lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Buluh Berpotensi Jadi Pemangkin Industri Baharu Negara
Buluh Berpotensi Jadi Pemangkin Industri Baharu Negara
HULU TERENGGANU, 2 Oktober– Kerajaan melihat perladangan buluh sebagai satu sektor baharu yang berpotensi tinggi untuk menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, pasaran eksport buluh global terus berkembang apabila nilainya dijangka meningkat daripada AS$70.78 bilion (RM299.43 bilion) pada 2024 kepada AS$74.26 bilion (RM314.16 bilion) pada tahun ini. Menurut beliau, kelebihan Malaysia yang mempunyai lebih 70 spesies buluh termasuk 45 spesies tempatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. “Buluh Malaysia unik kerana kadar tumbesarannya cepat, mempunyai kekuatan mekanikal serta tahan lama. Potensi ini boleh dikembangkan dalam pelbagai sektor seperti perabot, papan, pembinaan, makanan, tekstil, arang dan kraftangan selain menyokong industri perkayuan sedia ada,” katanya. Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan World Bamboo Day (WBD) Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di sini, hari ini. Chan Foong Hin menjelaskan, pada tahun lalu industri perkayuan negara menyumbang RM22.92 bilion kepada sektor agrikomoditi, dengan produk berasaskan buluh mencatatkan nilai eksport sebanyak RM18.91 juta. "Walaupun angka tersebut sedikit menurun berbanding 2023, prospek permintaan global terhadap buluh kekal positif," ujarnya lagi. Sehubungan itu, katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus memperkukuh pembangunan industri buluh dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi teknologi, latihan, penghasilan produk bernilai tambah serta penglibatan masyarakat luar bandar. “Kerajaan juga melaksanakan Projek Pembangunan Community Farming Buluh (PPCFB) yang merangkumi kawasan seluas 135.4 hektar dengan sokongan berupa anak pokok, baja serta latihan kepada peserta. Inisiatif ini penting agar manfaat industri buluh dapat dirasai hingga ke peringkat komuniti akar umbi,” katanya. Dalam pada itu, MTIB bersama TTITC turut membangunkan Model Ladang Buluh seluas 15 hektar di Hulu Terengganu sebagai pusat kajian, latihan, penyelidikan dan eko-pelancongan. Antara spesies komersial utama yang ditanam ialah Betung, Madu dan Semantan. Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang Sambutan WBD Malaysia 2025 bermula 30 September hingga 2 Oktober termasuk kursus asas tanaman buluh secara ladang, pameran, pertukaran MoU serta jualan produk berasaskan buluh.
02 Oct 25
140
Tarif Air : Kerajaan Terengganu Beri Subsidi Sehingga 30 Peratus
Tarif Air : Kerajaan Terengganu Beri Subsidi Sehingga 30 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Kerajaan Negeri mengumumkan akan menanggung subsidi bil air dengan nilai RM24 juta setahun bagi meringankan beban rakyat susulan pelarasan kadar tarif baharu oleh Syarikat Air Terengganu (SATU). Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 Oktober lalu selepas mengambil kira peruntukan Seksyen 84(2)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] serta meneliti kesan langsung terhadap rakyat, khususnya pengguna domestik. Menurutnya, subsidi itu melibatkan pengguna domestik Band 2 dan Band 3, dengan pelaksanaan bermula bagi bil air bulan November 2025. “Kerajaan Negeri bersetuju menanggung subsidi bil air sebanyak 30 peratus bagi pengguna domestik Band 2 yang menggunakan antara 21 hingga 35 meter padu sebulan, manakala subsidi sebanyak 15 peratus diberikan kepada pengguna domestik Band 3 dengan penggunaan melebihi 35 meter padu. “Pengguna domestik bagi kategori Band 2 berjumlah sebanyak 78,807 akaun hanya perlu membayar 70 peratus daripada jumlah bil penggunaan Band 2, manakala pengguna domestik kategori Band 3 berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85 peratus daripada jumlah bil penggunaan Band 3 mereka.” katanya dalam satu kenyataan. Dato’ Nara Setia menegaskan, keputusan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk terus membela rakyat dalam mendepani kos sara hidup, tanpa menjejaskan kelangsungan SATU dalam membekalkan air bersih dan berkualiti. “Subsidi ini mewujudkan situasi menang-menang, rakyat menikmati bil air lebih rendah, sementara SATU mampu terus beroperasi secara mampan,” katanya. Dengan pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan negeri yakin rakyat Terengganu akan terus dapat menikmati bekalan air yang mampu milik, stabil dan berkualiti, seiring dengan hasrat menjadikan negeri ini lebih Maju, Berkat dan Sejahtera.
