lightning-solid
Berita :
Terengganu Siap Siaga Hadapi Bencana Dengan Jambatan Bailey
Terengganu Siap Siaga Hadapi Bencana Dengan Jambatan Bailey
Zahid Mustafar
01 Sep 25
322

DUNGUN, 1 September – Terengganu memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan penerimaan Jambatan Bailey bernilai RM4.55 juta, menjadikan negeri ini antara yang terawal memiliki aset strategik berkenaan untuk mendepani cabaran bencana besar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, jambatan sepanjang 42.67 meter dengan lebar 4.2 meter itu akan menjadi penyelamat penting bagi memastikan kelancaran jaringan jalan raya sekiranya berlaku bencana.

"Jambatan Bailey ini membolehkan proses pemulihan jaringan jalan raya dapat dilakukan dengan lebih pantas bagi kemudahan rakyat negeri ini sekiranya berlaku bencana alam.

"Buat masa ini, jambatan tersebut akan ditempatkan di Depo Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu dan sekiranya berlaku jalan runtuh di selatan atau utara negeri ini, kita akan gunakannya sebagai pengganti sementara jalan atau jambatan yang runtuh," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di Kampung Durian Mentangau, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; Ketua Penolong Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Mohd Saiful Anuar Mohd Noor; Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri menegaskan, aset berkenaan turut menjamin kelancaran bantuan kecemasan dan logistik tanpa sebarang kelewatan ketika bencana.

Bagi mengendalikan jambatan itu, katanya, JKR Terengganu telah menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey Negeri Terengganu yang dianggotai 35 pegawai teknikal terlatih dari JKR bahagian, daerah dan cawangan.

"Memandangkan ini kali pertama pasukan seumpama ini diwujudkan, latihan pemasangan telah dijalankan pada 10 hingga 14 Ogos lalu sebagai persediaan menghadapi MTL," ujarnya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menerima dua projek penting siap dibangunkan JKR Terengganu di bawah peruntukan MARRIS negeri iaitu projek penggantian jambatan rosak di Jalan Durian Mentangau, Dungun dan projek pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah, Setiu.

"Jambatan dan infrastruktur jalan di kedua-dua lokasi ini mengalami kerosakan serius akibat banjir besar pada 2022 sehingga menjejaskan hubungan kawasan dan menyukarkan pergerakan penduduk,” jelasnya.

Katanya, projek di Jalan Durian Mentangau menelan kos RM5.77 juta manakala jambatan baharu di Jalan Felcra Panchor Merah pula melibatkan kos RM4.95 juta.

"Jumlah keseluruhan tiga projek ini ialah RM15 juta, RM5 juta di sini, di Hulu Terengganu RM5 juta, dan di Panchor Merah, Setiu pula RM5 juta, alhamdulillah semua sudah siap," katanya.


Artikel Berkaitan