Artikel "Utama" Terkini
Muktamar PAS Fokus Ekonomi, Sosial dan Keharmonian Kaum
HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Muktamar Agung PAS kali ini amat signifikan kerana berlangsung hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus menjadi medan penting untuk memperdebatkan isu ekonomi, sosial, keharmonian kaum serta hala tuju parti sebagai kuasa politik nasional.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, perbahasan muktamar dijangka menumpukan pengukuhan dalaman parti serta agenda besar yang menyentuh masa depan negara.
“Kita percaya bahawa Muktamar kali ini adalah Muktamar yang begitu hampir dengan pilihan raya umum ke-16.
"Jadi tentunya selain daripada pengukuhan parti, dan untuk meletakkan parti PAS di persada negara dan nasional sebagai parti yang berkaliber dan ada keupayaan untuk memimpin negara, sudah tentulah ini antara perkara yang akan diperbahaskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, perbahasan kali ini bukan hanya menilai kekuatan PAS, tetapi turut memperhalusi dasar-dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.
"Dari aspek sosialnya, dari aspek ekonomi, dari aspek keharmonian kaum, dan apa yang perlu dilaksanakan oleh kepimpinan parti.
"Jadi ia akan jadi lebih inklusif, apa yang diperjuangkan oleh PAS ini, untuk membawa PAS bersama dengan rakan muafakat politik," katanya.
Ahmad Samsuri menegaskan bahawa kejayaan dalam PRU-16 tidak akan tercapai sekiranya PAS bergerak bersendirian tanpa dukungan rakan sekutu politik.
"Kita tidak mahu menjadi single parti yang mengadakan usaha dalam pilihan raya nanti.
"Kita percaya kemenangan boleh dicipta dalam pilihan raya akan datang jika sekiranya kita memperkukuhkan muafakat politik, dan mempereratkan kerjasama di seluruh negara," ujarnya.
13 Sep 25
68
Dah Sampai Masa PAS Terajui PN – Dr Sam
HULU TERENGGANU, 13 September – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan sudah tiba waktunya PAS diberi mandat untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai peneraju blok pembangkang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan politik tanah air.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan diberi perhatian serius menjelang mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat esok.
"Kita pantau pandangan-pandangan yang diberikan oleh pihak di luar sana termasuk daripada sayap-sayap parti yang telah mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka.
"Saya percaya cadangan tersebut adalah satu perkara penting yang akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat pada hari esok," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menekankan bahawa Muktamar PAS Pusat yang bermula Isnin ini bakal menjadi medan perbincangan besar mengenai hala tuju parti dalam PN.
"Pada hari Isnin akan bermula muktamar agung PAS Pusat.
"Saya rasa sudah sampai waktu dan ketikanya untuk PAS berbincang dengan rakan muafakat politik untuk PAS pula mengambil alih dan mengetuai kerusi ini secara muafakat politik," jelasnya.
13 Sep 25
526
24 Pasangan Mempelai Marang Dirai Meriah
MARANG, 13 September– Program Walimatulurus Perdana 2025 kembali mewarnai suasana dengan penuh barakah apabila seramai 24 pasangan daerah ini dirai pada majlis yang penuh bermakna di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung serentak di seluruh Negeri Terengganu itu turut menyaksikan 192 pasangan diraikan, menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, tujuan majlis ini adalah untuk meringankan beban pasangan pengantin serta memupuk suasana kekeluargaan masyarakat melalui perkahwinan yang diurus secara berjemaah.
"Tahniah diucapkan kepada semua pasangan pengantin yang diraikan. Semoga kehidupan berumah tangga mereka dilimpahi keberkatan, dipenuhi mawaddah, sakinah dan rahmat Allah hingga ke syurga," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pasangan mempelai agar sentiasa bersabar, bersikap tolak ansur serta menggunakan kebijaksanaan dalam mengharungi cabaran kehidupan berumahtangga.
13 Sep 25
120
225 Permohonan Sertai Walimatul Urus Perdana Diterima, 192 Lulus Saringan
KUALA TERENGGANU, 11 September - Permohonan Program Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 2025 berjaya meraih sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri.
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Ahmad Faris Abdul Razak berkata, pihaknya telah menerima sejumlah 225 permohonan sejak iklan dibuka kepada umum pada Mac lalu.
