lightning-solid
Berita :
ADUN Bukit Besi Sumbang Perangkap Kera Gergasi
ADUN Bukit Besi Sumbang Perangkap Kera Gergasi
Muhammad Amiruddin Zamri
16 Aug 25
66

DUNGUN, 17 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyumbangkan empat buah perangkap kera bagi menangani masalah gangguan haiwan perosak di kawasan itu.

Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Perhilitan Daerah Dungun setelah menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai kerosakan tanaman, harta benda serta ancaman keselamatan terutama terhadap kanak-kanak kecil.

Menurut Ghazali, perangkap tersebut dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak Perhilitan, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaannya.

“Alhamdulillah, dengan kelulusan Jabatan Perhilitan, sebanyak empat buah perangkap telah berjaya disiapkan. Perangkap ini akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering berlaku gangguan kera dan beruk,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama erat dengan pihak JPKK amat penting kerana mereka merupakan mata dan telinga penduduk kampung yang sentiasa melaporkan sebarang masalah melibatkan haiwan liar.

“Sebelum ini, telah pun direkodkan insiden serangan haiwan berkenaan, justeru langkah ini diambil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Usaha ini sekali gus diharap dapat mengurangkan kerosakan tanaman dan memastikan keselamatan penduduk kampung terjamin.
 


Tag :

Artikel Berkaitan