lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

IIPM, UMT Perkasa Industri Kelulut Ke Arah Pembangunan Mampan
IIPM, UMT Perkasa Industri Kelulut Ke Arah Pembangunan Mampan
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Industri penternakan lebah kelulut dijangka menerima lonjakan baharu menerusi penganjuran Persidangan dan Bengkel Antarabangsa Lebah Kelulut 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Hotel Permai. Program anjuran International Institute of Plantation Management (IIPM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk ahli akademik, penternak, penggiat industri, penyelidik, pelajar serta wakil agensi kerajaan dan swasta dari dalam serta luar negara. Bertemakan “Stingless Bee Industry: Towards Economic, Social and Environmental Sustainability”, persidangan edisi ketiga itu bertujuan memperkukuh pembangunan industri kelulut secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar. Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Luqman Ahmad,  berkata, industri kelulut mempunyai nilai strategik sebagai kesinambungan warisan tradisi di samping berpotensi menjana produk baharu, peluang pekerjaan dan pasaran antarabangsa. “Kementerian melihat industri kelulut sebagai sektor berpotensi besar dan komited menyokong pertumbuhannya melalui penyelidikan, inovasi, latihan serta peningkatan kualiti produk. Matlamatnya jelas  membina industri kelulut yang berdaya saing, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat serta alam sekitar,” katanya  ketika merasmikan program berkenaan. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof Dr Mohd Salmi Mohd Sohod, berkata industri kelulut bukan sahaja memberi impak terhadap sosioekonomi masyarakat malah turut menyumbang kepada ekopelancongan negara. “Lebah tanpa sengat berperanan penting dalam pendebungaan hutan dan tanaman yang memastikan keseimbangan ekosistem. Gabungan tunjang ekonomi, sosial dan alam sekitar bukan sahaja melindungi spesies ini tetapi turut membawa manfaat kepada masyarakat dan industri secara mampan,” katanya. Sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan mendengar pembentangan daripada pakar industri dari Malaysia, Filipina dan Thailand termasuk wakil daripada MARDI, Jabatan Pertanian Malaysia, Boustead Plantations Berhad, Universiti Sains Malaysia (USM) dan UMT sendiri. Antara pengisian utama ialah pertandingan Stingless Bees Challenge yang menampilkan kategori Invention, Innovation dan Design, bertujuan menggalakkan budaya inovasi serta memperkukuh jaringan antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri. Selain itu, ruang pameran disediakan bagi membolehkan agensi, syarikat dan usahawan memperkenalkan produk serta perkhidmatan berkaitan industri kelulut. Pada 6 Oktober, peserta akan mengikuti lawatan teknikal ke Pusat Repositori Kelulut Indo-Malaya dan Pusat Penyelidikan Getah di Kampus UMT Bukit Kor, serta projek komuniti kelulut di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, bagi meninjau model penternakan bersepadu berasaskan komuniti. Penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem industri kelulut negara serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama penghasilan madu kelulut berkualiti tinggi di peringkat global.
05 Oct 25
124
EX5 Member 5.0 Raikan Keberanian Wira Sumud Flotilla
EX5 Member 5.0 Raikan Keberanian Wira Sumud Flotilla
KUALA NERUS, 4 Oktober – Program EX5 Member 5.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak hari ini bukan sahaja meriah dengan aktiviti permotoran, malah turut menjadi wadah untuk meraikan keberanian wira-wira Sumud Flotilla yang baru sahaja dibebaskan selepas ditahan oleh rejim Zionis. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata keberanian mereka menjadi simbol ketabahan rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan kemanusiaan buat rakyat Palestin. Katanya, kita bersyukur atas pembebasan semua wira Sumud Flotilla.  "Keberanian dan semangat juang mereka wajar dijadikan inspirasi untuk seluruh rakyat, khususnya anak muda agar terus menyemai nilai kemanusiaan dan solidariti. "Saya juga merakamkan penghargaan kepada Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman Berhad serta semua pihak yang menjayakan penganjuran dua hari ini yang berlangsung dari 3 hingga 4 Oktober dengan tema ‘Jejak Hadir Ada Kenangan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program EX5 Member 5.0 bertempat di Litar Permotoran Gong Badak pada hari ini. Razali berkata penganjuran program tersebut bukan sahaja memperkukuh komuniti permotoran malah memberi impak ekonomi langsung kepada penduduk setempat. Katanya, dengan melalui peningkatan hasil kepada pengusaha homestay, penjaja kecil dan industri kreatif. “Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha yang menggabungkan elemen pelancongan, belia dan sukan bermotor. "Saya harap komuniti permotoran terus berkembang dalam suasana berhemah dan mematuhi undang-undang. "Terengganu kini terus muncul sebagai hab permotoran utama negara dengan penganjuran pelbagai acara berskala besar sepanjang tahun termasuk Terengganu International Bike Week, RXZ Members, dan JDM Fighter 2.0," ujarnya.  
