Artikel "Semasa" Terkini
Hampir 4,000 Berarak Semarak Semangat Merdeka
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Seramai 3,972 peserta menghangatkan pagi 31 Ogos dengan berarak sejauh 4.2 kilometer dalam Perarakan dan Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68, peringkat Negeri Terengganu, hari ini.
Perarakan bermula pada 7.30 pagi dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melibatkan 122 kontinjen terdiri daripada 76 pasukan bertanding dan 32 pasukan tidak bertanding.
Pelepasan kontinjen perarakan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.
Selain perbarisan kontinjen, turut diadakan perarakan kenderaan melibatkan 14 penyertaan jabatan kerajaan dan pihak swasta bagi kategori kenderaan.
Majlis Perarakan dan Perbarisan sempena Hari Kebangsaan kali ini mempertandingkan lapan kategori iaitu Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Badan Berkanun Tidak Beruniform, Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform dan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT)/anak syarikat kerajaan (GLC)/ Persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Tidak Beruniform.
Bagi pasukan beruniform, dua kategori yang dipertandingkan ialah Jabatan Kerajaan/IPT/Swasta/Badan Berkanun Beruniform dan Pasukan Sekolah Menengah Beruniform.
Selain itu turut dipertandingkan ialah kategori Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri dan Pancaragam Sekolah.
31 Aug 25
126
Ribuan Rakyat Meriahkan Sambutan Ambang Merdeka Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Ribuan rakyat negeri ini membanjiri Tapak Foodtruck, Dataran Muara Utara bagi meraikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung penuh meriah dengan semangat patriotik membara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah yang hadir mewakili kepimpinan negeri untuk menyampaikan perutusan khas sempena Hari Kebangsaan ke-68.
Laungan keramat ‘Merdeka!’ bergema sejurus Countdown Ambang Merdeka tepat jam 12.00 tengah malam, diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSTLDM) yang menerima bendera berkenaan daripada anggota Rejimen 512 Askar Wataniah.
Detik bersejarah itu semakin bermakna dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni yang memukau ribuan penonton, diiringi nyanyian lagu patriotik ‘Tanggal 31 Ogos’ dan ‘Jalur Gemilang’ sebagai kemuncak sambutan.
Terdahulu, majlis turut disemarakkan dengan Forum Bicara Merdeka yang dikendalikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah bersama Pempengaruh Sastera, Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz serta selebriti jemputan Ustaz Akhil Hay.
Selain itu, hadirin juga dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid popular tanah air, UNIC, yang menyampaikan rangkaian lagu penuh semangat patriotik dan kerohanian, menambahkan lagi seri malam bersejarah tersebut.
31 Aug 25
1569
Perarakan Bot Merdeka Warnai Sungai Terengganu 31 Ogos Ini
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan Perarakan Bot Merdeka yang bakal diadakan pada Ahad, 31 Ogos 2025 sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman.
Acara penuh warna-warni itu akan berlangsung di Muara Sungai Terengganu dan sekitar kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, bermula jam 5.00 hingga 6.30 petang.
Lebih 30 buah bot nelayan dan rekreasi akan menyertai perarakan dengan dihiasi Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu, menjadikan Sungai Terengganu bertukar wajah menjadi ‘lautan patriotisme’ yang indah dan mengagumkan.
Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68, malah sebagai simbolik kebersamaan rakyat dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan.
Sehubungan itu, seluruh warga Kuala Terengganu khususnya, serta rakyat dari pelbagai daerah di negeri ini, dipelawa hadir bagi menyaksikan sendiri keunikan dan kehangatan Perarakan Bot Merdeka yang dijangka menjadi antara tarikan utama sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
30 Aug 25
752
JPNT Galak Penganjuran Program Berkualiti, Fokus Tahun Melawat Terengganu 2027
KUALA NERUS, 30 Ogos – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menganjurkan pelbagai program di negeri ini, khususnya yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
Pengarah JPNT, Hilman Hajijan berkata, pihaknya menekankan kepentingan penyusunan dan kawal selia setiap program agar ia bukan sahaja berlangsung meriah, tetapi turut memberi impak positif yang besar kepada penduduk setempat.
