lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
KUALA TERENGGANU, 3 September - Petani dan usahawan tani Terengganu dipelawa merebut peluang menyertai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang masih mempunyai lot kosong untuk diusahakan di beberapa daerah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan boleh dibuat di Pejabat Pertanian Daerah dengan keutamaan diberikan kepada rakyat serta usahawan tempatan. Dr. Azman (Tengah) di TKPM Rhu Tapai, Setiu "Semalam bila saya post gambar ladang betik di TKPM Rhu Tapai Setiu, ada beberapa orang yang mesej menyatakan minat untuk turut sama terlibat.  "Kepada petani atau usahawan yang berminat menyertai TKPM boleh membuat permohonan. Ada lagi lot-lot kosong yang sedia untuk diisi oleh pemohon yang layak," katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya, hari ini. Menurut beliau, selain tanaman betik, TKPM turut memberi peluang untuk mengusahakan tanaman makanan yang mempunyai tempoh singkat matang. "Kalau nak tanam durian perlu mohon tanah kategori lain," jelasnya ringkas. Berdasarkan maklumat Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang telah dikongsikan oleh Dr. Azman melalui hantaran yang sama, kekosongan lot TKPM ditawarkan di tiga lokasi utama. Antaranya termasuklah TKPM Rhu Tapai, Setiu (35 lot terbuka); TKPM Paloh Jenang, Kemaman (6 lot terbuka) serta TKPM Tok Dor, Besut dengan tujuh lot terbuka serta 22 lot Struktur Pelindung Hujan (SPH). Sekiranya berminat, borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Pertanian Daerah terlibat, manakala sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian pejabat di Besut (09-6971015), Setiu (09-6097373) dan Kemaman (09-8583195). Ladang betik Amira di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkeluasan 10 ekar dan mengandungi kira-kira 5,000 pokok Terdahulu, Dr. Azman berkongsi kejayaan seorang anak muda tempatan yang mengusahakan ladang betik varieti Amira dengan keluasan 10 ekar di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkapasiti kira-kira 5,000 pokok. Jelasnya, betik varieti tersebut mula mengeluarkan hasil pada usia lapan bulan dengan jangka hayat maksimum tiga tahun, manakala harga ladang sekitar RM3 sekilogram.
03 Sep 25
1503
80 Penyelam Angkat 30.7 Kg Sampah Dari Laut Pulau Perhentian
80 Penyelam Angkat 30.7 Kg Sampah Dari Laut Pulau Perhentian
BESUT, 3 September - Program pembersihan laut dan darat di Pulau Perhentian mencatat penyertaan luar biasa apabila seramai 80 penyelam turun ke dasar laut bagi mengutip sampah menerusi aktiviti Dive Against Debris. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata secara keseluruhan, 384 orang termasuk komuniti setempat berganding bahu menjayakan program yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan. “Melalui aktiviti ‘Beach Clean Up’ di Kampung Nelayan, sebanyak 290 kilogram sampah berjaya dikutip, manakala para penyelam mengangkat kira-kira 30.7 kilogram sisa dari dasar laut. “Sambutan kali ini amat membanggakan kerana penyertaan melebihi jangkaan. Target asal kita hanya 70 penyelam, namun seramai 80 orang telah turun ke laut dengan penyertaan keseluruhan 384 orang menjayakan program ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup ‘Dive Against Debris Pulau Perhentian’ yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan semalam. Razali berkata lebih istimewa, ia dilaksanakan secara serentak melibatkan pembersihan kampung (plogging), pembersihan dasar laut, aktiviti CSR membaik pulih pagar masjid serta gotong-royong membersihkan kawasan kubur bersama komuniti tempatan. "Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah mengeratkan hubungan komuniti dengan pelancong serta pihak berkuasa. “Pulau Perhentian adalah antara destinasi pelancongan utama negara. Program seperti ini akan membantu memastikan ekosistem laut kita kekal terpelihara dan memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung,” ujarnya.  
