BESUT, 20 Ogos – Hulu Besut bakal menerima projek perumahan baharu menerusi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang dirancang khusus bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan, turun padang meninjau kawasan tersebut dalam satu lawatan kerja bersama pihak berkaitan, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata agenda pembinaan perumahan untuk rakyat itu menjadi salah satu fokus utama perbincangan yang turut melibatkan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut.
Beliau menyambut baik usaha itu yang dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerjasama erat antara PMINT, Pejabat Daerah dan Kerajaan Terengganu ini diharap dapat memastikan setiap projek menepati keperluan masyarakat, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersama PMINT, di sini.

Dalam rangka lawatan berkenaan, rombongan turut meninjau tapak cadangan projek perumahan di Kampung Durian Telor berhampiran Tasik Telabak, sebagai langkah awal menilai kesesuaian kawasan sebelum dilaksanakan.
Lawatan diteruskan ke sekitar Kampung Pasir Akar bagi meninjau keperluan semasa penduduk serta mengenal pasti potensi pembangunan lain yang boleh dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat Hulu Besut.
