KUALA NERUS, 3 Oktober - Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 4-1 dalam saingan Liga Super, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas liga.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila jaringan pembukaan hadir menerusi Diego Landis yang tenang menyudahkan peluang di depan gawang lawan.
Gol tersebut menjadi penyuntik semangat buat pasukan tuan rumah yang terus menggandakan asakan.
Hasilnya, Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua sebelum Yann Mabella melengkapkan babak pertama dengan jaringan ketiga buat TFC.
Namun, kemaraan tiga mata tuan rumah tidak mematahkan semangat Kelantan TRW, apabila mereka bangkit sebaik sahaja babak kedua bermula.
Usaha mereka berhasil apabila Saravanan Thirumurugan merapatkan kedudukan. Walau bagaimanapun, segala usaha untuk menambah jaringan termasuk dua sepakan penalti gagal membuahkan hasil.
TFC kemudian kembali menambah derita pelawat apabila Mabella sekali lagi meledak, kali ini untuk gol keempat tuan rumah, memastikan kemenangan bergaya 4-1 berpihak kepada skuad Penyu.
Jurulatih TFC, Badrul Afzan nyata berpuas hati dengan semangat juang dan prestasi anak buahnya pada malam ini.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata berharga di tempat kita. Pemain-pemain melaksanakan apa yang dirancang, khususnya pada babak pertama. Kredit kepada mereka semua," katanya.
"Pertama sekali syukur alhamdulillah, tiga mata pertama yang berharga di tempat kita. Jadi, semangat juang pemain-pemain malam ni kalau kita tengok pada babak pertama dan babak kedua dari bermula wisel, kita mengasak apa yang kita rancang.
"Kita dapat 3-0 di babak pertama, jadi alhamdulillah, kredit kepada pemain-pemain," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beliau turut menegaskan fokus pasukan adalah memastikan momentum kemenangan dikekalkan menjelang aksi Piala FA menentang Kuching City minggu depan.
Dengan kemenangan ini, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan kutipan 13 mata, sementara Kelantan TRW kekal di pertengahan carta dengan lapan mata.