03 Sep 25
100
Pasukan Menyelamat Khas Ditubuh di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah
Pasukan Menyelamat Khas Ditubuh di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah
BESUT, 2 September – Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas bagi memastikan tahap keselamatan pelancong di Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah sentiasa terjamin. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat susulan beberapa insiden melibatkan keselamatan pelancong di kawasan berkenaan baru-baru ini. Menurutnya, pasukan khas ini akan beroperasi setiap tahun bermula Mac hingga Oktober, iaitu musim puncak kehadiran pelancong di kedua-dua pulau peranginan tersebut. “Pasukan SAR ini akan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui OCPD Besut dengan Balai Polis Perhentian dijadikan pusat panggilan (call centre). “Operasinya hanya tertumpu di kawasan pulau sepanjang musim pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Razali berkata, pasukan itu turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat sedia ada, antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Turut sama, kerjasama daripada Pejabat Daerah Besut, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat. “Antara langkah utama yang dipersetujui termasuk memperketatkan aspek keselamatan pelancong, memastikan semua agensi sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim pelancong serta penyediaan kemudahan logistik seperti bot oleh Jabatan Perikanan agi menghadapi situasi kecemasan. “Kerajaan Negeri yakin penubuhan pasukan khas ini bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti di Terengganu, malah memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang berada di pulau-pulau peranginan negeri ini,” ujarnya.    
02 Sep 25
113
Projek Terbiar Pembenihan Ikan Marin Dihidupkan Semula
Projek Terbiar Pembenihan Ikan Marin Dihidupkan Semula
KUALA TERENGGANU, 2 September – Pusat Pembenihan Ikan Marin di Kampung Rhu 10, Setiu yang sebelum ini terbiar pada zaman pentadbiran terdahulu kini kembali beroperasi dengan jayanya. Usaha menghidupkan semula pusat ini dilakukan melalui kerjasama strategik antara Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan syarikat tempatan, Aishah Zulkifli Resources. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perladangan negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata antara komponen penting yang dipulihkan termasuk pemasangan 120 tangki pembiakan baharu serta sistem bekalan air laut yang dipam terus ke pusat tersebut. “Kesempurnaan bekalan air bersih dengan kadar kemasinan yang tepat merupakan faktor utama kejayaan projek pembenihan ikan marin, khususnya bagi spesies kerapu hibrid yang sangat sensitif terhadap perubahan saliniti,” katanya. Beliau menambah, kejayaan menghidupkan kembali pusat pembenihan ini membuktikan pendekatan kerajaan negeri dalam memanfaatkan aset-aset terbiar mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi, di samping menjana peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
02 Sep 25
117
Jambatan RM10 Juta Siap Sepenuhnya Lebih Awal
Jambatan RM10 Juta Siap Sepenuhnya Lebih Awal
DUNGUN, 1 September – Dua projek pembinaan jambatan di Dungun dan Setiu berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dengan kos keseluruhan RM10.72 juta, malah lebih awal daripada jadual asal. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan semula jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau, Dungun serta pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah, Setiu. "Jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi ini mengalami kerosakan serius akibat banjir besar pada 2022 sehingga menjejaskan hubungan kawasan serta menyukarkan pergerakan penduduk," katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato Mohd Azmi Mohamad Daham; Ketua Penolong Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Mohd Saiful Anuar Mohd Noor; Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir Dr Hasli Ibrahim. Menurut Hanafiah, bagi kerja pembaikan jambatan di Dungun, sebanyak RM5,769,999.50 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek menggantikan jambatan sediada di T118/02/913, Jalan Durian Mentangau, Seksyen 1.9. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh syarikat Hj Abdul Rahman Abas Sdn. Bhd. selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 20 November 2023. "Skop kerja tersebut merangkumi pembinaan jambatan konkrit single span sepanjang 30 meter, naik taraf jalan tuju sejauh 400 meter, serta pemasangan lampu jalan jenis solar.  "Pemantauan rapi dilaksanakan oleh JKR Daerah Dungun, dan hasil komitmen semua pihak, projek berjaya disiapkan pada 5 Jun 2025 iaitu lima bulan 14 hari lebih awal daripada tarikh siap asal," jelasnya. Sementara itu, jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah pula melibatkan kos RM4.95 juta, sekali gus melengkapkan dua projek utama ini di bawah peruntukan MARRIS. "Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami akan terus komited memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), mahupun dana pembangunan yang lain, benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.  "Sama ada di Dungun, Setiu, Hulu Terengganu mahupun kawasan pedalaman lain, pembangunan infrastruktur mestilah inklusif, tidak hanya tertumpu di kawasan bandar," tegasnya.  
