JITRA, 14 September – Model SG4 gabungan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis boleh dijadikan inspirasi strategik untuk direalisasikan dalam konteks Asia Tenggara bagi membela Palestin.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama SG4 membuktikan bagaimana empat negeri ini mampu bergabung menggerakkan kekuatan bersama meskipun berhadapan keterbatasan kuasa pusat.
Katanya, inisiatif yang berteraskan pembangunan Islam, pengukuhan pendidikan, ekonomi halal serta solidariti ummah ini boleh dijadikan rujukan penting bagi kerjasama lintas negara di rantau Asia Tenggara.
“Jika negeri-negeri dalam Malaysia mampu membentuk satu kerangka solidariti dinamik, rantau ini juga boleh membina Blok Solidariti ASEAN untuk Palestin yang lebih tersusun,” jelasnya ketika menyampaikan Ucaptama Muslim Ummah International Forum di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, kelmarin.

Menurutnya, SG4 menjadikan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai tonggak utama. Universiti serta sekolah-sekolah di negeri berkenaan telah mengintegrasikan isu Palestin dalam program kesedaran, kajian akademik, dan aktiviti pelajar.
“Model ini boleh diperluaskan ke peringkat ASEAN dengan menggalakkan universiti Islam di Indonesia, Malaysia, Brunei, Thailand Selatan dan Filipina Selatan membentuk Konsortium Akademik ASEAN-Palestin. Ia boleh berfungsi sebagai pusat penyelidikan, wacana ilmiah, serta penerbitan naratif alternatif bagi menangkis propaganda Zionis,” ujarnya.
Beliau menambah, SG4 turut menekankan pembangunan ekonomi berdaya tahan melalui industri halal, koperasi, serta agihan zakat.
“Strategi ini boleh dijadikan asas untuk menggerakkan Tabung Waqaf ASEAN-Palestin, di mana dana kolektif daripada zakat, wakaf dan sumbangan masyarakat disalurkan bagi membiayai bantuan kemanusiaan serta menyokong agenda BDS di rantau ini. Pendekatan ekonomi Islam sebagai wahana solidariti ini juga sejalan dengan kajian Antonio,” katanya.
Dalam bidang media dan diplomasi rakyat pula, jelasnya, SG4 sering menekankan kepentingan naratif Islam dan tempatan bagi menentang hegemoni wacana Barat.
“Pendekatan ini boleh diperluas ke tahap serantau menerusi penubuhan ASEAN Media Collective For Palestine. Media Islam, portal berita dan badan penyiaran di rantau ini boleh diselaraskan untuk menghasilkan liputan konsisten mengenai Palestin, sekali gus mencabar dominasi media pro-Zionis,” ujarnya.