04 Oct 25
8654
‘Masih Ada Yang Sayang’ Pulih hubungan Klien AADK Dengan Keluarga
‘Masih Ada Yang Sayang’ Pulih hubungan Klien AADK Dengan Keluarga
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Program Masih Ada Yang Sayang yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya memberi sinar baharu buat klien dengan mengembalikan semula hubungan mereka bersama keluarga. Program yang berlangsung menerusi kem pemulihan itu menekankan kepentingan sokongan sosial, khususnya daripada ahli keluarga, dalam mempercepatkan proses pemulihan serta mengurangkan risiko berulang (relapse). Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata ramai klien berhadapan dengan penolakan, hubungan renggang dan kehilangan sokongan keluarga selepas melalui episod penyalahgunaan dadah. Justeru itu katanya, inisiatif tersebut dicetuskan bagi memulihkan semula ikatan kekeluargaan yang terjejas. "Antara objektif utama program berkenaan ialah memberi kesedaran kepada ahli keluarga tentang peranan mereka dalam menyokong proses pemulihan klien, menyediakan ruang komunikasi yang sihat dan selamat, memperkuatkan kembali hubungan yang renggang serta meningkatkan motivasi klien untuk kekal bebas dadah. “Dengan semangat kerjasama dan komitmen semua pihak, kita percaya matlamat ini dapat direalisasikan. Mari kita berganding bahu dan bergerak seiring demi masa depan yang lebih cerah,” katanya semasa merasmikan penutup program. Lebih kurang 50 peserta terpilih dari seluruh daerah bersama keluarga  menyertai kem tersebut yang berlangsung selama dua hari satu malam di Hotel Permai. Tambahnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin terhadap nasib peserta AADK dan menyokong usaha seperti ini sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat, dengan harapan mereka yang terjebak dapat kembali pulih, diterima masyarakat serta memberi sumbangan positif kepada negeri. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kem itu, terutamanya para peserta yang menunjukkan komitmen penuh sepanjang program berlangsung.
04 Oct 25
72
55 Peserta Terima Hakmilik Tanah, 15 Terima Notis Borang 5A
55 Peserta Terima Hakmilik Tanah, 15 Terima Notis Borang 5A
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Seramai 55 peserta menerima Hakmilik Sementara manakala 15 lagi menerima Notis Borang 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Bangunan Kediaman di DUN Cukai, Daerah Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, pemberian tanah ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyediakan penempatan yang teratur dan masa depan lebih baik untuk rakyat. "Kami berharap agar usaha murni ini akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, baru-baru ini. Menurutnya, inisiatif pemberian tanah kediaman ini adalah sebahagian daripada agenda berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa. “Semoga tanah yang diberikan ini menjadi asas kesejahteraan hidup dan menyumbang kepada kemajuan DUN Cukai khususnya, serta daerah Kemaman amnya,” katanya.
04 Oct 25
137
Terengganu FC Benam Kelantan TRW 4-1 Di Laman Sendiri
Terengganu FC Benam Kelantan TRW 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 3 Oktober - Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 4-1 dalam saingan Liga Super, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas liga. Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila jaringan pembukaan hadir menerusi Diego Landis yang tenang menyudahkan peluang di depan gawang lawan. Gol tersebut menjadi penyuntik semangat buat pasukan tuan rumah yang terus menggandakan asakan. Hasilnya, Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua sebelum Yann Mabella melengkapkan babak pertama dengan jaringan ketiga buat TFC. Namun, kemaraan tiga mata tuan rumah tidak mematahkan semangat Kelantan TRW, apabila mereka bangkit sebaik sahaja babak kedua bermula. Usaha mereka berhasil apabila Saravanan Thirumurugan merapatkan kedudukan. Walau bagaimanapun, segala usaha untuk menambah jaringan termasuk dua sepakan penalti gagal membuahkan hasil. TFC kemudian kembali menambah derita pelawat apabila Mabella sekali lagi meledak, kali ini untuk gol keempat tuan rumah, memastikan kemenangan bergaya 4-1 berpihak kepada skuad Penyu. Jurulatih TFC, Badrul Afzan nyata berpuas hati dengan semangat juang dan prestasi anak buahnya pada malam ini. "Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata berharga di tempat kita. Pemain-pemain melaksanakan apa yang dirancang, khususnya pada babak pertama. Kredit kepada mereka semua," katanya. "Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata pertama yang berharga di tempat kita. Jadi, semangat juang pemain-pemain malam ni kalau kita tengok pada babak pertama dan babak kedua dari bermula wisel, kita mengasak apa yang kita rancang. "Kita dapat 3-0 di babak pertama, jadi alhamdulillah, kredit kepada pemain-pemain," katanya kepada pemberita selepas perlawanan. Beliau turut menegaskan fokus pasukan adalah memastikan momentum kemenangan dikekalkan menjelang aksi Piala FA menentang Kuching City minggu depan. Dengan kemenangan ini, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan kutipan 13 mata, sementara Kelantan TRW kekal di pertengahan carta dengan lapan mata.