02 Oct 25
546
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sambutan 100 Tahun SMK Sultan Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Sejarah penuh makna terpahat di bumi Darul Iman apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dataran Perdana sekolah berkenaan, hari ini. Keberangkatan baginda disambut dengan penuh penghormatan, diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan kehadiran Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Nawawi Ismail. Acara dimulakan dengan persembahan pancaragam SMKSS, diikuti tarian selamat datang oleh penari Sutra Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, dan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Sejurus selepas itu, Tengku Seri Bijaya Raja mempersembahkan ucapan aluan, sebelum majlis diserikan dengan titah ucapan perasmian oleh Sultan Mizan. Usai bertitah, baginda berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan paluan gong, diiringi Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, sebagai simbolik bermulanya lembaran baharu perjalanan kecemerlangan SMKSS dalam abad kedua penubuhannya. Majlis diteruskan dengan keberangkatan baginda menanam sepohon pokok Majesty Palm, tanda kelangsungan warisan pendidikan yang subur sepanjang zaman. Baginda kemudian berkenan melawat Galeri Junjungan Setangi yang memaparkan perjalanan sejarah 100 tahun SMKSS, sebelum berangkat ke majlis santapan diraja.  
02 Oct 25
1391
Ahli Parlimen Dungun Desak Tindakan Diplomatik Tegas Bebas Aktivis Malaysia Ditahan Israel
Ahli Parlimen Dungun Desak Tindakan Diplomatik Tegas Bebas Aktivis Malaysia Ditahan Israel
KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2025 – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas dan berani susulan penahanan sekumpulan aktivis kemanusiaan Malaysia oleh tentera rejim Israel (IDF) dalam insiden melibatkan misi Global Sumud Flotilla. Misi maritim kemanusiaan terbesar abad ini yang disertai lebih 50 kapal dan kira-kira 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, dilaporkan telah disekat dan diserang walaupun dijalankan secara aman dan tanpa senjata. Menurut laporan terkini, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel. Antara yang terlibat termasuk aktivis dan pempengaruh tanah air seperti Farah Lee (Nurfarahin Romli), Danish Nazram, Zizi Kirana, Musa Nuwayri, dan beberapa lagi yang menyertai flotilla demi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menuntut pembukaan laluan ke Gaza. Walau bagaimanapun, status beberapa peserta Malaysia masih belum dapat dipastikan selepas komunikasi dengan pihak misi flotilla terputus, menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan mereka. “Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel. Mereka perlu membebaskan segera semua aktivis Malaysia dan antarabangsa yang ditahan tanpa syarat serta menjamin keselamatan sepanjang proses pembebasan,” tegas Wan Hassan dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau turut mendesak agar kerajaan Malaysia tidak menjalin sebarang bentuk hubungan atau kerjasama dengan mana-mana pihak yang menjadi sekutu rapat Israel. Katanya, sebarang tindakan sedemikian hanya akan dilihat sebagai sokongan tidak langsung terhadap kekejaman yang berlaku di Palestin. “Malaysia mesti berdiri teguh bukan sahaja bersama rakyat Gaza yang terus menderita, tetapi juga bersama seluruh aktivis kemanusiaan antarabangsa yang memperjuangkan hak, maruah dan keadilan demi keamanan sejagat,” katanya lagi. Insiden terbaharu ini dijangka meningkatkan lagi tekanan antarabangsa terhadap Israel, yang berdepan kecaman global berhubung sekatan berterusan terhadap Gaza dan tindakan keras terhadap misi kemanusiaan.