01 Sep 25
7504
Terengganu Siap Siaga Hadapi Bencana Dengan Jambatan Bailey
Terengganu Siap Siaga Hadapi Bencana Dengan Jambatan Bailey
DUNGUN, 1 September – Terengganu memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan penerimaan Jambatan Bailey bernilai RM4.55 juta, menjadikan negeri ini antara yang terawal memiliki aset strategik berkenaan untuk mendepani cabaran bencana besar. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, jambatan sepanjang 42.67 meter dengan lebar 4.2 meter itu akan menjadi penyelamat penting bagi memastikan kelancaran jaringan jalan raya sekiranya berlaku bencana. "Jambatan Bailey ini membolehkan proses pemulihan jaringan jalan raya dapat dilakukan dengan lebih pantas bagi kemudahan rakyat negeri ini sekiranya berlaku bencana alam. "Buat masa ini, jambatan tersebut akan ditempatkan di Depo Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu dan sekiranya berlaku jalan runtuh di selatan atau utara negeri ini, kita akan gunakannya sebagai pengganti sementara jalan atau jambatan yang runtuh," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di Kampung Durian Mentangau, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; Ketua Penolong Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Mohd Saiful Anuar Mohd Noor; Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri menegaskan, aset berkenaan turut menjamin kelancaran bantuan kecemasan dan logistik tanpa sebarang kelewatan ketika bencana. Bagi mengendalikan jambatan itu, katanya, JKR Terengganu telah menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey Negeri Terengganu yang dianggotai 35 pegawai teknikal terlatih dari JKR bahagian, daerah dan cawangan. "Memandangkan ini kali pertama pasukan seumpama ini diwujudkan, latihan pemasangan telah dijalankan pada 10 hingga 14 Ogos lalu sebagai persediaan menghadapi MTL," ujarnya. Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menerima dua projek penting siap dibangunkan JKR Terengganu di bawah peruntukan MARRIS negeri iaitu projek penggantian jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau, Dungun dan projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah, Setiu. "Jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi ini mengalami kerosakan serius akibat banjir besar pada 2022 sehingga menjejaskan hubungan kawasan dan menyukarkan pergerakan penduduk,” jelasnya. Katanya, projek di Jalan Durian Mentangau menelan kos RM5.77 juta manakala jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah pula melibatkan kos RM4.95 juta. "Jumlah keseluruhan tiga projek ini ialah RM15 juta, RM5 juta di sini, di Hulu Terengganu RM5 juta, dan di Panchor Merah, Setiu pula RM5 juta, alhamdulillah semua sudah siap," katanya.
01 Sep 25
329
Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Meriahkan Jelajah Merdeka
Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Meriahkan Jelajah Merdeka
KUALA TERENGGANU, 1 September- Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, suasana di Pantai Batu Buruk meriah dengan pelepasan Konvoi Jelajah Ambang Merdeka 2025 yang disertai seramai 68 penunggang motosikal berkuasa tinggi, kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama kerajaan negeri bersama persatuan motosikal berkuasa tinggi, termasuk TDI Bikers serta beberapa kelab permotoran lain. "Konvoi ini melibatkan laluan di seluruh daerah dengan pengagihan lebih 500 helai Jalur Gemilang kepada orang ramai di setiap checkpoint. "Majlis pelepasan konvoi yang diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu telah disempurnakan dengan keberangkatan hadir Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Diraja Terengganu," katanya. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan ngeri, Ahmad Shah Muhammed. Tambah Razali, sebagai tanda menyemarakkan semangat cinta negara, Jalur Gemilang diagihkan kepada orang ramai di setiap checkpoint persinggahan konvoi. Agihan Jalur Gemilang di setiap daerah bukan sekadar serahan bendera, tetapi mesej bahawa semangat patriotisme harus dikibarkan di hati setiap rakyat. Antara persinggahan utama termasuklah Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Masjid Hadhari di Besut, IPD Setiu, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Padang Astaka Chukai, Kemaman, Sura Gate, Dungun, serta IPD Marang, sebelum menutup tirai di Drawbridge Kuala Terengganu. Program sedemikian menunjukkan bagaimana semangat cintakan negara dapat dizahirkan dalam bentuk aktiviti yang menarik, sekali gus mendekatkan rakyat dengan sambutan kemerdekaan.