“Industri ini jelas menggerakkan aktiviti ekonomi tempatan kerana pelancong yang hadir akan berbelanja, sekali gus merancakkan perniagaan masyarakat sekitar.
“Justeru, JPNT akan memastikan setiap program disusun dengan baik,” katanya.
Hilman menegaskan, setiap penganjur digalakkan untuk menghantar permohonan rasmi dan berhubung dengan JPNT terlebih dahulu.
Langkah itu penting jelasnya bagi menyelaras tarikh penganjuran, terutamanya ketika musim cuti umum, bagi memaksimumkan potensi kehadiran pelancong dan kesan ekonomi kepada negeri.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian serta pelepasan 130 peserta “Terengganu Merdeka Challenge” yang menghimpunkan peminat pacuan empat roda di Bandar Baru, Kuala Nerus, hari ini.
Mengulas lanjut, Hilman menegaskan JPNT tidak pernah menolak mana-mana bentuk program selagi ia menepati syariah dan berupaya memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
“Kita akan sentiasa memberikan sokongan, namun saya berharap setiap penganjur berhubung dahulu dengan JPNT untuk berbincang dan menyelaras agar program lebih harmonis.
“Usaha ini juga penting bagi kita menyenaraikan setiap aktiviti sempena Tahun Melawat Terengganu 2027,” ujarnya.
30 Aug 25
869
Merdeka Erti Bebas Dari Curiga - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – “Kemerdekaan sebenar bukan hanya bebas daripada penjajah, tetapi bebas daripada rasa curiga dan tembok yang memisahkan kaum,” demikian penegasan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 hari ini.
Beliau berkata, Jalur Gemilang yang berkibar megah tidak hanya lambang kebebasan daripada belenggu kuasa asing, tetapi juga simbol pengorbanan generasi terdahulu termasuk datuk dan nenek daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang bersatu hati memerdekakan tanah air.
“Hari ini kita melihat anak-anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain duduk belajar bersama, bekerja bersama, membina kehidupan bersama.
“Inilah wajah sebenar merdeka, apabila kepelbagaian menjadi kekuatan, bukannya perpecahan,” katanya.
Menurut beliau, kemerdekaan akan lebih bermakna sekiranya rakyat menghayatinya dengan menyemai perpaduan, menyuburkan kasih sayang, saling menghormati serta berani merobohkan tembok perbezaan.
“Kita mungkin datang daripada latar belakang berbeza, tetapi kita berkongsi satu tanah air, satu bendera dan satu destinasi masa depan,” ujarnya.
30 Aug 25
105
4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
KUALA NERUS, 29 Ogos – Cabaran sukan lasak 4X4 Merdeka Challenge 2025 bukan sahaja berjaya menghimpunkan peminat kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara, malah turut membuka lembaran baharu bagi perkembangan sukan ekstrem dan pelancongan di negeri ini.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Pantai Timur, Mohd Azizul Arif Yahya, berkata penganjuran kali ini mencatatkan penyertaan terbesar dengan kehadiran 130 peserta dari seluruh Malaysia, sekali gus menunjukkan potensi besar acara ini untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan Terengganu.
“Ini satu aktiviti yang sangat baik dan wajar dijadikan acara tahunan serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri.
“Malah, ia berpotensi menjadi program berskala besar di rantau Timur,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program serta menyempurnakan pelepasan peserta di Bandar Baharu Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Mengulas lanjut, Mohd Azizul menegaskan konsep sport tourism seperti ini mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Peserta bukan datang bersendirian, sebaliknya membawa pasukan serta ahli keluarga untuk berbelanja di Terengganu.
“Secara tidak langsung, ia menjana ekonomi tempatan dalam pelbagai bentuk dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” jelasnya.
Menurut beliau, perbincangan bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang dibuat agar program ini dapat disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Tambahnya lagi, kelebihan Terengganu dalam aspek eco-tourism menjadikan negeri ini lokasi sesuai untuk penganjuran aktiviti sukan lasak.
