lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jangan Panik, Tiada Jangkitan Coronavirus Di Terengganu
Jangan Panik, Tiada Jangkitan Coronavirus Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak panik dan mempercayai sebarang berita palsu berkaitan jangkitan Novel Coronavirus di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menegaskan perkara itu selepas tersebar berita seorang kanak-kanak yang disyaki dijangkiti Coronavirus dilarikan dari Hospital Kemaman. Sebaliknya apa yang berlaku katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak faham dengan apa yang dimaklumkan oleh doktor kerana masalah komunikasi bahasa lalu membawa pulang semula anaknya ke tapak ECRL dan bukannya melarikan diri. "Tambahan pula kanak-kanak berkenaan cuma mengalami simpton Coronavirus dan masih belum disahkan positif penyakit itu sebagaimana tular di laman sosial. "Sebarang maklumat selanjutnya akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Hospital Terengganu dalam masa terdekat, warga Kemaman khususnya jangan panik dan mempercayai khabar angin," tegasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi. Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kanak-kanak tersebut bagaimanapun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dikuarantin. "Pihak Hospital meminta bantuan Polis untuk mengesan kanak-kanak ini. Polis serta-merta mengambil tindakan bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak ini di ECRL. "Kemudiannya membawa kanak-kanak ini menaiki ambulans dan terus dibawa ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," tambah beliau. Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia lima tahun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Bagaimanapun pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki Patient Under Investigation (PUI) atau pesakit Coronavirus. Pihak hospital memberi rawatan biasa kepada kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu dimasukkan ke wad di hopsital berkenaan jam 6.15 petang tadi, Terdahulu dilaporkan, kanak-kanak itu bersama ibu bapanya ke Hospital Kemaman jam 13.34 tengah hari tadi untuk mendapatkan rawatan.  
27 Jan 20
82
Kesedaran Derma Organ Di Terengganu Masih Rendah
Kesedaran Derma Organ Di Terengganu Masih Rendah
Alias Razak. KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Kesedaran menderma organ secara sukarela di negeri Terengganu masih belum berada pada tahap membanggakan.       Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ia berikutan hanya 1.8 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan rakyat Terengganu yang telah berikrar menderma organ selepas kematian.   Jelasnya, sehingga kini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hanya merekodkan sekitar 22,540 pengikrar berbanding lebih 1.2 juta penduduk negeri itu.   “Daripada jumlah itu, seramai 10 orang penderma sahaja telah berjaya mendermakan orang mereka kepada golongan yang memerlukan. Ia melibatkan perndermaan buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan organ-organ lain. “Apa yang menjadi halangan adalah faktor budaya dan agama yang menganggap bahawa pendermaan organ dan tisu menyalahi hukum sedangkan bagi orang Islam terdapat fatwa yang jelas bahawa perkara itu dibenarkan,” katanya.   Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 2020 di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini hari ini.   Walau bagaimapun katanya, beliau yakin kesedaran itu akan meningkat dari semasa ke semasa berikutan sudah ramai yang mula menyedari akan kepentingan pendermaan organ.   “Semoga orang ramai akan terus meningkatkan kesedaran mereka dan mendaftar sebagai penderma organ.   “Kita boleh mendaftar apabila kita meneliti segala aspek dan ilmu pengetahuan serta menolak persepsi negatif yang mengatakan bahawa ia akan memudaratkan kesihatan penderma,” tambah beliau.      
18 Jan 20
155
Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan Akan Dibaik Pulih
Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan Akan Dibaik Pulih
Dr Alias (tengah) akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu. Oleh : Safwan Syakir       KUALA NERUS, 26 Ogos - Tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan di sini akan dibaik pulih dengan segera bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar akibat pengurusan sampah yang tidak sempurna.   Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menegaskan, proses membaik pulih tempat berkenaan turut melibatkan pembinaan tapak baharu berdekatan ‘landfill’ sedia ada bagi menampung lebihan sampah.   Beliau walau bagaimanapun berkata, peruntukan untuk tujuan tersebut akan dirunding dan dibincang terlebih dahulu bersama kerajaan negeri dan jabatan terlibat sebelum sebarang operasi dilaksanakan.   “Kita sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri bagi mewujudkan satu lagi tapak pelupusan baharu di atas tanah kerajaan berdekatan tapak sedia.   “Peruntukan berkenaan turut akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur  tempat pelupusan sampah sedia ada seperti jalan raya dan saliran longkang bagi memudahkan laluan keluar masuk lori sampah,” ujarnya.     Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke tapak pelupusan sampah berkenaan di sini, hari ini.   Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok.   Sebelum itu, Dr. Alias yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, pihaknya menyambut baik cadangan untuk menggunakan teknologi baharu bagi melupuskan sampah.   Katanya, inisiatif berkenaan akan diteliti terlebih dahulu memandangkan teknologi itu masih belum terpakai sepenuhnya di Malaysia.   “Teknologi itu boleh memproses sampah menjadi tenaga, sudah tentu teknologi ini banyak manfaatnya, antaranya ia mampu menjimatkan penggunaan tanah.   “Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam tempoh percubaan melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Incoporated (Terengganu Inc), kita akan lihat hasilnya nanti,” tambah beliau.   Dr Alias berkata air buangan sisa pepejal itu berisiko mengancam kehidupan haiwan di sungai yang berdekatan. Untuk rekod, tapak pelupusan sampah Sungai Ikan yang dibuka pada tahun 2005 itu meliputi kawasan seluas 34.5 hektar.       Dianggarkan sampah yang dibuang pada hari biasa adalah sekitar 250 hingga 280 tan sehari dan pada musim perayaan jumlah sampah akan berganda mencecah hampir 320 tan sehari.      
26 Aug 19
2549