03 Oct 25
59
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
Sultan Terengganu Titah Masjid Santuni Anak Kecil, Remaja
DUNGUN, 3 Oktober - Masjid-masjid khususnya di Terengganu disarankan untuk mempertingkat aktiviti yang melibatkan pelbagai segmen masyarakat. DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, aktiviti bersama anak seperti program bercerita serta program remaja seperti memanah dan lain-lain perlu diperbanyakkan. "Pengaruh masjid dalam masyarakat masa kini boleh dilihat dari segi inisiatif sosial dan aktiviti yang dilaksanakan seperti program kebajikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi. "Masjid juga menjadi pusat penyatuan melalui solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti sosial yang membentuk kekuatan dan kesatuan dalam masyarakat. Selain itu, masjid turut berfungsi sebagai pusat kebajikan yang membantu golongan memerlukan. "Untuk itu, pengurusan yang efisien dan kerjasama antara komuniti dan pihak pengurusan masjid penting untuk memaksimakan potensi masjid sebagai pusat tumpuan komuniti dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera," titah Baginda. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kampung Jongok Batu, di sini hari ini. Berdasarkan rekod, Masjid Kampung Jongok Batu merupakan salah sebuah daripada 51 buah masjid di daerah Dungun.  Bangunan asal masjid mula dibina pada tahun 1950an di atas tanah kerajaan berkeluasan 0.7901 ekar.  Bangunan separuh kekal itu berkeluasan 2,000 kaki persegi dan mampu menampung 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Namun, ekoran perkembangan semasa dan pertambahan penduduk, satu lot tanah kerajaan iaitu Lot PT 1832 telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan bangunan baru melibatkan keluasan keseluruhan tapak baru 0.9732 hektar (2.404 ekar) dengan kos pembinaan bernilai RM4.9 juta. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 27 Mac 2017 dan siap dibina sepenuhnya pada 5 Januari 2020.  Bangunan baru Masjid Kampung Jongok Batu mula diguna pakai pada Solat Maghrib 5 Mac 2020M dan Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 6 Mac 2020M bersamaan 11 Rejab 1441H.  Bangunan berkonsep moden ini dapat menampung kira-kira 500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi Ruang Solat Utama, Ruang Solat Terbuka, Ruang Solat Muslimah, Tempat Wuduk lelaki dan Perempuan, Menara dan Wakaf Rehat.
03 Oct 25
131
Terengganu Beri Felda 40 Hari Selesai Isu Tanah 14,791 Hektar
Terengganu Beri Felda 40 Hari Selesai Isu Tanah 14,791 Hektar
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu memberi tempoh 40 hari kepada Felda untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah seluas 14,791 hektar yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak lebih 40 tahun lalu. Tanah berkenaan yang merupakan milik kerajaan negeri dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sejak 1985, sebelum diserahkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV) dan diisytiharkan sebagai aset syarikat itu di Bursa Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, Felda sudah menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah tersebut, namun hak kerajaan negeri tidak pernah diambil kira. “Malah tanah ini dipajak pula kepada FGV dan diisytiharkan di Bursa Malaysia sebagai aset FGV. Bagaimana tanah milik negeri boleh diisytiharkan sebagai aset mereka?.  “Kerajaan negeri sudah lama membuka ruang perbincangan tetapi tidak disambut dengan baik. Kini hanya ada dua pilihan – sama ada Felda beri hak rakyat Terengganu melalui bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan, atau kita bawa kes ini ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook. Menurut beliau, kerajaan negeri kini bersedia sepenuhnya sekiranya proses perundangan terpaksa ditempuh, walaupun ia memakan masa yang panjang. “Kami hadir ke Menara Felda Kuala Lumpur sebagai tuan tanah untuk menuntut hak, bukan memohon ehsan. Ruang tolak ansur sebelum ini kini diganti dengan ketegasan. “Tempoh 40 hari diberikan sehingga 29 November ini. Jika tiada penyelesaian, tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya.