"Alhamdulillah, pada peringkat awal kita membuka iklan bagi permohonan program walimatul urus ini kita menerima jumlah angka yang besar.
"225 permohonan telah kita terima, dan akhirnya sebanyak 192 permohonan yang menepati kelayakan untuk kita pertimbangkan mengikuti Walimatul Urus Perdana untuk tahun 2025 ini," katanya.
Menurut beliau, sebahagian besar daripada 33 pasangan yang tidak dapat turut serta adalah mereka yang menarik diri daripada permohonan awal.
"Mungkin (sebab menarik diri) dari segi kommitmen tarikh dan sebagainya. Dan ada yang sememangnya tidak melepasi syarat yang telah kita tetapkan.
"Jadi angka akhir yang kita dapat untuk program pada kali ini adalah sebanyak 192 pasangan, masih lagi tinggi. Alhamdulillah.
Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Bicara Khas: Walimatul Urus Perdana & Portal Jodoh terbitan TV Darul Iman, semalam
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim.
Tambahnya, program perkahwinan percuma yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada 13 September 2025 ini akan dilangsungkan secara serentak di seluruh lapan daerah dalam negeri.
"Tarikh yang sama, masa yang sama. Jadi boleh bayanglah meriahnya negeri Terengganu pada hari itu," ujar beliau.
Ulasnya lagi, daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 39 pasangan.
11 Sep 25
1091
Pendapatan Per Kapita Tidak Cerminkan Situasi Sosioekonomi Rakyat - Dr. Azman
KUALA TERENGGANU, 11 September - Pendapatan per kapita tidak boleh dijadikan ukuran sebenar tahap sosioekonomi rakyat, sebaliknya ia hanya memberi gambaran umum terhadap perkembangan ekonomi sesebuah negara atau negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim mempersoalkan sejauh manakah laporan bertulis itu mampu mencerminkan situasi sebenar ekonomi rakyat.
Beliau menjelaskan, secara asasnya pendapatan per kapita merujuk kepada jumlah pendapatan tahunan negara dibahagikan secara sama rata kepada setiap penduduk.
"Contohnya, dalam satu komuniti ada 5 orang penduduk: A bergaji RM2 ribu, B bergaji RM4 ribu, C bergaji 5 ribu, D bergaji 8 ribu dan E bergaji 10 ribu.
"Pendapatan per kapita komuniti ini ialah RM29,000/5=RM5,800. Atas kertas maknanya pendapatan per kapita komuniti ini sudah keluar dari garis kemiskinan.
"Tapi hakikat sebenarnya A masih hidup di bawah paras kemiskinan," jelasnya dalam satu kenyataan melalui hantaran Facebook rasminya, semalam.
Tegas Azman, kaedah yang lebih terperinci harus digunakan untuk memberi gambaran sebenar ekonomi rakyat yang berbagai latar belakang.
"Untuk menilai keadaan ekonomi rakyat, perlu ada kaedah lain yang lebih terperinci dan menggunapakai kaedah lain," katanya.
Cadangan sedemikian mampu dilihat sebagai satu langkah untuk meningkatkan pemahaman yang tepat terhadap kedudukan sebenar ekonomi rakyat.
Seterusnya mampu menjadi penanda aras agar dasar yang digubal benar-benar memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan sasar.
11 Sep 25
21
Kerjasama EPIC–Velesto Kukuhkan Pelabuhan Kemaman Nadi Hab Tenaga
KUALA LUMPUR, 11 September – Eastern Pacific Marine Services Sdn. Bhd. (EPMSSB), anak syarikat EPIC Berhad, memeterai Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bersama Velesto Energy Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd., bagi menyediakan perkhidmatan sokongan marin strategik di Pelabuhan Kemaman, sekali gus mengukuhkan kedudukan pelabuhan itu sebagai pusat tenaga utama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili, menegaskan bahawa perjanjian ini adalah tanda keyakinan industri terhadap kemampuan syarikat tempatan dalam membina keunggulan pelabuhan.
"Kerjasama yang terjalin mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat serta komitmen dalam memenuhi keperluan industri melalui penyediaan perkhidmatan marin dan pelabuhan yang cekap dan dipercayai.
