lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

48 Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
48 Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 September – Seramai 48 bayi di seluruh Terengganu bergelar ‘Bayi Permata Maulidur Rasul’ apabila lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kelahiran kesemua bayi pada tarikh bersejarah bertepatan dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW memberi makna yang sangat istimewa. Menurutnya, mereka juga turut diraikan melalui program Permata Maulidur Rasul sebagai tanda penghargaan dan kegembiraan terhadap kelahiran bayi yang datang pada hari istimewa ini. “Alhamdulillah, kelahiran 48 bayi pada hari ini amat bermakna.  "Kita mendoakan agar mereka membesar dengan sihat, menjadi anak soleh dan solehah serta pewaris ummah yang membawa rahmat kepada negeri dan negara,” katanya selepas meraikan bayi Permata Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini. Beliau turut menyampaikan sumbangan dan hadiah kepada ibu bapa bayi berkenaan sebagai tanda kasih serta doa daripada kerajaan negeri. Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi kenangan bermakna buat keluarga terlibat malah mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menghargai kelahiran generasi baharu.
05 Sep 25
786
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
Terengganu Perkukuh Aspirasi Bandar Pintar Melalui Tomorrow City Shanghai
CHINA, 6 September – Kerajaan Negeri Terengganu menyertai Tomorrow City Shanghai, acara tahunan bertaraf antarabangsa yang membincangkan hala tuju pembangunan bandar pintar di Shanghai, China.  Delegasi Terengganu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Setiausaha Bahagian Kerajaan Terengganu, Datuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu. Menurut Wan Sukairi, penyertaan tiga hari pada 2 hingga 4 September lepas memberi peluang besar untuk bertukar pandangan dan mempelajari pengalaman negara lain. "Banyak elemen bandar pintar boleh disesuaikan di Terengganu mengikut lokasi, iklim dan populasi. Insya-Allah pengalaman sepanjang menyertai program ini akan diterjemahkan dalam dasar negeri,” katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa Terengganu telah melaksanakan beberapa inisiatif bandar pintar, termasuk pemasangan sistem pemantauan CCTV serta pusat arahan setempat di MBKT. "Kita akan menambah bilangan CCTV di Kemaman dan Kuala Terengganu, sebelum diperluas ke daerah lain,” jelasnya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu, TPr Dr Abu Bakar Mat, pula menyifatkan Tomorrow City Shanghai sebagai platform penting memperkukuh jaringan antarabangsa. “Sesi ini membuka peluang perbincangan terus bersama vendor bandar pintar, selain memperluas kerjasama dengan negara seperti Hong Kong dan Korea. Malah, China turut menunjukkan kesediaan untuk membantu,” ujarnya. Selain pembangunan bandar pintar, delegasi Terengganu turut mengambil kesempatan memperkenalkan potensi pelancongan negeri. “Selepas sesi pembentangan, ramai yang berminat mengetahui keindahan Terengganu. Ini juga membantu mempromosikan Smart City Activation Day anjuran PlanMalaysia@Terengganu,” tambah Dr Abu Bakar. Dalam perkembangan sama, PlanMalaysia Terengganu dijadualkan menganjurkan Terengganu Smart City Activation Day 2025 pada 14 Oktober ini di Duyong Convention Centre, The Langit Duyong Marina Resort yang bakal menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan strategi dan hala tuju bandar pintar di negeri ini. Penyertaan Terengganu dalam Tomorrow City Shanghai diyakini menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ke arah bandar pintar berdaya huni, inklusif dan mampan.
05 Sep 25
1152
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Rancakkan Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kerajaan Terengganu merancang pelbagai inisiatif sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi menyemarakkan lagi rasa cinta umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepelbagaian program yang bakal dilaksanakan itu bukan sahaja bertujuan memperkasa minda dan intelek, malah berperanan menyemai kesejahteraan jiwa dalam kalangan masyarakat negeri ini. “Kita akan teruskan pendekatan dakwah melalui penyampaian ilmu dan tarbiah, di samping melaksanakan kaedah yang lebih menyeluruh serta berkesan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut bagi menyempurnakan perasmian sambutan. Keberangkatan baginda berdua turut diiringi Menteri Besar bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.  