02 Oct 25
44
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) meraih emas di pertandingan World Sustainable Development Goal Challenge 2025 (WSDG 2025) bukan sekadar pencapaian antarabangsa, malah membuka peluang untuk projek berimpak sosial itu dikembangkan lebih jauh. Rekaan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS) yang telah dibawa ke WSDG 2025 oleh tiga pelajar tingkatan dua – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, Nur Aeisya Khadija Mohd Yazid dan Ummu Sofiyyah Abdul Mubin, merupakan cetusan idea guru IKT bidang TVET, Suryana Mat Husin. Dari kiri: Aira, Aeisya dan Ummu Pengetua IKT, Md Imran Md Nor, berkata pihaknya berhasrat untuk terus menaik taraf teknologi tersebut agar lebih praktikal dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umum. "Ya, kami berfikir untuk menaik taraf unit penapisan yang sebelum ini menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti sabut kelapa, pasir halus dan arang buluh yang telah diklarifikasi oleh Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UNISZA.  "Kami bercadang untuk menambah baik unit penapisan sehingga air yang ditapis dapat diminum oleh manusia. Kami juga berfikir untuk menaik taraf sistem penjanaan elektrik.  "Selain itu, kami juga akan cuba menurunkan kos pembuatan supaya I-DEWS dapat dimiliki semua," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dihubungi, baru-baru ini. Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) akan membantu menjadikan sistem lebih efisien dan bersifat automasi. "Dengan penambahbaikan AI dalam produk kami, AI dapat mengawasi sistem I-DEWS tanpa memerlukan pengawasan seseorang. Dengan ini, pengguna tidak perlu untuk mengendali secara manual kerana sifat 'autonomous' yang AI dapat berikan. "AI juga boleh memberi ramalan untuk sistem I-DEWS sekiranya terdapat perubahan dalam sistem ini secara keseluruhannya. Kesannya, pengguna mengetahui apa yang patut ditambah baik dan diubah," jelasnya. I-DEWS pada peringkat awalnya hanyalah sistem penapisan air, namun melalui penambahbaikan bersama pelajar IKT ia diinovasikan menjadi sistem penapisan air dan penjanaan tenaga yang menggunakan graviti serta turbin air dalaman. Pembentangan secara maya oleh pelajar IKT mengenai I-DEWS; bertajuk 'WSDG 2025 I-DEWA SM IMTIAZ YT KUALA TERENGGANU' di  laman sesawang Youtube "I-DEWS merupakan satu sistem air yang boleh mengitar semula air gunaan selain dari air kumbahan untuk kegunaan luaran seperti menyiram pokok, membasuh pinggan dan membasuh kereta. Air yang dikitar semula tidak boleh diminum terus setelah ditapis.  "I-DEWS juga menggunakan sistem hydroelectric untuk menjana tenaga hanya dengan menggunakan graviti. Air digerakkan secara automatik oleh graviti dan dapat bergerak tanpa henti. Teknik ini dinamakan teknik siphon," ulas Md Imran. Tambahnya, IKT turut merangkul satu lagi penghargaan emas dan satu penghargaan istimewa dalam penyertaan mereka WSDG 2025 yang telah berlangsung pada bulan lepas. Rekaan tersebut sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025, namun penambahbaikan berterusan menjadikan rekaan itu kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Katanya lagi, usaha tersebut membuktikan kreativiti dan inovasi pelajar IKT bukan sahaja mampu mengharumkan nama sekolah, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan masyarakat dalam kehidupan harian.