“Bentuk muka bumi Terengganu sangat menarik dan menjadi faktor penarik utama untuk terus menganjurkan acara sebegini di masa depan,” katanya.
29 Aug 25
1979
TDM Catat Peningkatan Pendapatan Suku Kedua
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – TDM Berhad mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 13 peratus kepada RM223.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, didorong pertumbuhan Bahagian Perladangan (20 peratus) dan Penjagaan Kesihatan (6 peratus).
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TDM Berhad, perladangan merekodkan prestasi kukuh berikutan peningkatan jualan dan harga CPO serta PK.
"EBITDA suku ini meningkat kepada RM15.9 juta (28 peratus), dengan PBT RM0.7 juta.
"Namun, bagi tempoh enam bulan, walaupun pendapatan naik 11 peratus, LBT meningkat kepada RM11.6 juta berikutan penurunan kadar perahan minyak (OER)," katanya.
Jelas kenyataan itu, sektor penjagaan Kesihatan mencatat pertumbuhan hasil kepada RM85.4 juta hasil peningkatan pesakit luar dan dalam, namun keuntungan merosot akibat kos operasi tinggi.
"EBITDA dan PBT masing-masing susut 11 peratus dan 13 peratus suku ke suku. Bagi enam bulan pertama, EBITDA turun 36 peratus dan PBT merosot 62 peratus.
"Industri minyak sawit dijangka kekal mencabar susulan bekalan pesaing meningkat dan ketidaktentuan global. Harga CPO diunjur sekitar RM3,800–RM4,000 satu tan bagi baki tahun ini," tambah kenyataan itu.
Menurut TDM, pelupusan aset Indonesia masih diteruskan dengan lanjutan tarikh akhir urus janji hingga 31 Disember 2025.
TDM kekal komited memperkukuh prestasi operasi dan rancangan pengembangan.
29 Aug 25
125
Anak Muda Pelbagai Kaum Semarakkan Hari Kebangsaan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Suasana penuh warna-warni sempena Hari Kebangsaan terserlah di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu apabila enam anak muda daripada pelbagai kaum tampil bergaya dalam pakaian tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Idea segar ini dicetuskan oleh anak jati Terengganu, Eric Liaw, 27, yang mahu menggambarkan keindahan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang menjadi kekuatan utama rakyat Terengganu.
“Malaysia terdiri daripada tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India. Dalam gambar ini, kita dapat lihat sekumpulan rakan yang memakai baju tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Di situlah lahirnya sifat perpaduan,” katanya ketika dihubungi.
Bagi Eric, perpaduan adalah asas penting dalam membentuk negara yang aman dan stabil.
Katanya, walaupun semangat itu sudah wujud, masih banyak ruang untuk diperkukuhkan.
“Malaysia memang sudah ada semangat perpaduan, tetapi ia belum cukup kuat. Masih boleh dipertingkatkan lagi.
“Anak muda boleh menyertai aktiviti sukarelawan, bersukan bersama tanpa mengira bangsa atau agama. Kita juga perlu amalkan nilai toleransi, hormat-menghormati serta menguasai bahasa kebangsaan. Jika mampu, pelajari bahasa lain supaya komunikasi lebih mudah,” jelasnya.
Dari kiri: Afif, Eric, Shashi, Alifah, Pek Yan dan Poorini
Eric yang fasih bertutur dalam dialek Terengganu turut menekankan bahawa generasi muda merupakan tunjang kepada masa depan negara, dan mereka perlu menjadi ejen pengukuhan semangat perpaduan.
Mengenang pengalaman mengibarkan Jalur Gemilang di perkarangan Kampung Budaya, Eric meluahkan rasa terharu kerana dapat merasai detik penuh makna itu bersama rakan-rakan berbilang kaum.
“Semasa mengibarkan Jalur Gemilang, saya rasa sangat gembira kerana wujudnya sifat harmoni. Harmoni inilah yang membanggakan saya sebagai rakyat Malaysia kita kibarkan bendera dengan senyuman tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Mengulas pemilihan lokasi, Eric menyifatkan Kampung Budaya Muzium Negeri Terengganu sebagai tempat yang sarat dengan sentimen tradisi, sesuai dengan tema pakaian tradisional yang ditampilkan.
