lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Rekod Hampir 7 Juta Pelancong, Atasi Jangkaan Awal
Terengganu Rekod Hampir 7 Juta Pelancong, Atasi Jangkaan Awal
KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu terus mencatatkan perkembangan positif dalam sektor pelancongan apabila merekodkan kehadiran kira-kira 6.9 juta pelancong setakat Jun 2025. Perkara ini telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dalam satu kenyataan, semalam. Menurut beliau, angka tersebut dilihat memberi isyarat positif apabila ia semakin menghampiri sasaran tahunan bagi tahun ini iaitu 8.5 juta pelancong.  Tambahnya, pencapaian itu hasil kerjasama erat Jabatan Pelancongan negeri bersama agensi-agensi berkaitan yang sentiasa komited memastikan kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa ke Terengganu. "Ni bukan perkara kecil, ia hasil kerja keras semua pihak yang bertungkus-lumus siang malam untuk memastikan Terengganu terus menjadi pilihan pelancong. "Jadi, alhamdulillah berjaya," katanya ketika berucap bagi Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025 di Pantai Teluk Ketapang. Pengunjung mencuba permainan lastik tradisional di Karnival Pantai 2025 Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 70 peratus merupakan pelancong domestik, manakala 30 peratus lagi merupakan pelancong antarabangsa. Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong memaklumkan bahawa negeri itu telah menerima 2.1 juta pelancong pada suku pertama 2025. Pengunjung menyaksikan persembahan wayang kulit di Karnival Pantai 2025   Meskipun dalam tempoh tersebut Terengganu masih berhadapan cabaran Monsun Timur Laut dan beberapa destinasi pantai peranginan masih belum dibuka sepenuhnya. Sulaiman yakin sasaran 8.5 juta pelancong mampu dicapai tahun ini, apatah lagi dengan rekod cemerlang tahun lalu apabila Terengganu berjaya menarik 7.8 juta pelancong, jauh mengatasi sasaran asal 4.5 juta orang.
15 Sep 25
3715
SG4 Inspirasi Strategik Asia Tenggara Bela Palestin
SG4 Inspirasi Strategik Asia Tenggara Bela Palestin
JITRA, 14 September – Model SG4 gabungan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis boleh dijadikan inspirasi strategik untuk direalisasikan dalam konteks Asia Tenggara bagi membela Palestin. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama SG4 membuktikan bagaimana empat negeri ini mampu bergabung menggerakkan kekuatan bersama meskipun berhadapan keterbatasan kuasa pusat. Katanya, inisiatif yang berteraskan pembangunan Islam, pengukuhan pendidikan, ekonomi halal serta solidariti ummah ini boleh dijadikan rujukan penting bagi kerjasama lintas negara di rantau Asia Tenggara. “Jika negeri-negeri dalam Malaysia mampu membentuk satu kerangka solidariti dinamik, rantau ini juga boleh membina Blok Solidariti ASEAN untuk Palestin yang lebih tersusun,” jelasnya ketika menyampaikan Ucaptama Muslim Ummah International Forum di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, kelmarin.  Menurutnya, SG4 menjadikan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai tonggak utama. Universiti serta sekolah-sekolah di negeri berkenaan telah mengintegrasikan isu Palestin dalam program kesedaran, kajian akademik, dan aktiviti pelajar. “Model ini boleh diperluaskan ke peringkat ASEAN dengan menggalakkan universiti Islam di Indonesia, Malaysia, Brunei, Thailand Selatan dan Filipina Selatan membentuk Konsortium Akademik ASEAN-Palestin. Ia boleh berfungsi sebagai pusat penyelidikan, wacana ilmiah, serta penerbitan naratif alternatif bagi menangkis propaganda Zionis,” ujarnya. Beliau menambah, SG4 turut menekankan pembangunan ekonomi berdaya tahan melalui industri halal, koperasi, serta agihan zakat. “Strategi ini boleh dijadikan asas untuk menggerakkan Tabung Waqaf ASEAN-Palestin, di mana dana kolektif daripada zakat, wakaf dan sumbangan masyarakat disalurkan bagi membiayai bantuan kemanusiaan serta menyokong agenda BDS di rantau ini. Pendekatan ekonomi Islam sebagai wahana solidariti ini juga sejalan dengan kajian Antonio,” katanya. Dalam bidang media dan diplomasi rakyat pula, jelasnya, SG4 sering menekankan kepentingan naratif Islam dan tempatan bagi menentang hegemoni wacana Barat. “Pendekatan ini boleh diperluas ke tahap serantau menerusi penubuhan ASEAN Media Collective For Palestine. Media Islam, portal berita dan badan penyiaran di rantau ini boleh diselaraskan untuk menghasilkan liputan konsisten mengenai Palestin, sekali gus mencabar dominasi media pro-Zionis,” ujarnya.