02 Oct 25
12
Suri Rumah Bukan Penjaga Rumah Semata-mata
Suri Rumah Bukan Penjaga Rumah Semata-mata
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Suri rumah bukan lagi dilihat sekadar penjaga rumah tangga, sebaliknya merupakan tulang belakang keluarga dan pemacu pembangunan masyarakat. Justeru itu, Simposium Suri Sejahtera 2025 yang bakal berlangsung pada 11 Oktober ini di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Watiqhu Billah, Kuala Nerus menjadi platform penting untuk memperkasakan golongan suri melalui perkongsian ilmu, motivasi dan peluang ekonomi. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,Pembagunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Negeri, Zuraida Mohd Noor, berkata simposium julung kali itu memberi ruang kepada suri rumah Terengganu meluahkan pandangan dan mengemukakan harapan agar kerajaan negeri menyediakan sokongan lebih menyeluruh terhadap mereka. “Berdasarkan kajian, 57 peratus wanita Terengganu adalah suri rumah. Mereka istimewa, bukan suri biasa-biasa.  “Simposium ini akan mendedahkan mereka kepada pengurusan diri, kesihatan mental, kewangan keluarga dan peluang jana pendapatan seperti perniagaan atas talian serta kerja sambilan,” jelasnya. Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika bual bicara bersama Manis FM, pada semalam. Menurut beliau, stigma bahawa suri rumah tidak menyumbang kepada masyarakat perlu dihapuskan, sebaliknya mereka wajar diberi pengiktirafan sebagai pendidik utama dalam keluarga serta penyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Bertemakan 'Suri Hebat, Suri Mandiri', program itu menghimpunkan barisan pakar dan profesional untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan kebajikan suri rumah, termasuk tekanan ekonomi, keseimbangan peranan dan peluang bantuan kerajaan serta NGO. Selain itu, satu resolusi bersama akan diangkat sebagai suara suri Terengganu demi memastikan mereka terus mendapat sokongan dalam pendidikan, kemahiran dan peluang ekonomi.
02 Oct 25
63
26 Pensyarah UMT Disenarai Saintis Terbaik Dunia
26 Pensyarah UMT Disenarai Saintis Terbaik Dunia
KUALA NERUS, 2 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengharumkan nama negara apabila seramai 26 pensyarahnya tersenarai dalam dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025 hasil penilaian Universiti Stanford bersama penerbit akademik terkemuka Elsevier dari Amerika Syarikat. Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pengiktirafan itu diumumkan melalui laporan Updated Science-Wide Author Databases of Standardized Citation Indicators versi kelapan yang menilai impak penyelidik berdasarkan petunjuk standard pemilihan. Menurutnya, tujuh pensyarah UMT diiktiraf dalam Kategori Sepanjang Kerjaya, manakala 19 lagi dalam Kategori Setahun 2024. “Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidik UMT bersaing di peringkat global, selain satu penghormatan besar kepada universiti. “Ia juga menjadi bukti sumbangan signifikan tenaga pakar UMT dalam penghasilan ilmu baharu, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau menegaskan kejayaan tersebut selaras dengan usaha UMT memperkukuh kedudukannya sebagai universiti berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik yang berdaya saing di persada dunia. “UMT amat berbangga kerana saintis kami mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia,” jelasnya.
02 Oct 25
115
12 Sukarelawan Malaysia Ditahan, 5 Lagi Hilang Kontak
12 Sukarelawan Malaysia Ditahan, 5 Lagi Hilang Kontak
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Detik cemas! Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza, pagi tadi. Setakat jam 10 pagi, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan identiti mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta selebriti Zizi Kirana di kapal Huga. Turut sama ditahan, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi di kapal Sirius manakala Danish dan personaliti media sosial, Farah Lee di kapal Grande Blu. Penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah pula menaiki kapal Hio. Namun, lima lagi sukarelawan tempatan kini hilang kontak selepas berada di atas kapal Estrella iaitu pendakwah bebas PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman, selain pelakon Ardell yang menaiki kapal Mikeno. Difahamkan, 12 sukarelawan yang ditahan sempat menghantar mesej SOS kecemasan melalui media sosial Sumud Nusantara sebelum komunikasi mereka terputus. Secara keseluruhan, 23 rakyat Malaysia terbabit dalam misi flotilla itu yang berlayar menuju Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan. Dalam perkembangan awal pagi tadi, SNCC mengesahkan kapal GSF dipintas di perairan antarabangsa sekitar jam 2.03 pagi waktu Malaysia. Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Israel dalam kenyataannya menuduh konvoi berkenaan sebagai provokasi dan mengarahkan ia mengubah haluan. Tentera Laut Israel turut memberi amaran konvoi itu memasuki zon pertempuran aktif selain mendakwa sekatan laut yang dikenakan adalah sah. Israel turut menegaskan hanya mereka dibenarkan menghantar bantuan terus ke Gaza tanpa melibatkan mana-mana konvoi antarabangsa.  