03 Oct 25
187
Terengganu Desak Campur Tangan Antarabangsa Pastikan Peserta GSF Selamat
Terengganu Desak Campur Tangan Antarabangsa Pastikan Peserta GSF Selamat
MARANG, 2 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel serta mendesak campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi membela aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), selepas sebahagian mereka dilaporkan ditahan sejak semalam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang telah berlarutan sejak 1948. “Zionis Israel mesti dikenakan tindakan antarabangsa. Mereka berkali-kali melakukan pelanggaran terhadap undang-undang dan hak asasi manusia. “Terengganu akan lakukan apa sahaja dalam bidang kuasa kita, sama ada ceramah, doa, solat hajat, perhimpunan atau demonstrasi sebagai tanda solidariti dan bentuk tekanan,” tegasnya ketika ditemui selepas Himpunan Solidariti Palestin dan GSF di Rusila, hari ini. Dalam masa yang sama menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui JHEAT mengarahkan solat hajat serentak di lebih 500 masjid seluruh Terengganu selepas solat Jumaat, manakala negeri-negeri lain dalam blok SG4 (Kelantan, Kedah dan Perlis) turut mengambil inisiatif sama. Dr. Khalil turut memaklumkan bahawa teks khutbah Jumaat di negeri-negeri berkenaan akan menyentuh isu Palestin dan perjuangan flotilla sebagai usaha menyemarakkan kesedaran rakyat. Terdahulu, lebih 5,000 peserta berhimpun di hadapan Masjid Rusila petang tadi dalam acara Himpunan dan Flashmob Solidariti Sumud Flotilla, yang turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Menurut Dr. Khalil, operasi GSF disertai aktivis dari seluruh dunia termasuk anak Terengganu yang berada dalam misi berkenaan. Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat Malaysia berhak menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini. “Negara kita demokrasi. Rakyat berhak menyatakan pendirian bahawa Trump tidak wajar diterima, kerana beliau jelas sekutu rapat Zionis,” ujarnya.
02 Oct 25
83
Dua Anak Muda Sasar Kedai Kopi Sebaris Jenama Tersohor
Dua Anak Muda Sasar Kedai Kopi Sebaris Jenama Tersohor
SETIU, 2 Oktober - Bermula dari sebuah gerai kopi kecil di Pantai Kampung Mangkok, dua anak muda, Rabiatull Adawiyyah Mohd Kahar dan Nur Nadirah Mat Yunus, masing-masing berusia 23 tahun, kini mengimpikan untuk membawa jenama SNA Coffee sebaris dengan jenama-jenama kopi terkenal di pasaran. Pengusaha, Rabiatull Adawiyyah, berkata gerai mereka mula beroperasi tiga bulan lalu dengan menawarkan pelbagai pilihan minuman berasaskan kopi dan pencuci mulut. "Kami memulakan gerai jualan kopi sebelah petang dengan pelbagai jenis kopi berperisa antaranya americano, latte, caramel macchiato, chocolate dan minuman berasaskan soda dan yogurt. "Selain minuman berasaskan kopi, kita juga ada makanan lain seperti kek batik, kek coklat, chicken tender, kerabu maggi dan vietnam rolls," katanya. Menurut beliau, harga ditawarkan antara RM7 hingga RM11 mengikut jenis minuman, dan sambutan pelanggan semakin menggalakkan. "Harga bagi setiap cawan kopi bermula RM7.00 hingga RM11.00. "Purata jualan pada hari biasa sekitar 30 hingga 50 cawan dan meningkat sehingga 80 cawan pada hari minggu," jelasnya. Rabiatull berkata mereka bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai tetap yang lebih selesa dan strategik. "Insya-Allah suatu hari nanti jika diizinkan, kami bercadang untuk membuka kedai yang lebih selesa. "Orang ramai boleh menikmati kopi dengan suasana angin pantai," ujarnya.  
02 Oct 25
186
Presiden PAS Kecam Sokongan AS kepada Israel
Presiden PAS Kecam Sokongan AS kepada Israel
MARANG, 2 Oktober — Kira-kira 2,000 rakyat Terengganu berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Rusila petang ini sempena Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla bagi menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam kezaliman rejim zionis Israel. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menegaskan bahawa penindasan terhadap rakyat Palestin berlaku dengan sokongan terang-terangan kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat. “Mereka menipu untuk melindungi Israel. Mereka ini syaitan besar, termasuklah Donald Trump — itu syaitan besar,” tegas beliau di hadapan ribuan hadirin yang menyambut ucapan itu dengan takbir. Beliau turut mengecam tindakan menggoda rakyat Palestin dengan habuan kewangan yang besar, hanya untuk menggadaikan tanah air mereka.   “Mereka menggoda rakyat Palestin dengan duit. Sanggup beri berapa triliun kepada orang Palestin, masyarakat orang Palestin,” ujarnya. Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini. Himpunan ini mencerminkan kebersamaan rakyat Malaysia, khususnya di Terengganu, dalam solidariti kemanusiaan sejagat terhadap perjuangan membebaskan Palestin.
02 Oct 25
91