05 Sep 25
132
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
Sultan Mizan Titah Hidupkan Semula Amalan Berzanji, Marhaban
KUALA TERENGGANU, 5 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar amalan bacaan rawi, marhaban dan berzanji kembali dihidupkan secara meluas di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis-majlis komuniti di seluruh negeri. Baginda bertitah, amalan berkenaan bukan sahaja sebahagian daripada warisan budaya Melayu Islam di Terengganu, malah telah diamalkan sejak sekian lama. “Mengikut catatan sejarah, pada zaman Kesultanan moyangnda Beta, Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, majlis berzikir termasuk bacaan rawi, marhaban dan berzanji telah menjadi amalan yang subur dalam kalangan rakyat, khususnya apabila tibanya bulan Rabiulawal. “Bacaan ini bukan hanya tradisi warisan Melayu Islam, tetapi juga medium dakwah, pendidikan rohani dan penghayatan sirah Rasulullah SAW yang mampu menghubungkan hati umat dengan sejarah serta kecintaan kepada Baginda,” titah baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1447 Hijrah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhamad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Dalam titah yang sama, baginda turut mengajak rakyat menghayati tema sambutan tahun ini iaitu 'Membangun Ummah Madani'. “Tema ini amat signifikan kerana ia menekankan kepentingan membina masyarakat yang bukan sahaja maju dan berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berkasih sayang sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.  “Justeru, Beta menyeru seluruh rakyat agar menjiwai dan mengamalkan nilai-nilai murni yang dibawa Baginda dalam kehidupan seharian – sama ada dalam keluarga, di tempat kerja mahupun di tengah masyarakat. “Dengan semangat inilah kita mampu membina sebuah masyarakat harmoni, bersepadu dan sejahtera berpaksikan ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda.  
05 Sep 25
166
Suasana Kelam Kabut , Sistem MyKasih Gagal Berfungsi
Suasana Kelam Kabut , Sistem MyKasih Gagal Berfungsi
KUALA TERENGGANU, 5 September – Kegagalan sistem MyKasih berfungsi dengan baik mencetuskan kekecohan di beberapa pasar raya apabila orang ramai terpaksa beratur panjang, terkandas berjam-jam malah ada yang terpaksa meninggalkan barangan di troli kerana transaksi tidak dapat diproses. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, menegaskan isu ini perlu diberi perhatian serius kerana pihaknya menerima banyak aduan sejak proses penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 bermula pada 1 September lalu. “Semalam, masuk hari keempat penebusan, aduan semakin bertambah. Ramai rakyat berpendapatan rendah kecewa kerana terpaksa pulang dengan tangan kosong, walaupun sudah mengeluarkan kos pengangkutan ke pasar raya. “Keadaan ini menambah beban mereka yang sememangnya serba kekurangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, kegagalan sistem tersebut bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah turut memberi kesan kepada pihak pasar raya yang terpaksa menanggung kerugian akibat barangan ditinggalkan serta berdepan kekeliruan operasi. “Perkara ini jelas menunjukkan kelemahan perancangan kerajaan dalam melaksanakan program bantuan rakyat. Sistem sepatutnya diuji, diperkukuh dan dipastikan berfungsi dengan baik sebelum diumumkan kepada rakyat,” tegasnya.  Menurut Rosol, pengumuman bantuan SARA kepada 22 juta penerima di seluruh negara pada 23 Julai lalu seharusnya disusuli dengan persediaan rapi termasuk ujian teknikal bagi mengelakkan kegagalan seperti yang berlaku. “Bantuan yang kononnya mahu meringankan beban rakyat akhirnya bertukar menjadi punca kekecewaan apabila pelaksanaannya tidak diurus dengan baik. Rakyat hanya mahu hak yang dijanjikan sampai kepada mereka dengan cekap dan berkesan, bukannya menimbulkan masalah baru,” ujarnya. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyegerakan langkah konkrit bagi memastikan masalah sama tidak berulang, termasuk mengkaji semula keberkesanan vendor sistem yang dilantik serta menyediakan pelan kontingensi yang jelas sekiranya berlaku gangguan teknikal. “Kerajaan juga perlu lebih teliti dalam merangka dasar berkaitan kos sara hidup. Program bantuan rakyat mesti benar-benar sampai kepada penerima dengan cepat, telus dan tanpa halangan teknikal. Rakyat tidak boleh terus menjadi mangsa kelemahan pentadbiran dan ketidakcekapan kerajaan,” katanya.