02 Oct 25
79
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan. Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan itu sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia. "Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mendoakan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sedang menderita. "Solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak akan pernah goyah. Doa, sokongan dan tekanan masyarakat dunia adalah kunci untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Terdahulu, sekitar jam 8 pagi waktu Malaysia, seramai 12 orang rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa lain telah disekat dan ditahan oleh rejim Israel sejak 2 pagi tadi waktu Malaysia ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. "Antara aktivis Malaysia yang ditahan, termasuklah dua anak jati Terengganu iaitu Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Ruysdi Ramli, yang telah bersama-sama menyertai misi bersejarah ini demi membela nasib rakyat Palestin," ujarnya. Untuk perkembangan terkini berhubung misi ini, orang ramai boleh merujuk laman rasmi Global Sumud Flotilla melalui media sosial mereka.    
02 Oct 25
190
Masjid Dibaiki Pulih, Solat Jumaat Di Surau – MAIDAM
Masjid Dibaiki Pulih, Solat Jumaat Di Surau – MAIDAM
SETIU, 2 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membenarkan Surau Kampung Baru Penarik mendirikan solat Jumaat bermula 3 Oktober ini, sebagai langkah sementara berikutan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik yang sedang dijalankan. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jemaah setempat. "Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan adalah bersifat sementara sahaja sehingga kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik siap dilaksanakan sepenuhnya. "Kebenaran menggunakan bangunan surau berkenaan bagi solat fardhu dan Jumaat mulai Asar 26 September 2025," katanya dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa penggunaan surau ini bukan satu penggantian kekal, tetapi penyelesaian segera yang diperlukan demi kemaslahatan umat Islam di kawasan tersebut. "Kita melihat keperluan mendesak bagi menyediakan ruang ibadah yang selamat. "Penggunaan surau ini adalah langkah sementara dan telah dipersetujui selepas penilaian menyeluruh dilakukan," jelasnya. Pengerusi Masjid Kampung Penarik, Azri Yusof, menyambut baik keputusan MAIDAM dan memaklumkan keadaan bumbung masjid yang rosak kini tidak lagi selamat untuk digunakan. "Saya menyambut baik usaha semua pihak bagi kerja-kerja baik pulih memandangkan struktur bangunan masjid di bahagian bumbung tidak selamat digunakan. "Orang ramai dan masyarakat boleh bersama mengimarahkan Surau Kampung Baru Penarik yang berjarak 600 meter dari Masjid Kampung Penarik," kata beliau. Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menghidupkan surau tersebut sebagai pusat ibadah utama sepanjang tempoh pembaikan. "Kita galakkan semua jemaah hadir ke surau dan meneruskan amalan seperti biasa. "Walaupun lokasi berubah buat sementara waktu, semangat kekitaan perlu terus diperkukuh," ujarnya Jelas Azri, hebahan rasmi telah dilakukan bagi memastikan seluruh komuniti mendapat makluman tepat dan tidak berlaku kekeliruan. "Perisytiharan dan pemakluman juga telah dibuat pada solat Jumaat baru-baru ini oleh Pegawai Agama Daerah mengenai kebenaran berkenaan. "Makluman telah disampaikan secara langsung kepada jemaah bagi mengelakkan sebarang salah faham," jelasnya. Sementara itu, rata-rata jemaah menyambut baik penyelesaian ini dan berharap agar kerja pembaikan masjid berjalan lancar serta selesai mengikut jadual. Mereka menzahirkan sokongan terhadap usaha MAIDAM dan kepimpinan tempatan yang proaktif dalam memastikan ibadah Jumaat tidak terhenti walau diuji dengan kesulitan.
02 Oct 25
51