"MSA ini bukan sahaja menetapkan rangka kerja yang jelas untuk kerjasama dalam sokongan operasi luar pesisir, tetapi turut memperkukuh kedudukan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama sektor minyak dan gas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemeteraian dan Pertukaran Perjanjian Perkhidmatan Induk antara EPMSSB dan Velesto Drilling Sdn Bhd, bersempena Pameran Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut bersama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC Berhad, Wan Azilah Wan Abdullah, Naib Presiden, Operasi Velesto, Norzaidi Mohd Zahidin, Pengurus Besar Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, EPIC Berhad, Kapten Mohd Kamarul Mamat.
Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi ini akan memberi impak positif terhadap daya saing dan keupayaan negara dalam sektor tenaga yang semakin mencabar.
"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan pihak Velesto dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang sejajar dengan penanda aras serta piawaian industri.
"Dengan termeterainya MSA ini serta kontrak-kontrak lain yang sedang berjalan, EPMSSB berada di landasan yang tepat untuk terus memperkasa peranan syarikat dalam merancakkan industri minyak, gas dan maritim, di samping menyokong pertumbuhan mampan sektor tenaga serantau," jelasnya.
11 Sep 25
221
Alumni Mahasiswa dan Belia di DUN Diwujudkan
Satu inisiatif baharu bakal dilaksanakan dengan mewujudkan platform alumni di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghimpunkan bekas pelajar daripada pelbagai universiti, termasuk wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belia bermula awal tahun hadapan.
10 Sep 25
15
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
Usaha menghidupkan kembali permainan-permainan tradisional dalam komuniti dilihat mampu menjana perpaduan lebih erat di kalangan ahli masyarakat.
10 Sep 25
29
UIAM Dinobat Juara Sulung Sukan Mahasiswa Anak Terengganu 2.0
KUALA TERENGGANU, 10 September – Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan sulung Sukan PERMATA Kebangsaan (SUPER-K) edisi kedua yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Pasir Panjang, di sini.
Kejayaan itu menobatkan UIAM sebagai pasukan pertama merangkul gelaran berprestij tersebut selepas kategori Juara Keseluruhan diperkenalkan buat kali pertama dalam penganjuran tahun ini.
SUPER-K 2.0 menghimpunkan seramai 380 pemain daripada 21 pasukan PERMATA seluruh universiti di Malaysia, sekali gus memperlihatkan pertambahan penyertaan berbanding edisi sulung yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pengarah SUPER-K 2.0, Muhammad Mustaqim Zachury berkata, kejayaan penganjuran kali ini membuktikan kejohanan tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa anak Terengganu serta berupaya mengangkat semangat kesukanan dan perpaduan di IPT.
“SUPER-K 2.0 bukan sekadar kejohanan, tetapi ruang membina sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa. Kita amat berbangga dengan penyertaan yang sangat menggalakkan tahun ini.
“Diharapkan kejohanan ini dapat diteruskan secara konsisten setiap tahun dengan skala yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas pada masa akan datang,” katanya.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Kejohanan itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu serta penaja yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran di peringkat kebangsaan.
10 Sep 25
434
Penamatan Subsidi Cetus Semula Masalah Bekalan Beras Tempatan
KUALA TERENGGANU, 9 September – Penamatan Program Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) pada 31 Ogos lalu kembali mencetuskan masalah bekalan di pasaran apabila pengedar dan pembekal tidak lagi mampu mengekalkan harga runcit RM2.60 sekilogram tanpa sokongan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan itu menyebabkan penghantaran beras terhenti dan BPT mula menghilang semula dari pasaran.
“Bukan kerana beras tempatan tidak laku, tetapi kerana mekanisme subsidi yang berakhir pada 31 Ogos lalu membuatkan pembekal kembali berada dalam dilema dan ketidakpastian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Beliau menjelaskan, program subsidi berjumlah RM150 juta yang diumumkan kerajaan pada Februari lalu dilaksanakan bagi menstabilkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram selama enam bulan.
“Program ini menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit beras, dengan kerajaan membayar RM6.25 bagi setiap kampit.
“Manfaat langsung hanya diperoleh oleh pengilang, pembungkus dan pengedar BPT, manakala petani serta pesawah tidak menerima apa-apa faedah.
“Sepanjang enam bulan, pengguna mendapat manfaat apabila BPT kembali mudah didapati di pasaran,” jelasnya.
Dr. Azman menegaskan, pendekatan subsidi bersifat sementara tidak mampu menjadi penyelesaian konkrit kepada isu beras negara.
09 Sep 25
144