sumber manusia, peluang melanjutkan pelajaran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk hebahan program setempat,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Menariknya, tambah beliau, beberapa buah masjid juga telah menyatakan minat untuk memasang sistem tersebut di lokasi masing-masing, menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan baharu ini. Mengulas lanjut, Ariffin berkata fungsi utama S@MPAI buat masa ini adalah untuk menyalurkan maklumat pekerjaan dan latihan kemahiran terus ke peringkat akar umbi, merangkumi daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Kita berharap penyaluran maklumat ini dapat mengurangkan jurang maklumat (information gap) yang selama ini menjadi antara punca utama masalah pengangguran dalam kalangan rakyat,” jelasnya. Menurutnya, bagi memastikan seluruh rakyat negeri menikmati manfaat kemudahan ini, paparan aplikasi S@MPAI akan diperluas ke semua DUN melalui Pusat Khidmat Masyarakat secara berperingkat dalam masa terdekat. Langkah ini bukan sahaja memberi akses menyeluruh kepada maklumat kerjaya, malah selari dengan agenda pendigitalan Terengganu dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat secara inklusif dan efisien. Dengan pemasangan S@MPAI di lokasi strategik seperti PKM dan masjid, rakyat kini mempunyai akses segera kepada maklumat kerja tanpa perlu menunggu hebahan konvensional. Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada pencari kerja, terutama golongan muda dan belia luar bandar, selain memperkukuh jaringan maklumat antara kerajaan negeri dan rakyat di peringkat akar umbi.
08 Oct 25
693
Infrastruktur Sukan DUN Sura Diperkasa
Infrastruktur Sukan DUN Sura Diperkasa
DUNGUN, 8 Oktober – Infrastruktur sukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura kini diperkasa dengan projek pembinaan gelanggang bola sepak pantai yang hampir siap sepenuhnya dan dijangka dapat digunakan dalam masa terdekat. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, projek pembangunan itu adalah salah satu inisiatif utama untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti sukan serta memupuk gaya hidup sihat dalam komuniti setempat. “Menerusi projek ini, kami berhasrat menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti dan mampu menjadi pusat tarikan bagi belia di DUN Sura,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Facebooknya hari ini. Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menambah, gelanggang bola pantai yang dibina bukan sahaja akan menjadi tapak latihan dan pertandingan, malah menjadi venue utama bagi kejohanan bola sepak pantai Piala ADUN Sura yang akan berlangsung pada bulan November nanti. “Kejohanan ini adalah langkah pertama kami untuk mengaktifkan penggunaan gelanggang baharu ini dan saya menyeru semua yang berminat supaya mendaftar segera bagi menyertai acara tersebut,” ujarnya lagi. Projek pembangunan ini dilihat mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan sukan di kawasan tersebut serta membuka peluang untuk memupuk bakat belia dalam bidang sukan bola sepak pantai. Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau mendaftar penyertaan kejohanan bolehlah menghubungi pejabat ADUN Sura atau melayari laman rasmi Facebook ADUN Sura.
08 Oct 25
66
Ahli Parlimen Besut Gesa Henti Sindrom Nuri, Tegur Kelekaan Tadbir Urus
Ahli Parlimen Besut Gesa Henti Sindrom Nuri, Tegur Kelekaan Tadbir Urus
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, menegur kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan kerajaan dalam isu aset usang serta hasil negara yang gagal direalisasikan, sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2025. Ketika membahaskan laporan itu di Dewan Rakyat petang tadi, beliau berkata perbelanjaan besar bagi penyenggaraan aset lama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jelas menunjukkan kebergantungan berterusan terhadap aset yang sudah berusia dan tidak lagi ekonomik untuk diselenggara. “APMM telah membelanjakan RM229.93 juta bagi kapal melebihi usia 30 tahun, dan RM78 juta lagi bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun. Ini bukan lagi langkah berhemah, sebaliknya tanda kebergantungan yang berisiko,” ujarnya. Beliau turut menegaskan keperluan kerajaan mengelak daripada terperangkap dalam apa yang disebut sebagai sunk cost fallacy atau 'kesesatan kos lepas', iaitu terus berbelanja hanya kerana pelaburan lama yang telah dibuat tanpa menilai keberkesanan semasa. “Kita sudah belajar daripada pengalaman helikopter Nuri, senggara terlalu lama sehingga menelan kos lebih besar daripada membeli baharu, dan akhirnya mengorbankan nyawa anggota keselamatan. Jangan biar ‘Sindrom Nuri’ berulang di laut pula,” tegasnya. Che Mohamad turut