lightning-solid
Berita :
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
Masih Ada Lot Kosong TKPM, Kerajaan Negeri Ajak Petani Rebut Peluang
Ahmad Zaeem Zainudin
03 Sep 25
1497

KUALA TERENGGANU, 3 September - Petani dan usahawan tani Terengganu dipelawa merebut peluang menyertai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang masih mempunyai lot kosong untuk diusahakan di beberapa daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan boleh dibuat di Pejabat Pertanian Daerah dengan keutamaan diberikan kepada rakyat serta usahawan tempatan.

Dr. Azman (Tengah) di TKPM Rhu Tapai, Setiu

"Semalam bila saya post gambar ladang betik di TKPM Rhu Tapai Setiu, ada beberapa orang yang mesej menyatakan minat untuk turut sama terlibat. 

"Kepada petani atau usahawan yang berminat menyertai TKPM boleh membuat permohonan. Ada lagi lot-lot kosong yang sedia untuk diisi oleh pemohon yang layak," katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya, hari ini.

Menurut beliau, selain tanaman betik, TKPM turut memberi peluang untuk mengusahakan tanaman makanan yang mempunyai tempoh singkat matang.

"Kalau nak tanam durian perlu mohon tanah kategori lain," jelasnya ringkas.

Berdasarkan maklumat Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang telah dikongsikan oleh Dr. Azman melalui hantaran yang sama, kekosongan lot TKPM ditawarkan di tiga lokasi utama.

Antaranya termasuklah TKPM Rhu Tapai, Setiu (35 lot terbuka); TKPM Paloh Jenang, Kemaman (6 lot terbuka) serta TKPM Tok Dor, Besut dengan tujuh lot terbuka serta 22 lot Struktur Pelindung Hujan (SPH).

Sekiranya berminat, borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Pertanian Daerah terlibat, manakala sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian pejabat di Besut (09-6971015), Setiu (09-6097373) dan Kemaman (09-8583195).

Ladang betik Amira di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkeluasan 10 ekar dan mengandungi kira-kira 5,000 pokok

Terdahulu, Dr. Azman berkongsi kejayaan seorang anak muda tempatan yang mengusahakan ladang betik varieti Amira dengan keluasan 10 ekar di TKPM Rhu Tapai, Setiu yang berkapasiti kira-kira 5,000 pokok.

Jelasnya, betik varieti tersebut mula mengeluarkan hasil pada usia lapan bulan dengan jangka hayat maksimum tiga tahun, manakala harga ladang sekitar RM3 sekilogram.


Artikel Berkaitan