lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Penubuhan Kelab Suri Terengganu Perkasa Suri Rumah
Penubuhan Kelab Suri Terengganu Perkasa Suri Rumah
KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan Terengganu menjadikan pemerkasaan suri rumah sebagai agenda utama pembangunan wanita negeri melalui penubuhan Kelab Suri Terengganu di setiap daerah. Katanya, pelaksanaan menyeluruh Dasar Wanita Terengganu yang menumpukan aspek ilmu, ekonomi dan kesejahteraan emosi. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Zuraida Md Noor berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mengiktiraf peranan besar suri rumah yang merangkumi 57 peratus daripada populasi wanita di Terengganu. "Oleh itu, kita perlu mewujudkan satu inisiatif atau platform bagi melahirkan suri rumah bermanfaat, suri rumah yang berilmu, berakhlak dan memiliki keupayaan menyeluruh sebagai satu pakej lengkap. "Bukan sekadar menjaga rumah tangga, tetapi turut berperanan memelihara komuniti, menyumbang kepada masyarakat serta membantu membangunkan negeri Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Simposium Suri Sejahtera di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran  Bandar Al Wathiqu Billah, di sini semalam. Menurut beliau, dasar wanita yang telah digazet dan digunakan secara rasmi kerajaan negeri itu menggariskan empat segmen utama iaitu pembangunan, pemerkasaan, perlindungan dan pemberdayaan wanita. Selain itu, kerajaan turut melaksanakan 13 bidang program termasuk pendidikan, agama, sosial dan ekonomi bagi memperkukuh peranan wanita dalam keluarga serta masyarakat. Beliau turut mengumumkan penubuhan Kelab Suri Terengganu di lapan daerah dan 32 DUN bagi memperluas jaringan komuniti wanita hingga ke peringkat akar umbi. "Antara yang ramai kesihatan mental di kalaangan suri rumah, tidak dinafikan kenapa mereka tidak ada ilmu untuk mengurus masa.  "Bagaimana nak urus diri. Inilah salah satu cara kita nak sampaikan ilmu kepada masyarakat, melalui medium, pempengaruh, pendakwah, medium kerajaan, ia ada medium yang membantu kami untuk menyampaikan risalah ini," katanya. Beliau menambah, ini merupakan satu pelan yang jelas hasil daripada Simposium hari ini.  "Kita mahu memastikan pelan ini digarap dan dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi bukan sekadar di peringkat atasan, tetapi turut sampai ke peringkat DUN dan kampung.  "JPKK lebih rapat dengan para suri rumah berbanding pegawai kerajaan kerana mereka hidup dalam komuniti yang sama. Tidak mustahil, insya-Allah, inisiatif ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain, khususnya dalam kelompok SG4," ujar beliau.
13 Oct 25
81
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas rasmi sehingga kes sivil membabitkan beliau dan Yusuf Rotter diselesaikan. Cadangan tersebut dilontarkan ketika beliau membahaskan isu tatakelola dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. “Saya tertarik dengan istilah ‘tatakelola’, namun ia tidak memberi makna jika akhirnya menjadi ‘tata kelaut’. Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan mengelakkan wujudnya persepsi dua darjat dalam penghakiman, saya mencadangkan agar YAB Tambun berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga kes ini selesai,” katanya. Rosol menegaskan, cadangan tersebut bukan bersifat serangan politik, sebaliknya bertujuan menjaga kewibawaan institusi Perdana Menteri dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan tanpa gangguan. Tambah beliau, langkah itu mencerminkan integriti kepimpinan dan menjadi teladan kepada rakyat dalam menegakkan prinsip ketelusan serta akauntabiliti.  
