SETIU, 19 Ogos – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain sekali lagi mengambil langkah proaktif dengan membuka Kaunter Aduan Rakyat di Kampung Alor Damat, Batu Rakit, petang tadi.
Inisiatif ini menjadi pendekatan berkesan untuk mendengar suara rakyat serta memahami masalah sebenar yang dihadapi komuniti. Program ini bukan sekadar ruang untuk menyampaikan aduan, malah turut berperanan sebagai platform penyelesaian masalah di peringkat akar umbi.
Antara isu yang dibangkitkan penduduk adalah berkaitan infrastruktur dan tanah. Semua maklum balas dikumpul untuk disalurkan terus kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.
Menurut beliau, program seperti ini diadakan sebulan sekali dan pernah dikenali dengan nama 'Santuni Rakyat, Semarakkan Khidmat' yang berskala lebih besar.
"Ia bukan sahaja menyediakan kaunter aduan rakyat, bahkan menawarkan khidmat tambahan seperti saringan kesihatan percuma. Selain sesi aduan, program kali ini turut disertakan dengan pengagihan bantuan sosial," katanya.
Dalam pada itu, Shaharizukirnain turut mengagihkan barangan dapur kepada golongan asnaf terpilih dari Kampung Alor Damat, Taman Perumahan Wakaf Tengah, dan Kampung Balai Maras.
Langkah ini membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab sosial Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu terhadap mereka yang memerlukan.