mempersoalkan ketidakaturan dalam pengurusan aset APMM, termasuk bayaran hampir RM60,000 bagi peralatan yang tidak dibekalkan serta RM140,000 bagi peralatan yang tidak menepati spesifikasi. Katanya, kelemahan ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi melibatkan keselamatan anggota di lapangan apabila beberapa ujian penting bagi memastikan kelayakan pelayaran (seaworthiness) kapal didapati tidak dijalankan sebelum pendaftaran aset. “Kegagalan seperti ini membahayakan anggota maritim yang bertugas di laut, dan mencerminkan pengurusan aset yang longgar serta tidak menepati prinsip tadbir urus yang baik,” ujarnya lagi. Dalam perbahasan sama, beliau turut menarik perhatian terhadap isu potensi hasil kerajaan yang tidak direalisasikan seperti dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara. Antaranya, anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115 juta yang boleh dikutip sekiranya nombor pendaftaran kenderaan tidak aktif ditawarkan kepada umum pada harga minimum, selain denda dan sewaan yang tidak dikutip melibatkan jumlah puluhan juta ringgit. “Akaun belum terima hasil meningkat kepada RM44.55 bilion pada 2024 berbanding RM39.52 bilion tahun sebelumnya, peningkatan 12.8 peratus. Daripada jumlah itu, RM20.6 bilion telah melebihi tempoh enam tahun dan berisiko dihapus kira,” katanya. Beliau berkata, setiap hasil yang tidak dikutip bermaksud kehilangan sumber untuk rakyat, sama ada dalam bentuk kemudahan awam, pendidikan mahupun keselamatan. “Kebocoran hasil bukan kerana kecurian, tetapi kerana kelekaan pentadbiran,” tegasnya. Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Besut menegaskan bahawa teguran terhadap laporan audit bukan bertujuan menyerang kerajaan, sebaliknya untuk memperbetulkan kelemahan dan memastikan setiap sen hasil negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat. “Malangnya, bila kita menegur, ada pula yang menyerang secara peribadi. Kalau nak menjilat, jilatlah, tapi jangan sampai menuduh orang lain bermacam-macam,” katanya dengan nada tegas. Beliau turut mengingatkan bahawa tadbir urus (governance) yang sering dilaungkan kerajaan perlu diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar slogan. “Slogan ‘Malaysia Madani Bekerja’ nampak gah, tetapi laporan audit ini membuktikan pengurusan kewangan kerajaan masih sarat dengan kelemahan,” katanya.
08 Oct 25
214
18 Keluarga Dapat Rumah Baharu Selepas 15 Tahun Tersisih
18 Keluarga Dapat Rumah Baharu Selepas 15 Tahun Tersisih
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Isu penempatan 18 keluarga di Kampung Habib Mohsen, Kuala Kemaman yang berlarutan lebih 15 tahun akhirnya menemui penyelesaian apabila mereka bakal menerima rumah baharu hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata projek pembinaan rumah bagi keluarga terbabit kini telah memasuki fasa kedua dengan kemajuan kerja sebanyak 50 peratus. “Alhamdulillah, inilah 18 buah rumah yang akan diberikan kepada penduduk yang terjejas. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MAIDAM atas usaha menyelesaikan masalah rakyat ini selepas lebih tiga tahun tertangguh. “Doakan semoga semua proses berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau menjelaskan, nama-nama penduduk yang masih belum menerima penempatan telah dibawa ke Pejabat Daerah dan MAIDAM untuk tindakan lanjut. Langkah ini membuka ruang penyelesaian selepas sekian lama mereka hidup dalam ketidakpastian. Hanafiah turut yakin projek ini bakal menamatkan episod panjang penantian sejak 2009, sekali gus memberikan kehidupan lebih stabil kepada keluarga terlibat. Projek pembinaan rumah tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.1 juta. Menurut rekod sejarah, Kampung Habib Mohsen mula didiami lebih 50 tahun lalu, apabila penduduk asal berpindah dari pesisir Kuala Kemaman akibat hakisan ombak. Selepas Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir oleh PAS telah memindahkan sebahagian besar penduduk ke Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Fikri dan RTB Paya Berenjut, sebahagian lagi tidak berpindah. Kehidupan penduduk berjalan seperti biasa sehinggalah pada 11 Jun 2009, ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka menerima notis amaran pengosongan tanah selepas waris pemilik asal menuntut semula kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan. Ratusan penduduk telah dipindahkan ke penempatan semula RTB, namun 18 keluarga masih kekal di kawasan asal. Mereka kemudian diarahkan oleh pihak Mahkamah untuk mengosongkan tapak tanah tersebut kepada pemilik asal. Bagi menyelesaikan isu ini, hasil beberapa siri mesyuarat antara Kerajaan Negeri dan MAIDAM, dipersetujui untuk membiayai pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). 