13 Oct 25
108
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
KUALA NERUS, 13 Oktober - "Sentiasa ingat, kita ada maruah ibu bapa untuk dijaga," itu antara prinsip utama yang dipegang penyanyi dan selebriti terkenal, Wany Hasrita dalam mengharungi cabaran sebagai seorang wanita berkerjaya dalam industri hiburan tanah air. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman peribadinya dalam program Bicara Selebriti yang diadakan sempena sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, semalam. Menurut Wany, atau nama sebenarnya Nur Shahzwani Hasrita Hasbullah, di sebalik penampilan luaran, kekuatan sebenar seorang wanita berakar umbi daripada pegangan agamanya yang teguh. "Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi, kita kena cakap 'Allah ada'. Apa-apa pun, tak apa Allah ada. Dari situ sebenarnya sumber kekuatan kita. Bila kita dekat dengan agama kita, apabila kita pegang agama kita betul-betul, saya rasa semua yang kita lalui di dunia ini, kita akan lalui," katanya dalam sesi bicara tersebut. Beliau turut menambah bahawa inspirasi daripada tokoh Saidatina Aisyah amat mendalam dalam hidupnya, sehinggakan beliau menamakan anak perempuannya, Aisyah, bersempena dengan isteri Rasulullah S.A.W itu. Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang selebriti, Wany mengakui bahawa mengekalkan amalan ibadah, terutamanya solat, dalam jadual kerja padat adalah satu perjuangan yang memerlukan keazaman tinggi. Beliau menceritakan pengalaman paling mencabar ketika menjalani penggambaran di Busan, Korea dalam cuaca yang sangat sejuk, di mana beliau terpaksa berlari mencari tempat untuk berwuduk dan solat. "Nak ambil wuduk, cuci tangan tiga kali pun dah tak rasa apa dah. Tangan, kaki, dah memang bergetar-getar. Solat pun sejuk juga, tapi itulah antara yang paling ‘struggle’," kongsinya. Wany menegaskan bahawa untuk menjaga ibadah, ia bergantung kepada kemahuan diri sendiri untuk berusaha mencari jalan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ketika ditanya mengenai cara beliau mengekalkan kesederhanaan dan prinsip hidup, Wany menekankan dua perkara utama iaitu memilih lingkungan sosial yang baik dan mendengar nasihat ibu. "Pentingnya circle (lingkungan) yang bagus, yang mengejar akhirat. Secara tidak langsung ia akan mengingatkan saya sendiri. Apabila kawan-kawan yang baik, kita akan sendiri berjaga-jaga," jelasnya. Beliau turut berpesan kepada para hadirin, terutamanya golongan muda, agar sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga serta mendengar nasihat ibu bapa. "Dengarlah cakap ibu. Apa pun yang jadi, percayalah, selalunya apa yang dia cakap tu betul. Mereka lebih tahu," ujar beliau dengan nada sebak sambil menahan air mata. Program Bicara Selebriti berkenaan berjaya menarik minat ramai hadirin dan dilihat sebagai satu platform yang efektif dalam menyebarkan mesej positif dan inspirasi kepada kaum wanita, selari dengan tema acara iaitu 'Wanita Inspirasi'.  
13 Oct 25
59
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
KUALA NERUS, 13 Oktober - Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah di sini bergema dengan laungan takbir penuh semangat, menyahut seruan aktivis kemanusiaan terkenal, Heliza Helmi, sebagai tanda solidariti yang tidak berbelah bahagi untuk perjuangan rakyat Palestin.  Momen penuh emosi itu menjadi kemuncak ‘Slot Khas Wirawati Global Sumud Flotilla’ yang menampilkan beliau dan adindanya, Hazwani Helmi. Segmen khas itu merupakan sebahagian daripada pengisian utama program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bertemakan "Wanita Inspirasi".  Dalam perkongsian mereka, pasangan wirawati itu membawa para hadirin menyelami realiti dan cabaran misi kemanusiaan di peringkat global, terutamanya dalam usaha membantu dan menyuarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas. Melalui penceritaan yang berkesan, Heliza dan Hazwani menyuntik kesedaran dan menggesa orang ramai agar tidak pernah melupakan saudara seagama di sana dan terus menghulurkan sokongan dalam apa jua bentuk. Kedua-duanya telah berkongsi pengalaman mendebarkan mereka menyertai Misi Global Sumud Flotilla dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Palestin. Heliza menjelaskan bahawa nama misi "Sumud" diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud teguh, kuat, cekal dan tabah, yang menggambarkan sifat sebenar rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. "Misi ini bukan semata-mata misi bantuan untuk bagi makanan, tapi ini adalah misi untuk buat bising," tegas Heliza, menjelaskan bahawa tujuan utama flotilla tersebut adalah untuk memastikan isu Palestin tidak dilupakan oleh dunia selepas lebih dua tahun peperangan. Walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk keadaan kapal yang tidak sempurna dan ditawan oleh tentera Israel, kedua-dua beradik itu menekankan bahawa kekuatan mereka datang daripada doa dan keyakinan kepada Allah. "Kadang-kadang kita doa tapi kita punya keyakinan tu tak sepenuh hati... tapi ketika kita tidak ada apa-apa, kita nak sangat, Allah je yang kita tempat bergantung," ujarnya. Bagi mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti mereka yang tidak ternilai dalam arena kemanusiaan, majlis turut menganugerahkan Anugerah Khas Khidmat Bakti kepada Heliza dan Hazwani Helmi.  Penganugerahan tersebut sebagai satu simbol penghargaan atas keberanian dan dedikasi mereka dalam memperjuangkan isu-isu global.
