KEMAMAN, 8 Oktober - Rumah kediaman milik Riyatun Abdullah, 53 tahun, atau lebih dikenali sebagai Kak Ton, musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.30 petang semalam di Teluk Kalong.
Kak Ton yang telah menetap di rumah berkenaan selama hampir 30 tahun difahamkan tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.
“Saya tinggal bersama dua orang anak, dan kesemuanya selamat daripada insiden tersebut.
"Waktu kejadian, saya berada di Kampung Padang Kubu kerana ada beberapa urusan kerja,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata beberapa bantuan segera telah disalurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Katanya, ia bagi meringankan beban keluarga mangsa sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berwajib.
"Kejadian ini amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila kediaman yang didiami selama tiga dekad musnah sepenuhnya dalam sekelip mata.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa, namun difahamkan api merebak dengan cepat menyebabkan keseluruhan rumah gagal diselamatkan," ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak agar terus mendoakan kekuatan dan ketabahan buat Kak Ton sekeluarga dalam menghadapi ujian berat ini.
"Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mereka dan menggantikan kehilangan ini dengan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
