lightning-solid
Berita :
Sultan Sulaiman Marching Band Dinobat Juara Keseluruhan Perarakan Hari Kebangsaan
Sultan Sulaiman Marching Band Dinobat Juara Keseluruhan Perarakan Hari Kebangsaan
Ahmad Zaeem Zainudin
31 Aug 25
965

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos -  Kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman di Dataran Shahbandar menyaksikan kejayaan berganda buat Sultan Sulaiman Marching Band (SSMB), SMK Sultan Sulaiman.

Pasukan itu berjaya merampas gelaran Juara Keseluruhan tahun lepas daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, selain mengekalkan dominasi dalam Kategori Pancaragam Sekolah Bertanding.

Kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang piala pusingan, sijil penghargaan serta wang tunai RM1,000 sebagai juara keseluruhan, di samping hadiah wang tunai RM5,000 selaku juara kategori.

Kemenangan ini meletakkan SSMB di hadapan dua pencabar lain dalam kategori sama, iaitu Pancaragam Swadaya, SMKJC Chung Hwa Wei Sin (naib johan) dan Pancaragam SMK Tengku Bariah (tempat ketiga).

Sementara itu, Kategori Sekolah Menengah Tidak Beruniform Bertanding, tempat pertama disandang oleh Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang, Kuala Terengganu, diikuti Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin dan SMK Megat Panji Alam.

Bagi Kategori Pasukan Sekolah Menengah Beruniform Bertanding pula kemenangan berpihak kepada Kadet Polis SMK Bukit Besar, diikuti Kadet Polis SMK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus (kedua) dan Pengakap SMK Padang Midin (ketiga).

Dalam Kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform, Majlis Daerah Marang dinobatkan juara, manakala PMINT di tempat kedua dan Majlis Daerah Hulu Terengganu di tempat ketiga.

Kategori Jabatan Kerajaan, IPT, Badan Berkanun, Swasta Beruniform, Jabatan Penjara Malaysia Negeri Terengganu meraih tempat pertama, diikuti Kontijen Kesatria UniSZA (kedua) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu (ketiga).

Manakala, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu pula muncul juara Kategori Kerajaan Tidak Beruniform Bertanding, meninggalkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus di tempat kedua dan Pejabat Daerah dan Tanah Setiu di tempat ketiga.

Tidak dilupakan, Kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan & Guna Sama Negeri, IPT Swasta, GLC Tidak Beruniform, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu diumumkan pemenang utama, diikuti EPIC Berhad (kedua) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (ketiga).

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Tunggal pula mengungguli Kategori Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertanding, meninggalkan PKM DUN Kijal dan PKM DUN Wakaf Mempelam di kedudukan kedua dan ketiga.

Akhir sekali, bagi Anugerah Khas Pakaian Terbaik telah disandang oleh Kontijen Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat SMK Seri Nering sementara Anugerah Khas Ketua Perbarisan Terbaik dianugerahkan kepada Kontijen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

 


Artikel Berkaitan