31 Aug 25
149
91 Kenderaan Air Meriahkan Perarakan Bot Merdeka Terengganu
91 Kenderaan Air Meriahkan Perarakan Bot Merdeka Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Sungai Terengganu hari ini kembali bergema dengan lautan semangat patriotik apabila Pertandingan Perarakan Bot Merdeka Terengganu 2025 berlangsung penuh warna-warni sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) itu membawa tema 'Malaysia MADANI Rakyat Disantuni', sekali gus menyemarakkan suasana perayaan dengan gabungan elemen seni, budaya serta kecintaan kepada negara. Sebanyak 91 buah kenderaan air dengan penyertaan 484 peserta mengambil bahagian dalam perarakan kali ini, meliputi bot agensi kerajaan, bot nelayan, bot pelancong serta jet ski.  Perarakan bermula serentak dari empat jeti utama iaitu Pulau Kekabu di Marang, Pengkalan Pok Awang di Kuala Terengganu, Jeti Kampung Batin di Kuala Nerus dan Pengkalan Tanjung Gelam di Setiu sebelum menuju ke Basin Muara Sungai Terengganu berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menjadi lokasi pelepasan rasmi. Kemeriahan acara tersebut turut menarik lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri tebing Sungai Terengganu untuk menyaksikan keunikan perarakan bot berhias itu.  Sorakan rakyat yang menyaksikan dari tebing sungai menambahkan lagi aura patriotik, seakan menyatu-padukan semangat cinta negara dalam suasana penuh harmoni. Bagi menambahkan daya tarikan pertandingan, pihak penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan, dengan Johan menerima RM500, Naib Johan RM300 dan tempat Ketiga RM200. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.  Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran itu bukan sahaja meniupkan semangat patriotisme, malah menjadi simbol kepada perpaduan rakyat pelbagai latar belakang yang bersama-sama menjayakan acara berkenaan. “Acara ini melambangkan kesatuan rakyat Malaysia. Walau berbeza latar dan peranan, kita tetap bersatu di bawah panji Jalur Gemilang,” katanya. Pertandingan Perarakan Bot Merdeka kali ini bukan sahaja berjaya memperlihatkan kreativiti peserta, malah turut mengangkat identiti negeri sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan sungai serta budaya, seterusnya memperkukuh semangat kecintaan rakyat kepada tanah air.