“Kampung Budaya istimewa kerana kaya dengan suasana tradisional. Ia sangat sepadan dengan tema penggambaran kami,” jelasnya.
Bagi Eric, pemakaian pakaian tradisional daripada pelbagai kaum itu sendiri membawa mesej besar bahawa perbezaan bukan pemisah, sebaliknya lambang kesatuan.
“Perbezaan yang jelas inilah penunjuk kepada perpaduan yang kita kecapi. Walaupun berbeza dari segi pakaian, warna kulit, budaya, tradisi dan kepercayaan, kita tetap boleh saling memahami serta bertoleransi. Saya yakin, perbezaan inilah yang akan menguatkan lagi perpaduan kita,” tegasnya.
29 Aug 25
311
UAI Terima Sambutan Luar Biasa di Kijal
KEMAMAN, 28 Ogos – Forum Kemerdekaan yang berlangsung di Kijal mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 pengunjung hadir memenuhi ruang majlis bagi mendengar perkongsian ilmu daripada Murabbi Sejuta Ummah, Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Pengarah program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata kehadiran tersebut terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan swasta, penduduk kampung serta para pelajar.
“Forum Kemerdekaan yang berlangsung di Dewan Canselor TATI UC ini menampilkan gandingan yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah iaitu Ustaz Azhar Idrus dengan Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.
“Sesi soal jawab bersama pengunjung turut menjadi tarikan utama apabila pelbagai persoalan berkaitan agama dan isu semasa diajukan kepada kedua-dua tokoh berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan semalam.
Redzuan berkata pelbagai hadiah menarik juga disediakan turut disediakan sepanjang program bagi menarik minat pengunjung yang hadir.
Cabutan bertuah utama berupa ‘Gold Coin’ menjadi milik Sarjan Mohd Farhan Mohd Fodzi dari Batalion 3, Kem Bukit Kuang, Rejimen 512 Askar Wataniah diikuti hadian cabutan bertuah lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, merakamkan penghargaan atas penganjuran program tersebut.
“Terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat dan menyuntik semangat buat kita semua.
“Kedatangan Murabbi ke Kijal sentiasa kami alu-alukan. Pintu Kijal sentiasa terbuka untuk majlis ilmu dan dakwah,” ujarnya.
28 Aug 25
2743
Video Kreatif Medium Baharu Semarak Patriotisme Generasi Muda
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Pertandingan Video Kreatif dianjurkan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) menjadi platform baharu untuk menyemarakkan patriotisme dalam kalangan generasi muda sempena Perarakan Bot Merdeka 2025.
Pertandingan ini membuka ruang kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menzahirkan rasa cinta tanah air melalui penghasilan video kreatif yang memaparkan suasana dan semangat kemerdekaan.
Tempoh penyertaan dibuka mulai 31 Ogos hingga 9 September 2025, dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan termasuk RM500 untuk Johan, RM300 untuk Naib Johan, RM200 untuk tempat ketiga serta tiga hadiah saguhati bernilai RM100 setiap seorang.
Penganjuran pertandingan ini selari dengan aspirasi negeri untuk menjadikan platform digital sebagai medium menyemarakkan semangat nasionalisme, di samping mencungkil kreativiti rakyat dalam menghasilkan karya berkualiti.
Patriotisme bukan hanya disambut dengan kibaran bendera, tetapi juga melalui kreativiti yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.
Inilah ruang terbaik bagi generasi muda menyumbang melalui bakat mereka.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan syarat penyertaan dengan mengimbas kod QR yang tertera pada poster rasmi pertandingan.
Dengan adanya pertandingan ini, sambutan Perarakan Bot Merdeka di Sungai Terengganu bukan sahaja meriah dengan perarakan penuh warna-warni, malah turut diwarnai dengan kreativiti anak muda yang menzahirkan jiwa merdeka melalui medium digital.
28 Aug 25
74