05 Sep 25
74
Kerajaan Negeri Komited Mengekalkan Keharmonian Pulau Perhentian Sebagai Destinasi Percutian
Kerajaan Negeri Komited Mengekalkan Keharmonian Pulau Perhentian Sebagai Destinasi Percutian
KUALA TERENGGANU, 5 September - Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk mengekalkan keharmonian Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan keluarga dan eko-pelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keharmonian akan dijaga khususnya melalui pemantauan aktiviti berkaitan penjualan arak.   Datuk Razal (kiri) dan Hilman (kanan) Menurutnya, Terengganu tidak merestui penjualan minuman beralkohol di destinasi peranginan tersebut dan hasil pemeriksaan terhadap 80 pengusaha mendapati semua resort di pulau itu tidak mempunyai lesen penjualan arak. "Perbuatan mereka itu berada dalam keadaan yang tidak direstui oleh kerajaan negeri. Jika ada penguatkuasaan, mereka akan dikenakan tindakan. "Saya ingin pastikan pengusaha Melayu menjaga adat orang Islam dan dinasihatkan supaya menjaga adat Timur. Bagi yang bukan Islam, diharap bersopan dan tidak minum di tepi pantai secara terbuka. Beliau dilaporkan berkata demikian oleh Sinar Harian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Program 'Dive Against Debris' (DAD): Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian, kelmarin. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin serta Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Hilman Hajijan. Tegasnya lagi, meskipun kehadiran pelancong di Pulau Perhentian didominasi oleh pelancong luar ia tidak menjadi justifikasi kepada pelancong dan pengusaha untuk menjadikannya sebagai destinasi untuk mabuk. Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
05 Sep 25
36
138 Rakyat Kijal Terima Dokumen Hak Milik Tanah
138 Rakyat Kijal Terima Dokumen Hak Milik Tanah
KEMAMAN, 4 September – Seramai 138 penduduk Kijal menerima dokumen hak milik tanah masing-masing melibatkan 19 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kediaman dan pertanian, manakala 40 lagi menerima notis Borang 5A bagi sebuah RTB kediaman. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata penyerahan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menunaikan janji kepada rakyat serta memastikan kebajikan mereka terus diberi keutamaan. “Alhamdulillah, seramai 138 penerima kini boleh menarik nafas lega selepas menerima dokumen hak milik tanah, manakala 40 lagi menerima notis Borang 5A. “Insya-Allah akan ada lagi penyerahan seterusnya untuk rakyat yang layak," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis Borang 5A Bagi RTB Bangunan Kediaman dan RTB Pertanian bertempat di Kompleks Paya Lasir, Kemaman, hari ini. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan terlibat. Razali berkata RTB yang terlibat termasuk Pondok Pasir, Jong Belabuh, Kampung Payoh, Bujal, Kampung Ibok, Bukit Panjang, Beris Meraga, Kampung Pantai Penunjuk serta beberapa kawasan lain bagi tapak kediaman dan pertanian. Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha mempercepatkan proses berkaitan tanah supaya lebih ramai rakyat Kijal dapat memiliki tanah sendiri secara sah dan terjamin.                
04 Sep 25
4196
Kerajaan Negeri Komited Jaga Keselamatan Pelancong di Perhentian
Kerajaan Negeri Komited Jaga Keselamatan Pelancong di Perhentian
BESUT, 5 September – Kerajaan Terengganu serius memastikan pemandu bot, teksi air dan teksi bot di Pulau Perhentian bebas daripada dadah dengan kerjasama pihak polis. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasil pemantauan polis menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bot semakin berkurangan. “Saya difahamkan, polis sentiasa melakukan pemantauan berhubung perkara ini, namun masih ada yang berbuat demikian. "Namun, alhamdulillah, angkanya makin berkurang dan kita berharap supaya ia terus kekal,” katanya kepada pemberita selepas Program 'Dive Against Debris (DAD): CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian kelmarin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; Pengarah Pelancongan, Hilman Hajijan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor. Razali berkata,  perkara itu dipandang serius kerana melibatkan keselamatan pelancong. Beliau berharap semua pemandu bot dapat memberi kerjasama supaya aspek keselamatan menjadi keutamaan. Sebelum ini, polis mengesahkan pemandu bot yang terlibat dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian pada Jun lalu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.  Katanya, Insiden itu mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak.  