31 Aug 25
769
Sultan Sulaiman Marching Band Dinobat Juara Keseluruhan Perarakan Hari Kebangsaan
Sultan Sulaiman Marching Band Dinobat Juara Keseluruhan Perarakan Hari Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos -  Kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman di Dataran Shahbandar menyaksikan kejayaan berganda buat Sultan Sulaiman Marching Band (SSMB), SMK Sultan Sulaiman. Pasukan itu berjaya merampas gelaran Juara Keseluruhan tahun lepas daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, selain mengekalkan dominasi dalam Kategori Pancaragam Sekolah Bertanding. Kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang piala pusingan, sijil penghargaan serta wang tunai RM1,000 sebagai juara keseluruhan, di samping hadiah wang tunai RM5,000 selaku juara kategori. Kemenangan ini meletakkan SSMB di hadapan dua pencabar lain dalam kategori sama, iaitu Pancaragam Swadaya, SMKJC Chung Hwa Wei Sin (naib johan) dan Pancaragam SMK Tengku Bariah (tempat ketiga). Sementara itu, Kategori Sekolah Menengah Tidak Beruniform Bertanding, tempat pertama disandang oleh Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang, Kuala Terengganu, diikuti Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin dan SMK Megat Panji Alam. Bagi Kategori Pasukan Sekolah Menengah Beruniform Bertanding pula kemenangan berpihak kepada Kadet Polis SMK Bukit Besar, diikuti Kadet Polis SMK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus (kedua) dan Pengakap SMK Padang Midin (ketiga). Dalam Kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform, Majlis Daerah Marang dinobatkan juara, manakala PMINT di tempat kedua dan Majlis Daerah Hulu Terengganu di tempat ketiga. Kategori Jabatan Kerajaan, IPT, Badan Berkanun, Swasta Beruniform, Jabatan Penjara Malaysia Negeri Terengganu meraih tempat pertama, diikuti Kontijen Kesatria UniSZA (kedua) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu (ketiga). Manakala, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu pula muncul juara Kategori Kerajaan Tidak Beruniform Bertanding, meninggalkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus di tempat kedua dan Pejabat Daerah dan Tanah Setiu di tempat ketiga. Tidak dilupakan, Kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan & Guna Sama Negeri, IPT Swasta, GLC Tidak Beruniform, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu diumumkan pemenang utama, diikuti EPIC Berhad (kedua) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (ketiga). Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Tunggal pula mengungguli Kategori Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertanding, meninggalkan PKM DUN Kijal dan PKM DUN Wakaf Mempelam di kedudukan kedua dan ketiga. Akhir sekali, bagi Anugerah Khas Pakaian Terbaik telah disandang oleh Kontijen Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat SMK Seri Nering sementara Anugerah Khas Ketua Perbarisan Terbaik dianugerahkan kepada Kontijen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).  
31 Aug 25
969
Raja Muda Terengganu Berkenan Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan
Raja Muda Terengganu Berkenan Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Dataran Shahbandar menyaksikan suasana penuh gilang-gemilang apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Terengganu. Mengiiringi keberangkatan tiba baginda tepat pada jam 9.00 pagi, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua'az, Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra, serta Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Dato' Ahmad Zafuan Dato' Embong dan To' Puan Sharifah Suriyani Al Sayed Ali. Keberangkatan baginda disambut penuh hormat oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir.Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia. Sebagai simbolik penghormatan, Tengku Ismail berkenan menyaksikan lintas hormat oleh kontijen-kontijen jabatan kerajaan, agensi swasta serta pasukan keselamatan yang mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan. Seramai 3,972 peserta termasuk 1,595 pelajar sekolah menengah dari 122 Kontinjen menyertai perarakan yang penuh warna warni bersama iringan cuaca yang amat menyebelahi majlis. Detik kemuncak acara menambahkan lagi kemegahan sambutan apabila empat pesawat Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlegar di ruang angkasa, melintasi Bukit Besar sebelum berulang kali menggegarkan udara Dataran Shahbandar, tepat di atas Pentas Diraja. Ribuan pengunjung yang membanjiri dataran tersebut mula mendongak ke langit dan bersorak sebaik sahaja deruman enjin pesawat yang menggegarkan ruang udara mula kedengaran, kagum menyaksikan kehadiran pesawat pejuang tersebut. Suasana kemerdekaan semakin meriah apabila pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman mempersembahkan alunan ukulele dengan lagu-lagu patriotik 'Tanggal 31 Ogos', 'Tanah Pusaka' dan 'Sejahtera Malaysia'.  Persembahan turut diserikan oleh Pasukan Storm Zon Timur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, diikuti oleh persembahan artis undangan Syafiq Farhain dan Apiq Tajudin seterusnya diakhiri persembahan tarian daripada penari-penari Tunas Sutera dan Sutera Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Acara penuh patriotisme pagi tadi mencapai kemuncak dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan perbarisan sebelum baginda Yang di-Pertuan Muda Terengganu berkenan berangkat meninggalkan majlis dengan penuh adat istiadat. Terdahulu, perarakan dimulakan pada jam 7.00 pagi dengan laungan 'Merdeka' disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah. Perarakan sepanjang empat kilometer lebih itu tadi bermula dari Stadium Sultan Ismail Nadiruddin Shah dan berakhir di Dataran Shahbandar.  
31 Aug 25
1803