lightning-solid
Berita :
Jambatan RM10 Juta Siap Sepenuhnya Lebih Awal
Jambatan RM10 Juta Siap Sepenuhnya Lebih Awal
Zahid Mustafar
01 Sep 25
7500

DUNGUN, 1 September – Dua projek pembinaan jambatan di Dungun dan Setiu berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dengan kos keseluruhan RM10.72 juta, malah lebih awal daripada jadual asal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan semula jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau, Dungun serta pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah, Setiu.

"Jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi ini mengalami kerosakan serius akibat banjir besar pada 2022 sehingga menjejaskan hubungan kawasan serta menyukarkan pergerakan penduduk," katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato Mohd Azmi Mohamad Daham; Ketua Penolong Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Mohd Saiful Anuar Mohd Noor; Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir Dr Hasli Ibrahim.

Menurut Hanafiah, bagi kerja pembaikan jambatan di Dungun, sebanyak RM5,769,999.50 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek menggantikan jambatan sediada di T118/02/913, Jalan Durian Mentangau, Seksyen 1.9. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh syarikat Hj Abdul Rahman Abas Sdn. Bhd. selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 20 November 2023.

"Skop kerja tersebut merangkumi pembinaan jambatan konkrit single span sepanjang 30 meter, naik taraf jalan tuju sejauh 400 meter, serta pemasangan lampu jalan jenis solar. 

"Pemantauan rapi dilaksanakan oleh JKR Daerah Dungun, dan hasil komitmen semua pihak, projek berjaya disiapkan pada 5 Jun 2025 iaitu lima bulan 14 hari lebih awal daripada tarikh siap asal," jelasnya.

Sementara itu, jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah pula melibatkan kos RM4.95 juta, sekali gus melengkapkan dua projek utama ini di bawah peruntukan MARRIS.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami akan terus komited memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), mahupun dana pembangunan yang lain, benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. 

"Sama ada di Dungun, Setiu, Hulu Terengganu mahupun kawasan pedalaman lain, pembangunan infrastruktur mestilah inklusif, tidak hanya tertumpu di kawasan bandar," tegasnya.

 


Artikel Berkaitan