lightning-solid
Berita :
Raja Muda Terengganu Berkenan Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan
Raja Muda Terengganu Berkenan Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan
Ahmad Zaeem Zainudin
31 Aug 25
1799

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Dataran Shahbandar menyaksikan suasana penuh gilang-gemilang apabila Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Terengganu.

Mengiiringi keberangkatan tiba baginda tepat pada jam 9.00 pagi, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua'az, Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra, serta Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Dato' Ahmad Zafuan Dato' Embong dan To' Puan Sharifah Suriyani Al Sayed Ali.

Keberangkatan baginda disambut penuh hormat oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir.Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia.

Sebagai simbolik penghormatan, Tengku Ismail berkenan menyaksikan lintas hormat oleh kontijen-kontijen jabatan kerajaan, agensi swasta serta pasukan keselamatan yang mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan.

Seramai 3,972 peserta termasuk 1,595 pelajar sekolah menengah dari 122 Kontinjen menyertai perarakan yang penuh warna warni bersama iringan cuaca yang amat menyebelahi majlis.

Detik kemuncak acara menambahkan lagi kemegahan sambutan apabila empat pesawat Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlegar di ruang angkasa, melintasi Bukit Besar sebelum berulang kali menggegarkan udara Dataran Shahbandar, tepat di atas Pentas Diraja.

Ribuan pengunjung yang membanjiri dataran tersebut mula mendongak ke langit dan bersorak sebaik sahaja deruman enjin pesawat yang menggegarkan ruang udara mula kedengaran, kagum menyaksikan kehadiran pesawat pejuang tersebut.

Suasana kemerdekaan semakin meriah apabila pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman mempersembahkan alunan ukulele dengan lagu-lagu patriotik 'Tanggal 31 Ogos', 'Tanah Pusaka' dan 'Sejahtera Malaysia'. 

Persembahan turut diserikan oleh Pasukan Storm Zon Timur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, diikuti oleh persembahan artis undangan Syafiq Farhain dan Apiq Tajudin seterusnya diakhiri persembahan tarian daripada penari-penari Tunas Sutera dan Sutera Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Acara penuh patriotisme pagi tadi mencapai kemuncak dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan perbarisan sebelum baginda Yang di-Pertuan Muda Terengganu berkenan berangkat meninggalkan majlis dengan penuh adat istiadat.

Terdahulu, perarakan dimulakan pada jam 7.00 pagi dengan laungan 'Merdeka' disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.

Perarakan sepanjang empat kilometer lebih itu tadi bermula dari Stadium Sultan Ismail Nadiruddin Shah dan berakhir di Dataran Shahbandar.

 


Artikel Berkaitan