04 Sep 25
60
Terengganu Import Baka Brahman, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan
Terengganu Import Baka Brahman, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan
KUALA TERENGGANU, 4 September - Kerajaan Terengganu sedang dalam proses membawa masuk sebanyak 128 ekor induk betina dan pejantan baka Brahman dari Darwin, Australia, sebagai langkah memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, ternakan berkenaan kini ditempatkan di Export Yard Darwin untuk menjalani proses kuarantin selama tujuh hari. “Proses kuarantin ini penting bagi memastikan kesihatan haiwan terjamin. Sampel darah diambil untuk pemeriksaan bagi mengelak sebarang risiko penyakit sebelum dieksport ke Malaysia,” katanya selepas meninjau fasiliti tersebut bersama Mr Kelvin Mulvahil, Director Australian Cattle Enterprise, hari ini. Beliau menambah, pusat kuarantin berkenaan mampu menampung sehingga 4,000 ekor ternakan pada satu-satu masa, dengan kapasiti muatan sebuah kapal antara 3,500 hingga 4,000 ekor setiap trip. "Setiap tahun, kira-kira 95,000 ekor lembu dieksport ke pelbagai destinasi dunia, termasuk Asia Tenggara," jelasnya. Dr. Azman berkata, usaha membawa masuk baka Brahman ini merupakan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh industri penternakan tempatan. “Insya-Allah, lembu-lembu ini dijangka tiba di Terengganu pada akhir September 2025," ujarnya. Langkah ini, tambah beliau, adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi menjamin keselamatan makanan serta menyokong agenda pengukuhan industri agro di Terengganu.
04 Sep 25
471
100 Tahun Pengakap Terengganu: Seabad Membina Generasi
100 Tahun Pengakap Terengganu: Seabad Membina Generasi
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu bakal meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya tahun hadapan, menandakan satu abad perjalanan sejak ditubuhkan pada tahun 1926.  Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Shahrul Azwan Mohamad@Endut berkata, sambutan tersebut bakal menjadi detik bersejarah dalam mengangkat kembali warisan dan pencapaian gerakan pengakap di negeri ini. Menurut beliau, kepengakapan mula bertapak di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20, bermula di kawasan Pantai Barat sebelum berkembang ke negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu.  “Pada tahun 1926, gerakan ini diperkenalkan di Negeri Terengganu hasil usaha pendidik dari luar, termasuk dari Singapura. Mereka membawa bersama semangat dan metodologi pendidikan pengakap, bukan sahaja untuk mengisi masa lapang pelajar, tetapi juga sebagai pelengkap kepada kurikulum pendidikan formal. “Antara individu penting dalam memperkenalkan gerakan ini di Terengganu ialah Mr. A.J. Gracle, yang diiktiraf sebagai Pengasas Pengakap Negeri Terengganu pada tahun 1926. “Seterusnya, gerakan ini terus diperkukuhkan oleh barisan Pesuruhjaya dan Ketua Pesuruhjaya yang menerajui kepimpinan pengakap negeri sehingga kini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, Sekolah Sultan Sulaiman, sebagai institusi pendidikan Melayu terawal di Terengganu, turut memainkan peranan penting dalam percambahan awal pengakap di negeri ini.  “Sebagai sekolah yang menempatkan ramai pelajar lelaki dari pelbagai latar belakang, ia menjadi pusat strategik bagi memperkenalkan budaya kepengakapan kepada generasi muda. “Kini, selepas satu abad, Pengakap Negeri Terengganu kekal relevan dalam mendidik generasi muda melalui program berteraskan kepimpinan, khidmat masyarakat, kemahiran hidup dan kesukarelawanan,” ujarnya. Tambah beliau, bersempena sambutan 100 tahun, antara acara kemuncak yang akan dianjurkan ialah Jambori Antarabangsa Terengganu (TIJ 100) pada 17-21 Disember 2025, di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus yang bakal menghimpunkan 10,000 ahli pengakap dari dalam dan luar negara. “Sambutan 100 tahun ini bukan sahaja mengenang jasa dan pengorbanan tokoh terdahulu, tetapi juga akan menjadi titik tolak untuk memperkukuhkan lagi peranan pengakap Terengganu dalam melahirkan generasi yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran globalisasi serta era digital,” katanya.  
03 Sep 25
24