15 Sep 25
65
Karnival Pantai Diserbu Lebih 130,000 Pengunjung, Hujan Bukan Penghalang
Karnival Pantai Diserbu Lebih 130,000 Pengunjung, Hujan Bukan Penghalang
KUALA NERUS, 15 September - Meskipun keadaan cuaca yang kurang mengizinkan, kehadiran pengunjung ke Karnival Pantai 2025 di Teluk Ketapang berjaya menarik lebih 130,000 pengunjung selama empat hari ia berlangsung. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keunikan yang ada pada Karnival Pantai menjadi faktor utama pengunjung untuk hadir meskipun terdapat halangan cuaca. “Saya dimaklumkan bahawa sepanjang empat hari penganjuran, walaupun dilanda hujan lebat, jumlah pengunjung yang hadir ke Karnival Pantai 2025 ini melebihi 130,000 orang. Dua malam hujan, mereka tetap datang, tetap bersama-sama memeriahkan suasana. “Pelbagai permainan tradisional yang disediakan mendapat sambutan hangat. Lastik, tarik upih, dan macam-macam lagi, semuanya dicuba oleh pengunjung. Respon yang saya terima daripada sahabat-sahabat dari luar negeri sangat positif. “Inilah keunikan kita. Negeri lain mungkin ada acara mereka tersendiri, tetapi acara seperti ini hanya ada di negeri kita. Ia menonjolkan identiti, warisan, dan kekuatan budaya masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025, semalam. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha untuk 'menjual' lebih banyak acara berkonsepkan warisan budaya yang unik di Terengganu dalam anjuran akan datang. "Saya dah turun ke semua daerah. Macam-macam budaya ada. Kalau Kuala Berang dialek percakapan tu dua tiga jenis dah. Marang pun sama. Marang tu kawasan Kedai Buluh dialek percakapan dia lain. "Ini semua kita nak kena beritahu kepada generasi penerus supaya dia faham bahawasanya daerah-daerah di Terengganu ni macam-macam apa ada. Makanan beratus makanan. Pakaian songket, batik, lukisan, kebudayaan. "Silap gayung tu memang popular dah, yang lain banyak lagi, tarian-tarian lama yang kita boleh olah mengikut apa kehendak kerajaan sekarang ini. Kita boleh tunjuk ke seluruh negara," jelasnya. Tambahnya lagi, kehadiran pengunjung yang ramai ke karnival tersebut turut menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi rakyat negeri yang mencuri peluang untuk berniaga sepanjang ia berlangsung. "Dengan kehadiran 130,000 itu, apa yang kita dapat? Sekurang-kurangnya peniaga-peniaga secara langsung dapat limpahan ekonomi. Oleh kerana malam ini malam terakhir, kita pergi tadi (di ruangan penjaja) barang-barang makanan habis dah. "Tidak cukup. Keropok tidak cukup. Satar tidak cukup. 'Otak-otak' tidak cukup. Semua makanan tradisional belaka.  "Yang inilah saya rasa sangat teruja dan insya-Allah untuk tahun depan kita fokus lagi supaya Karnival Pantai 2026 lebih hebat lagi dengan peralatan, dengan acara, dengan makanan, dengan persembahan semua tradisional," ujarnya.
15 Sep 25
124
Faris Juara Piala Sultan Mizan 2025
Faris Juara Piala Sultan Mizan 2025
SETIU, 14 September – Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2025 melakar detik penuh gemilang apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari dari State of Terengganu Endurance Team sebagai juara CEI 2* 120KM individu dalam Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong. Dengan catatan masa enam jam satu saat, Faris menunggang kuda kesayangannya, Schyva El Tercero menerima hadiah wang tunai RM18,000 beserta piala pusingan dan medal kemenangan. Lebih manis, Schyva El Tercero turut dinobatkan sebagai Kuda Terbaik kejohanan dengan hadiah tambahan RM25,000, piala serta penghormatan tertinggi apabila Sultan Mizan sendiri berkenan mencemar duli menyuapkan makanan kepada kuda terbaik itu. Nama Faris Haikal bukan asing dalam dunia kuda lasak. Pada 2024, beliau pernah menggegarkan Lembah Bidong apabila menjulang Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bagi kategori CEI*2 120KM dengan catatan enam jam lima minit. Pada edisi 2023 pula, beliau dinobatkan johan 120KM individu dalam Piala Sultan Mizan dengan hadiah wang tunai RM18,480, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai bintang masa depan sukan kuda lasak tanah air. Naib johan tahun ini disandang Muhammad Izhar Hamzah dari Khalifah Arabian Endurance Team dengan masa enam jam 35 minit 08 saat, membawa pulang RM15,000 dan trofi. Tempat ketiga dimenangi penunggang Belarus, Viktoriya Melnikava dari pasukan yang sama, yang menunggang Kaet Tariq dengan hadiah RM10,000. Dalam kategori CEI 1* 100KM, Mohammad Firdaus Hamid dari TNT Endurance Team muncul juara dengan catatan lima jam 52 minit 27 saat, diikuti rakan sepasukan Suhardi Ghani di tempat kedua dan Muhammad Aminuddin Musyarafi dari NEXT Endurance Team di tempat ketiga. Sementara itu, kategori belia CEIYJ 1* 100KM dimenangi Abdullah Faqeh Muhammad dari Ar-Raudhah Al-Amin, diikuti pelumba Thailand, Jatupat Patijaroenchai dari Nahron Sri Riding Club. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Mizan dengan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan keberangkatan Baginda berdua disertai kepimpinan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
14 Sep 25
103
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 14 September – Keunggulan sukan berkuda lasak sekali lagi tersemat dalam lipatan sejarah apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat memimpin pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) hingga berjaya meraih kejuaraan berpasukan dalam acara CEI 2* 120KM Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong. Pasukan RTES yang dianggotai oleh Sultan Mizan, Tengku Muhammad Syukri Tengku Mahmood, Jasryn Jaffly dan Muhammad Aizad Mohd Riduan dinobatkan sebagai pasukan terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi dan pingat yang disempurnakan pengurniannya oleh baginda sendiri. Dalam acara individu, Sultan Mizan yang beradu tenaga di bawah panji RTES, menamatkan perlumbaan penuh cabaran itu dengan catatan masa tujuh jam sembilan minit 55 saat, lantas mempersembahkan kejayaan yang mengharumkan nama negara. Baginda berkenan menerima hadiah tempat kelima yang disembahkan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Turut mencuri tumpuan, paduka anakanda baginda, Tengku Puteri Utama Raja yang mewakili Kelab RTES, telah mempersembahkan tunggangan cemerlang sehingga berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Mini Endurance 15KM VIP. Istiadat penyampaian hadiah penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan hadir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.  
14 Sep 25
68
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
HULU TERENGGANU, 14 September – Dalam kepayahan menempuh banjir saban tahun dan hidup sebagai insan kelainan upaya, seorang bapa di Kampung Lebak tidak mampu menahan sebak apabila anaknya terpilih menyertai Program Walimatul Urus Perdana 2025 anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Bapa pengantin, Sufian Ismail, mengakui perjalanan hidupnya penuh getir sebelum pulang ke kampung halaman mencari rezeki secara sederhana.  "Saya pernah berkhidmat di Media Prima Berhad di Kuala Lumpur sebagai pembantu komunikasi, namun akhirnya saya pulang ke Kuala Berang untuk mencari rezeki dengan menjual aiskrim. "Kali ini anak saya yang diberi peluang menyertai Program Walimatul Urus Perdana. Saya terlalu terharu, dan hanya mampu ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta YPKT kerana memilih anak saya," ujarnya. Dalam luahan hatinya, beliau turut menceritakan cabaran yang sering membelenggu keluarganya di Kampung Lebak yang sudah diwartakan sebagai kawasan banjir.  "Setiap tahun kami diuji dengan bencana ini, sehinggakan Kampung Lebak digazetkan sebagai kawasan banjir, dan saya sendiri pernah menyaksikan segala harta benda tenggelam dalam sekelip mata. "Saya adalah pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM, dengan menerima hanya RM450 sebulan, itulah yang saya gunakan untuk menyara keluarga disamping rezeki tambahan sebagai penjual aiskrim," jelasnya. Menantunya, Mohd Hanafi Mohd Izzuddin yang berasal dari Kuala Lumpur turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri.  "Saya hanyalah seorang anak muda biasa dari Kuala Lumpur, namun diberi penghormatan menyertai program ini bersama pasangan. Saya benar-benar terhutang budi kepada pihak penganjur.  "Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bukan sahaja menganjurkan program ini dengan begitu baik, malah memilih saya dan isteri untuk diraikan bersama pasangan lain," tambahnya. Program Walimatul Urus Perdana 2025 menyaksikan Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan B40 melangsungkan perkahwinan secara serentak di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan dari daerah Hulu Terengganu.” Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.  