13 Oct 25
21
Kerajaan Negeri Pantau Rapi Kes Influenza di Terengganu
Kerajaan Negeri Pantau Rapi Kes Influenza di Terengganu
KUALA NERUS, 13 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes influenza di negeri ini dan akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi merangka langkah susulan yang terbaik. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh serta nasihat rasmi daripada pihak kesihatan bagi memastikan tindakan yang bakal diambil selaras dengan keperluan semasa dan situasi sebenar di lapangan. “Insya-Allah, saya akan mendapatkan maklumat terperinci berkenaan influenza daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan apa-apa cadangan atau nasihat yang diberikan akan diberi perhatian serius,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, semalam. Sehubungan itu, Wan Sukairi menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil, agar lebih peka terhadap tahap kesihatan diri dan keluarga. Beliau menasihatkan agar mereka segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk berpanjangan. “Sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk berpanjangan, segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran,” ujarnya. Dalam masa yang sama, beliau yakin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan menjadi lebih kritikal, termasuk mempertimbangkan tindakan khas di sekolah-sekolah yang terlibat bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah terjamin. “Kesihatan rakyat, khususnya pelajar, adalah keutamaan. Jika perlu, kementerian dan jabatan berkaitan akan menilai tindakan sementara yang bersesuaian berdasarkan nasihat daripada pihak kesihatan,” katanya.
13 Oct 25
95
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan. Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara. “Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut. Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut. Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut. Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan. APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.
13 Oct 25
89
Terengganu di Fasa Akhir Pelaksanaan Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal
Terengganu di Fasa Akhir Pelaksanaan Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal
KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu kini berada pada fasa akhir sebelum menerima pakai Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007), selepas berjaya melengkapkan semua keperluan teknikal serta dokumentasi yang ditetapkan oleh pihak kementerian. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai prosedur penting termasuk audit menyeluruh di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan aspek pengurusan sisa pepejal dan pelupusan awam. “Segala dokumentasi, audit dan pelaksanaan di peringkat PBT seluruh negeri telah pun dilaksanakan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Saya difahamkan semuanya telah lengkap, dan kini kita hanya menunggu maklum balas rasmi daripada kementerian untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, semalam. Menurut Wan Sukairi, Terengganu kini bersedia sepenuhnya untuk memuktamadkan penyertaan dalam Akta 672. Katanya, pelaksanaan akta tersebut bakal menyaksikan sistem pengurusan sisa pepejal negeri diseragamkan dengan negeri-negeri lain yang berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan. “Di peringkat negeri, kita telah menyelesaikan semua yang diperlukan. Sekarang hanya menunggu kelulusan akhir daripada kementerian untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. Pelaksanaan Akta 672 dijangka memberi impak besar terhadap kecekapan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam di Terengganu. Antara perubahan utama ialah pelaksanaan pengasingan sisa di punca, penggunaan tapak pelupusan berlesen secara lebih sistematik, serta pemantauan bersepadu bagi memastikan tahap kebersihan awam berada pada standard yang lebih tinggi.
13 Oct 25
224
Wanita Terengganu Bangkit Dengan Ilmu dan Akhlak
Wanita Terengganu Bangkit Dengan Ilmu dan Akhlak
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kaum wanita terus diperkasa melalui pendekatan pendidikan dan penerapan nilai Islam bagi melahirkan golongan yang berilmu, berkeyakinan serta berakhlak mulia menerusi penganjuran Program Hari Sayyidatina Aisyah yang berlangsung hari ini. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan masyarakat serta asas kekuatan ummah. Menurutnya, dalam Islam, tokoh seperti Sayyidatina Aisyah r.a menjadi simbol keilmuan, keberanian dan ketegasan dalam mempertahankan prinsip Islam. “Beliau bukan sahaja isteri Rasulullah SAW, malah perawi hadis, guru ummah dan tokoh ilmuwan wanita yang disegani. Nilai dan semangat inilah yang ingin kita hidupkan dalam kalangan wanita Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Sayyidatina Aisyah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.  Tambah beliau, wanita memainkan peranan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah. “Berdasarkan bancian penduduk 2020, hampir 50 peratus daripada 1.2 juta penduduk Terengganu adalah wanita. Majoritinya terdiri daripada suri rumah, usahawan mikro, pendidik serta aktivis komuniti,” ujarnya. Namun, beliau turut mengakui masih ramai wanita berdepan cabaran seperti kurang keyakinan diri, akses terhad terhadap maklumat agama dan kekurangan sokongan moral. Sehubungan itu, katanya, penganjuran Hari Sayyidatina Aisyah berperanan sebagai platform pengupayaan yang berasaskan pendidikan, motivasi dan inspirasi tokoh wanita Islam selaras dengan hasrat Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. “Fokus utama program ini ialah meningkatkan kefahaman wanita dan belia terhadap peranan mereka dalam pembangunan ummah, mewujudkan ruang perkongsian ilmu serta melahirkan ikon wanita Terengganu yang berilmu dan berakhlak mulia. “Penganjuran kali kedua ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan wanita yang kompeten dan berdaya saing,” katanya. Akhir sekali, beliau menyeru semua pihak agar bersatu dalam memperkasa wanita dengan ilmu dan akhlak mulia, demi membina masyarakat Islam yang kuat dan harmoni.  
