Artikel "Komuniti" Terkini
Kembara Semarak Merdeka Warnai DUN Bukit Besi
DUNGUN, 16 Ogos – Program Kembara Semarak Merdeka mewarnai Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dengan penyerahan simbolik Jalur Gemilang ke seluruh 23 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut, pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan, program berkenaan diadakan bagi menggalakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di setiap kampung.
“Kita mahu setiap kampung di DUN Bukit Besi dihiasi Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada tanah air. JPKK berperanan penting dalam menceriakan suasana dan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di peringkat komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran.
Program yang berlangsung penuh semangat itu turut disertai oleh seluruh staf Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS) DUN Bukit Besi.
Konvoi kembara berarak ke setiap kampung untuk menyerahkan bendera sambil menyeru penduduk setempat bersama-sama menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan tahun ini.
Kembara ini dijangka mampu memperkukuh semangat perpaduan dan menyuburkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
14 Aug 25
89
Siap Dinaik Taraf, Masalah Banjir Jalan Raya Berakhir
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Penduduk di Kampung Bukit Putera hingga Jelapang, Bukit Layat kini boleh menarik nafas lega apabila projek menaik taraf aras jalan yang sering dinaiki air ketika musim hujan telah siap sepenuhnya.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek itu merupakan salah satu usaha berterusan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang telah sekian lama membelenggu penduduk setempat.
"Laluan tersebut sebelum ini kerap terputus setiap kali musim tengkujuh, sekali gus menjejaskan aktiviti harian penduduk, termasuk urusan ke sekolah, tempat kerja dan mendapatkan rawatan di hospital," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, pada semalam.
Menurutnya, masalah tersebut telah lama dibangkitkan sejak awal perkhidmatan menjadi Ahli Parlimen, sebelum akhirnya berjaya direalisasikan demi kesejahteraan penduduk setempat.
“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian, malah memberi jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa projek penaiktarafan jalan lain akan dilaksanakan dalam masa terdekat, termasuk Jalan Lubuk Panjang ke Gong Terap, Jalan Pelong, Mak Bakas dan Jalan Hulu Seladang ke Bandar Permaisuri yang dijangka ditender tidak lama lagi.
Dengan siapnya projek ini, ia diharap dapat meningkatkan kelancaran perhubungan di kawasan Setiu dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
13 Aug 25
261
Ambil Rasuah Kerana Rasa Tidak Cukup
MARANG, 13 Ogos — Solat sunat dhuha dapat memupuk sifat qanaah atau rasa cukup dalam diri sekali gus menghindarkan seseorang daripada amalan rasuah, kata Pegawai Penyelidik Portfolio Terengganu Strategic & Integrity Studies (TSIS), Marwan Shukrimun.
Beliau berkata, waktu pelaksanaan solat sunat dhuha yang berada di antara selesai solat subuh hingga sebelum masuk waktu zohor adalah peringatan kepada umat Islam agar tidak melupakan Allah SWT ketika sibuk mencari rezeki.
“Rezeki banyak mencurah-curah, tetapi bila diperiksa banyak pula kecemasan seperti kereta rosak atau anak sakit. Jadi duit tidak pernah cukup,” katanya ketika menyampaikan kuliah dalam program Medan Ilmu di Pengkalan Berangan, di sini.
Menurutnya, ada individu yang memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM20,000 sebulan tetapi tetap terjebak dengan rasuah kerana tiada rasa qanaah dan keberkatan dalam pendapatan.
“Kalau diberi satu lembah emas, manusia akan minta satu lembah emas lagi, dan tidak akan rasa cukup selagi tanah belum masuk ke dalam mulutnya,” katanya memetik sebuah hadis.
Program tersebut dihadiri puluhan penduduk setempat yang mengikuti pengisian agama berkaitan akhlak dan integriti dalam kehidupan.
13 Aug 25
53
Program Hulu Besut Bersih Dilancar Serentak
Hulu Besut, 12 Ogos – Majlis Pelancaran Program Hulu Besut Bersih telah berlangsung dengan jayanya dan dilancarkan serentak di 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan seluruh DUN Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, majlis ini bukan sekadar himpunan biasa, tetapi menjadi titik tolak kepada satu gerakan yang membawa harapan baharu untuk Hulu Besut.
"Program ini adalah permulaan, dan ia tidak akan terhenti di sini. Selepas ini, akan diadakan pelbagai aktiviti susulan seperti gotong-royong kampung, kempen kesedaran, pertandingan keceriaan, dan lain-lain usaha bagi menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup masyarakat Hulu Besut," katanya.