07 Oct 25
2313
Terengganu Sambut Wira Sumud di Lapangan Terbang Sultan Mahmud
Terengganu Sambut Wira Sumud di Lapangan Terbang Sultan Mahmud
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Kerajaan Terengganu bakal meraikan kepulangan aktivis-aktivis kemanusiaan anak negeri yang menyertai Sumud Flotilla, sebuah misi antarabangsa membawa mesej solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin pada Khamis ini jam 2.30 petang.  Sambutan itu dijangka menjadi manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap keberanian dan pengorbanan mereka yang dianggap wira rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penyertaan rakyat Terengganu dalam misi tersebut membuktikan keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dan semangat kemanusiaan yang tidak berbelah bahagi. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap perjuangan rakyat Palestin serta menghargai keberanian aktivis yang menyertai misi berisiko itu. "Kita berbangga kerana ramai rakyat Malaysia terlibat, khususnya rakyat negeri Terengganu," ujarnya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini. Dr. Khalil turut menyifatkan para aktivis tersebut sebagai lambang keberanian dan suara rakyat negeri yang memperjuangkan keadilan sejagat.  "Kita menganggap mereka adalah wira rakyat Terengganu dan menjadi wakil kepada rakyat Terengganu untuk membela isu Palestin," tambah beliau. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan sambutan rasmi bagi meraikan kepulangan wira-wira terbabit.  "Kita akan mengadakan sambutan bagi menyambut kepulangan wira-wira kita," katanya sambil menyifatkan ia tanda penghargaan terhadap perjuangan anak Terengganu di pentas antarabangsa. Selain sambutan tersebut, Dr. Khalil turut mengumumkan tiga program utama berkaitan isu Palestin yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.  "Pada 10 Oktober akan diadakan program Perarakan Bot menyokong perjuangan rakyat Palestin. "Pada 14 Oktober pula, program Maulid Akbar Untuk-Mu Al-Aqsa akan diadakan, manakala 17 Oktober akan berlangsung Ceramah Taufan Al-Aqsa yang bakal dihadiri tokoh-tokoh utama termasuk Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang akan menyampaikan ucaptama pada malam tersebut," jelasnya. Dr. Khalil menyeru rakyat Terengganu agar terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin melalui doa, sokongan dan tindakan nyata, sebagai bukti keutuhan solidariti umat Islam sejagat.
07 Oct 25
10147
Kerajaan Negeri Jumpa PR1MA Teroka Jalan Siapkan Projek Terbengkalai
Kerajaan Negeri Jumpa PR1MA Teroka Jalan Siapkan Projek Terbengkalai
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Batu Rakit yang kini masih terbengkalai dijangka 'hidup' kembali selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perbincangan itu bertujuan bagi meneroka semula potensi projek tersebut. Tambah beliau, pertemuan rasmi bersama pengurusan PR1MA turut membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik di Terengganu. "Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam usaha membangunkan dan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa serta mampu milik untuk rakyat. "Komitmen ini dizahirkan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama agensi persekutuan dan pihak berkaitan bagi memastikan setiap rakyat khususnya golongan B40 dan M40 berpeluang memiliki rumah sendiri. "Pertemuan ini turut menumpukan kepada potensi tapak baharu untuk dimajukan serta cadangan meneruskan semula Projek PR1MA di Batu Rakit," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, semalam. Turut bersama dalam kunjungan rasmi itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan delegasi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan). Menurutnya lagi, kerajaan negeri optimis bahawa kerjasama erat dengan PR1MA akan membuka ruang lebih luas bagi pelaksanaan projek perumahan berkualiti di seluruh Terengganu. "Kerajaan negeri optimis bahawa melalui kerjasama erat dengan PR1MA, lebih banyak projek perumahan berkualiti dan mampu milik dapat direalisasikan di negeri ini. "Seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti, insya-Allah," ujarnya. Projek PR1MA Batu Rakit yang diumumkan pada tahun terdahulu sebelum ini dirancang membabitkan 350 unit kediaman berharga antara RM195,000 hingga RM241,000 dengan keluasan 850 kaki persegi. Ia merupakan skim projek perumahan yang telah dilancarkan pada 4 Julai 2011 oleh mantan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan dipertanggungjawabkan kepada PR1MA Corporation Malaysia sebagai pemaju. Perumahan itu sebelum ini dirancang untuk mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Antara kemudahan lain disediakan ialah surau berhampiran pantai,  dewan komuniti serta bilik pengurusan jenazah. Namun, projek di Batu Rakit itu terpaksa dihentikan selepas mencatat kadar tempahan rendah (10 peratus tempahan) dan isu lokasi berhampiran pantai yang terdedah kepada masalah hakisan.