13 Oct 25
89
Pesta Gagar Udang 2025 Semarak Warisan Budaya dan Pelancongan Komuniti
Pesta Gagar Udang 2025 Semarak Warisan Budaya dan Pelancongan Komuniti
KEMAMAN, 13 Oktober – Pesta Gagar Udang 2025 yang berlangsung di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini hari ini, menyerlahkan keunikan tradisi dan warisan budaya masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti berteraskan kebudayaan serta pelancongan komuniti. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu yang mewakili Menteri Besar, Ir. Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, selaku tuan rumah, serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih dan Pejabat Daerah Kemaman sebagai penganjur bersama. Beliau berkata, Pesta Gagar Udang bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu usaha memartabatkan warisan budaya dan memperkukuh sektor pelancongan tempatan. “Aktiviti menangkap udang dengan tangan bukan sekadar tradisi unik, tetapi mempunyai nilai budaya yang tinggi dan wajar didokumentasikan agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa Kampung Bukit Mentok kini diiktiraf sebagai destinasi di bawah inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism – CBT), yang memberi peluang kepada penduduk setempat menjadi pemilik dan pelaksana dalam aktiviti pelancongan. Setakat Jun 2025, Terengganu telah menerima hampir 6.9 juta pelancong dan pengunjung, sekali gus menunjukkan peningkatan positif dalam sektor pelancongan negeri. “Kita mahu pelancong yang datang bukan sahaja membawa pulang cenderamata, tetapi juga pengalaman dan kenangan tentang kehangatan masyarakat tempatan,” katanya. Dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM65,000 bagi menaik taraf fasiliti pelancongan dan memperkukuh pembangunan komuniti di Kampung Bukit Mentok. Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menobatkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64. “Ini mencerminkan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, stabil dan berkualiti,” katanya. Beliau turut menyeru rakyat agar tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta terus menyokong misi kemanusiaan termasuk Flotilla Gaza. “Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform hiburan, tetapi juga medan untuk memperkukuh solidariti dan menyemai nilai insaniah dalam masyarakat,” katanya.        
12 Oct 25
54
MPK Rasmi Pejabat Ahli Majlis Pertama Di Kemaman
MPK Rasmi Pejabat Ahli Majlis Pertama Di Kemaman
KEMAMAN, 12 Oktober – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melakar sejarah tersendiri apabila merasmikan Pejabat Ahli Majlis pertama di daerah Kemaman, sekaligus memperkukuh peranan Ahli Majlis sebagai penghubung antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan. Majlis perasmian yang berlangsung di Bangunan Pejabat Daerah Kemaman (Lama), Cukai, Terengganu itu disempurnakan oleh Yang Dipertua MPK, Yusof Zakaria, diiringi Setiausaha MPK, YM Sharifah Khairuzita Tuan Kechil, barisan Ahli Majlis serta pengarah-pengarah jabatan MPK. Menurut Fadli, pembukaan pejabat tersebut mencerminkan komitmen MPK dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada warga Kemaman. “Bangunan ini merupakan bangunan kerajaan, jadi penggunaannya perlulah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. “Pejabat Ahli Majlis ini merupakan satu-satunya yang ada di daerah Kemaman dan belum lagi diwujudkan di daerah lain. “Harapan kita agar pejabat ini dapat dijadikan tempat bagi sesi perbincangan dan perjumpaan bersama komuniti setempat,” katanya.    Fadli memegang gunting bagi menyempurnakan simbolik pemotongan reben sempena majlis perasmian Pejabat Ahli Majlis. Tujuan penubuhan Pejabat Ahli Majlis adalah untuk memperkukuhkan peranan mereka sebagai wakil masyarakat setempat dalam pentadbiran kerajaan tempatan. Pejabat ini juga berfungsi sebagai saluran rasmi bagi penduduk menyampaikan aduan, cadangan dan pandangan berkaitan isu kebersihan, infrastruktur serta perkhidmatan awam. Penubuhan pejabat tersebut dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh jaringan komunikasi antara pihak MPK dan masyarakat, selain menjadi ruang bersemuka bagi membincangkan isu setempat serta keperluan pembangunan komuniti secara lebih berkesan.
12 Oct 25
45