Tambah beliau, program ini tidak seharusnya menjadi kempen bermusim yang dilupakan selepas sebulan, sebaliknya perlu dijadikan cara hidup sepanjang masa.
"Apabila kita bercakap tentang kebersihan, jangan sempitkan pemahaman hanya kepada 'bebas sampah'. Kebersihan yang dimaksudkan adalah menyeluruh merangkumi kebersihan fizikal, rohani, jiwa, tutur kata, pemikiran, dan hati. Jika semua aspek ini kita pelihara, Hulu Besut bukan sahaja bersih di mata manusia, malah mulia di sisi Allah SWT," ujarnya.
Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah di Dataran Kampung Keruak, pada kemarin.
Husaimi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Besut sebagai rakan utama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut dalam menjayakan program ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan, NGO, sukarelawan, dan seluruh JPKK DUN Hulu Besut yang telah memberi komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.
12 Aug 25
105
Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak - Ibu Tunggal Akhirnya Miliki Tanah
MARANG, 10 Ogos – Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran.
Hazlina Jusoh, 48, yang membesarkan empat anak sendirian, berkata pemberian tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) oleh kerajaan negeri itu umpama hadiah paling berharga dalam hidupnya selepas sekian lama hanya mampu menyewa rumah.
“Syukur Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dengan tanah ini, saya akhirnya dapat memulakan pembinaan rumah sendiri,” katanya sebak.
Majlis penyerahan dokumen RTB tersebut melibatkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.
Bagi Mohd Aizulhairi Yahaya, 38, yang bekerja sebagai pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, pemberian tanah itu umpama membuka pintu rezeki baru.
“Sejak memohon lima tahun lalu, saya sentiasa berdoa.
“Dengan harga tanah yang tinggi sekarang, agak mustahil untuk saya beli sendiri. Alhamdulillah, kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, tetapi menunaikan janji itu. Terima kasih juga kepada Pejabat Daerah Marang dan pihak JPKK yang banyak membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Nurul Ashikin Ariffin pula mengakui kehidupannya bersama suami yang bekerja biasa-biasa sahaja tidak pernah mudah.
Katanya, bekerja sebagai tukang jahit, dia memahami betapa sukar untuk memiliki tanah sendiri.
“Pemberian ini sangat-sangat bermakna. Ia hadiah terbesar buat keluarga kami. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.
Penyampaian dokumen RTB ini sekali lagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak ketinggalan memiliki tanah dan kediaman sendiri demi masa depan yang lebih terjamin.
10 Aug 25
2622
Tradisi Tarik Pukat Raih Sambutan Luar Biasa
DUNGUN, 11 Ogos - Lebih 200 penduduk membanjiri Pantai Sura Tengah menyertai aktiviti menarik pukat dan menghidupkan semula tradisi lama nelayan yang kian jarang kelihatan di pesisir pantai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, yang turut serta menarik pukat bersama penduduk berkata, acara berkenaan bukan sekadar mencari hasil laut tetapi juga mengeratkan hubungan antara generasi.
“DUN Sura ini mempunyai jajaran pantai yang sangat luas, rugi jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sumber ekonomi, pusat rekreasi dan tapak aktiviti komuniti yang mampu mengeratkan hubungan penduduk setempat.
"Acara seperti ini wajar diteruskan kerana memberi peluang anak muda mengenali laut sebagai sumber rezeki yang bernilai, bukan sekadar pemandangan indah.
“Kalau kita kembangkan acara ini, ia bukan sekadar memelihara tradisi nelayan, tetapi juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang unik di Dungun. Pelancong bukan hanya datang tengok pantai, tapi boleh rasa sendiri pengalaman hidup nelayan,” katanya ketika ditemui selepas program itu, baru-baru ini.
Aktiviti tersebut, yang menjadi acara utama program YB Cakna Komuniti Sejahtera itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan turut menarik perhatian pengunjung luar yang teruja merasai sendiri pengalaman menarik pukat secara beramai-ramai, sekali gus menghidupkan kembali suasana tradisi yang semakin jarang kelihatan di pesisir pantai.
10 Aug 25
27
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
MARANG, 10 Ogos – Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agihan itu meliputi 425 surat hak milik dan 93 notis Borang 5A.
“Alhamdulillah, sejak 2018 kerajaan negeri telah meluluskan 3,784 lot tapak rumah dan pertanian di Marang, dan khusus di DUN Rhu Rendang sahaja 1,830 lot tanah telah berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis agihan dokumen Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.
Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang mengucapkan tahniah kepada semua penerima, sambil mendoakan tanah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan keluarga dan generasi akan datang.
10 Aug 25
154
Kembar Tiga Curi Perhatian, Ambil Kursus Sama
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 9 Ogos - Tiga beradik kembar seiras mencuri perhatian sempena hari pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) baru-baru ini apabila sepakat mendaftar program Diploma Kejuruteraan Elektrik.
Fakhrul Amri, Fakhrul Adli dan Fakhrul Asri, 19, dari Puchong , Selangor menjadikan kedua ibu bapa mereka yang merupakan jurutera sebagai inspirasi untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.
“Kami kagum dengan semangat ibu bapa sejak kecil, jadi kami pilih bidang ini untuk ikut jejak mereka,” kata Fakhrul Adli.
Mereka sebelum ini pernah tular pada 2023 ketika mendaftar di Kolej Komuniti Kuala Langat bagi Sijil Teknologi Maklumat dan kini mereka melangkah ke peringkat diploma bersama-sama.
Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata, kisah mereka membuktikan laluan TVET memberi peluang berkembang mengikut minat dan keperluan industri.
Seramai 120 pelajar baharu mendaftar bagi ambilan kedua Sesi 1:2025/2026. Bersama 659 pelajar ambilan pertama, jumlah keseluruhan pelajar baharu PSMZA kini mencecah 779 orang.
09 Aug 25
132
Empat Peserta ‘King Of Subuh Warrior’ Bawa Pulang Basikal
KEMAMAN, 9 Ogos – Empat peserta Program ‘King Of Subuh Warrior’ mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya hadir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut tanpa gagal, sekali gus membawa pulang hadiah basikal sebagai penghargaan.
Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata empat peserta tersebut ialah Isma Fakhrusy Syakirin Ismail, Isma Farish Syazreen Ismail, Muhammad Adam Yusuf Ishak dan Muhammad Umar Uwais Ishak.
“Cabaran Solat Subuh berjemaah 40 hari ini bukan sekadar membiasakan bangun awal, tetapi juga membentuk kekuatan rohani, disiplin diri dan hubungan erat dengan masjid.
“Selain empat peserta yang berjaya menamatkan cabaran penuh, kita juga meraikan pencapaian lain seperti 34 hari, 25 hari, 14 hari, 13 hari dan 10 hari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ bertempat di Masjid Batu 9 semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Batu 9, Ustaz Abdul Halim Bahari, serta barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) Batu 9.
Sementara itu, Ishak Ibrahim, 47, bapa kepada dua peserta cilik, Adam Yusuf (12) dan Umar Uwais (11) berkongsi pengorbanan keluarga demi memastikan anak-anaknya menamatkan cabaran tersebut.
“Alhamdulillah, anak-anak saya mudah bangun Subuh. Pernah satu hari saya kerja syif malam dari jam 7 malam hingga 7 pagi. Mereka risau kerana biasanya ke masjid bersama saya menaiki motosikal bertiga.
“Namun, mereka tetap bertekad hadir dan meminta ibu mereka menghantar ke masjid supaya cabaran 40 hari tidak terhenti.
“Sepanjang program ini, kami banyak membatalkan aktiviti lain demi memastikan cabaran ini berjaya. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
09 Aug 25
940
Tarif Air Terengganu Masih Terendah Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Tarif air baharu di Terengganu kekal antara tiga negeri di Malaysia sebagaimana yang digazetkan pada Julai 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut ketika mengadakan pertemuan.
"Saya sempat mendapatkan penjernihan tentang isu tarif air SATU yang berlegar dalam media sosial, beliau memaklumkan memang tarif air disemak setiap tiga tahun dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Terengganu (SPAN) untuk semua negeri.
"Ternyata tarif air SATU, Terengganu yang baru adalah dalam kelompok tiga yang paling rendah sebagaimana yang saya lampirkan pada carta (dalam gambar)," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu juga masih kekal dengan dasar memberikan subsidi air percuma untuk rakyat dalam kategori B40 selain untuk institusi seperti masjid.
"Saya (juga) mengingatkan beliau dengan tarif yang baru, rakyat mengharapkan SATU meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Alhamdulillah banyak masalah bekalan telah diselesaikan tapi masih banyak penambahbaikan perlu kepada ikhtiar gigih semua yang terlibat,"ujarnya.
07 Aug 25
462