07 Oct 25
4417
Sekatan Kewangan Tak Halang Terengganu Laksana Kad Sejahtera
Sekatan Kewangan Tak Halang Terengganu Laksana Kad Sejahtera
Oleh : Syahida Mohd/Safwan Syakir KUALA NERUS, 7 Oktober – Sekatan kewangan oleh pihak tertentu tidak menghalang Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus melaksanakan program kebajikan Kad Sejahtera, demi memastikan rakyat tetap menerima manfaat kesihatan asas. Program yang kembali dilaksanakan bagi Fasa 5 tahun 2025 ini menyaksikan seramai 4,224 rakyat Terengganu terpilih sebagai penerima, selepas dua tahun program tersebut terpaksa dihentikan akibat kekangan kewangan. ADUN Bukit Tunggal, Lsr. Zaharudin Zahid, berkata Kad Sejahtera merupakan antara manifesto penting Kerajaan PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan telah dilaksanakan sejak tahun 2019 hingga 2022. Namun kata beliau, pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan pada 2023 dan 2024. “Kalau sebelum ini penerima dari tiga DUN, Tepoh, Seberang Takir dan Bukit Tunggal seramai 10,000 orang dengan peruntukan RM10 juta, kali ini jumlah penerima dikurangkan kepada sekitar 500 orang bagi ketiga-tiga DUN. “Ia disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika berucap dalam Program Taklimat Kad Sejahtera Fasa 5 di Riyadh Resident, di sini pagi semalam. Menurut Zaharudin, walaupun jumlah penerima dan nilai bantuan diubah, pendekatan baharu ini membolehkan manfaat program terus dirasai rakyat, walaupun dalam keadaan kewangan negeri yang terbatas. “Sebelum ini nilai bantuan RM500 setahun. Tahun ini, kita sesuaikan kepada RM200 untuk tempoh enam bulan. Walaupun lebih kecil, ia tetap mampu meringankan beban rakyat dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mendahulukan kebajikan rakyat,” ujarnya. Zaharuddin. Pegawai Bahagian Undang-Undang TSIS, Kamal Ismail, yang hadir sebagai penceramah taklimat, menjelaskan bahawa bagi Fasa 5 ini, penerima tidak lagi menerima kad fizikal seperti sebelum ini. Sebaliknya ujar beliau, nilai bantuan RM200 akan dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan penerima. “Langkah ini bagi mengelakkan masalah kehilangan atau tertinggal kad seperti sebelum ini. “Penggunaan kad ini turut meliputi semua tanggungan penerima, dan sebarang penambahan ahli keluarga boleh dimaklumkan kepada Ketua JPKK atau Pusat Khidmat Masyarakat untuk pendaftaran dalam tempoh dua minggu,” jelasnya. Menurut Kamal lagi, terdapat 90 klinik panel sah di seluruh negeri yang terlibat dalam pelaksanaan Kad Sejahtera. “Had penggunaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi setiap caj rawatan, membolehkan rakyat mengakses rawatan asas tanpa menanggung kos tinggi,” katanya.  Pelaksanaan program kali ini turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang turut menyalurkan sebahagian dana bagi menjayakan inisiatif ini.  
07 Oct 25
2211
Rakyat Terengganu Kembali Terima Manfaat Kad Sejahtera
Rakyat Terengganu Kembali Terima Manfaat Kad Sejahtera
MARANG, 7 Oktober – Program Kad Sejahtera yang pernah dihentikan tahun lalu akibat kekangan kewangan negeri kini kembali diteruskan bagi memberi kemudahan rawatan kesihatan kepada rakyat berpendapatan rendah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Dato’ Ariffin Deraman meluahkan rasa syukur dan gembira apabila bantuan Kad Sejahtera kini disambung semula oleh Kerajaan Negeri Terengganu. “Pemberian Kad Sejahtera terpaksa dihentikan tahun lalu susulan sekatan terhadap royalti negeri yang menyebabkan kekangan sumber kewangan negeri. “Namun, pada tahun ini kerajaan negeri tetap berusaha untuk membantu rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri. Ariffin berkata demikian ketika berucap di Majlis Taklimat Kad Sejahtera Fasa Ke-5 Tahun 2025/2026 yang diadakan di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam. Sementara itu, Pegawai Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Shamsul Bahri Salleh, menjelaskan bahawa manfaat Kad Sejahtera sehingga RM500 setahun yang sebelum ini diterima oleh rakyat berpendapatan rendah terpaksa dikurangkan. “Penerima yang layak boleh mendapatkan rawatan di klinik panel terpilih di seluruh negeri Terengganu dengan nilaian RM200 untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2026,” katanya.
07 Oct 25
5297