KUALA NERUS, 9 Oktober - Global Sumud Flotilla yang disekat melalui jalan laut tidak akan mematahkan semangat sukarelawan untuk meneruskan misi melalui jalan darat.
Wira Sumud Flotilla dari Terengganu, Ustaz Muhammad Abdullah berkata, Sumud Nusantara telah mengadakan perbincangan dan menyatakan usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusian kepada Palestin melalui bumi Rafah.

"Alhamdulillah , hari ini kita dapat keputusan bahawa telah ada perjanjian damai yang menampakkan peluang cerah untuk masuk ke bumi Gaza melalui darat.
"Berdoalah bersama, agar kita dipermudahkan urusan untuk masuk ke darat dan semua 23 peserta yang telah mengikuti misi melalui laut akan turut terlibat untuk masuk melalui darat.
"Itulah tujuan kita (melalui misi Sumud Nusantara) sebelum ini untuk memastikan dunia akan terus bercakap mengenai isu Palestin dan sekarang ini seluruh dunia mula bercakap sehinggakan tidak pernah dalam sejarah dari 199 buah negara, 157 atau 2/3 negara mengundi untuk Palestin Merdeka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika tiba di Terengganu dan telah disambut oleh ribuan rakyat Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini.

Seorang lagi peserta Sumud Nusantara, Mohd Asmawi Mukhtar pula berpandangan, pelbagai misi perlu terus dilaksanakan sehingga Palestin itu dibebaskan sepenuhnya dan sehingga kekejaman Israel dapat dihentikan.
"Apa yang kita perlu lakukan adalah secara kerjasama, bukan saya sahaja, bukan Ustaz Muhammad sahaja tetapi tetapi semua orang perlu memperjuangkannya," katanya.
Tambah Asmawi, apa yang dilalui sepanjang terlibat dengan misi adalah beliau dapat melihat betapa zalim dan jahatnya Zionis Israel.
"Sepanjang perjalanan (terlibat dengan misi) benar-benar menguji dari sudut mental, dan menjadi penguat adalah Ustaz Muhammad yang selalu membacakan doa agar diberikan keselamatan dan bantuan dapat disampaikan, namun dihalang," ujar beliau.