14 Sep 25
136
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
SG4 Sepakat Jadi Hab Solidariti Palestin di Asia Tenggara
JITRA, 14 September – Empat negeri dalam blok SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis bersepakat memperkukuh kedudukan sebagai ‘hab solidariti’ Asia Tenggara melalui penganjuran pelbagai program kemanusiaan termasuk kempen kesedaran, kutipan derma serta mobilisasi sukarelawan bagi membela nasib rakyat Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usaha tersebut telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berterusan. “Kerajaan Negeri Kedah bersama rakan-rakan dalam SG4 turut meneroka bidang pendidikan dan pembangunan modal insan bagi membantu rakyat Palestin secara berstruktur, termasuk tawaran biasiswa, pertukaran akademik, latihan kemahiran dan peluang ekonomi. “Inisiatif ini bertujuan memastikan bantuan yang kita salurkan bukan hanya reaktif semata-mata, tetapi membina daya tahan jangka panjang rakyat Palestin serta memperkukuh suara dan gerakan ummah di rantau ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, hari ini. Program tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi. Dalam pada itu, Dr. Haim Hilman menyatakan keyakinan bahawa model kerjasama SG4 mampu diperluas dan dijadikan contoh bukan sahaja kepada negeri-negeri lain di Malaysia, malah juga kepada negara jiran di Asia Tenggara. “Melalui kerjasama serantau, kita dapat menggabungkan sumber dan kepakaran bagi melaksanakan program bantuan kemanusiaan, memperkukuh diplomasi rakyat ke rakyat, serta meningkatkan tekanan moral terhadap pihak-pihak yang terus menzalimi Palestin,” tegasnya.  
14 Sep 25
81
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
JITRA, 14 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang berlangsung di BDB Darul Aman Golf Resort, Kedah, hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran delegasi dari Palestin, Turkiye, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa MUNIF 2025, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan penyertaan negara-negara tersebut sebagai detik bermakna dalam usaha memperkukuh persaudaraan Islam dan solidariti ummah merentasi sempadan. “Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur, saya mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu kehormat, para peserta serta rakan-rakan media. “Kehadiran anda semua memberikan suntikan semangat dan keyakinan bahawa usaha memperteguh suara dan gerakan umat Islam bukan sekadar retorik, tetapi boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan strategi nyata,” katanya ketika berucap di forum tersebut. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah, serta sokongan erat anggota SG4 iaitu Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis yang bersama menjayakan penganjuran forum ini. “Terima kasih juga kepada penganjur bersama serta para penaja daripada institusi dalam dan luar negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO dan NGI), syarikat korporat, tokoh masyarakat dan para dermawan yang telah memberikan sumbangan, komitmen dan bantuan signifikan sehingga forum bersejarah ini dapat direalisasikan,” tambahnya. Forum antarabangsa ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama, memperkasakan wacana Islam global, selain mengangkat semangat kebersamaan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa dunia.
14 Sep 25
364
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
MUNIF Himpun Pemimpin Gerakan Islam, Cendekiawan Perkukuh Sinergi Bina Rangkaian Strategik
JITRA, 14 September - Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) menjadi platform menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, NGO dan Cendekiawan bagi memperkukuh sinergi serta membina rangkaian kerjasama strategik di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga menjadi platform bagi membincangkan agenda tindakan segera dan praktikal bagi menyelamatkan rakyat Gaza dan membebaskan Masjid Al-Aqsa serta bumi Palestin daripada terus dijajah. "Tujuan Munif ini juga diadakan adalah untuk menjana idea serta cadangan berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan bersama melalui saluran kemanusiaan, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi dan diplomasi rakyat ke rakyat. "Melalui firmah Allah adalah menjadi kewajipan  kepada umat Islam untuk bersama dalam isu Palestin,"ujarnya ketika berucap di MUNIF yang diadakan di BDB Darulaman Golf Resort, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, katanya adalah menjadikan harapan agar forum yang diadakan itu akan menjadi pentas penting untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran. "Seterusnya melahirkan resolusi dan pelan tindakan yang lebih tersusun demi kebaikan ummah dan Islam tercinta,"ujarnya.
14 Sep 25
20
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
SETIU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai acara kuda lasak Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, petang tadi. Baginda telah berkenan menyertai kategori Championship Endurance National (CEI) 2*120 Kilometer (KM). Sebanyak empat kategori dan tiga jarak laluan telah dipertandingkan yang melibatkan kategori CEI 2* 120 KM,  CEI 1* 100 KM, CEYJ 1* 100 KM dan CEN 80 KM. Kejuaraan kali ini dengan penyertaan seramai 128 peserta turut menampilkan penyertaan daripada Malaysia serta tujuh negara luar, termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, China, Jepun, Belarus dan Rusia. Mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan bersarungkan rompi biru bernombor sembilan, Sultan Terengganu bersama tunggangan pilihannya iaitu seekor kuda kelabu bernama M M Daykir, bersedia menentang 22 pencabar lain dalam kategori sama. Turut kembali bersama pasukan Unit Berkuda PDRM petang tadi ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husian, selaku penunggang bernombor 153 yang beraksi dalam kategori CEN 80KM bersama kudanya, Gelding. Perlumbaan yang bermula di litar berkeluasan 47 hektar dalam daerah Setiu itu dilepaskan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang. Dengan jangkaan lebih 12 jam, perlumbaan tersebut dijadualkan untuk melabuhkan tirai seawal 5.20 pagi esok.  
13 Sep 25
169