JITRA, 14 September – Empat negeri dalam blok SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis bersepakat memperkukuh kedudukan sebagai ‘hab solidariti’ Asia Tenggara melalui penganjuran pelbagai program kemanusiaan termasuk kempen kesedaran, kutipan derma serta mobilisasi sukarelawan bagi membela nasib rakyat Palestin.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usaha tersebut telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berterusan.
“Kerajaan Negeri Kedah bersama rakan-rakan dalam SG4 turut meneroka bidang pendidikan dan pembangunan modal insan bagi membantu rakyat Palestin secara berstruktur, termasuk tawaran biasiswa, pertukaran akademik, latihan kemahiran dan peluang ekonomi.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan bantuan yang kita salurkan bukan hanya reaktif semata-mata, tetapi membina daya tahan jangka panjang rakyat Palestin serta memperkukuh suara dan gerakan ummah di rantau ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) di BDB Darul Aman Golf Resort, di sini, hari ini.

Program tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Dr. Haim Hilman menyatakan keyakinan bahawa model kerjasama SG4 mampu diperluas dan dijadikan contoh bukan sahaja kepada negeri-negeri lain di Malaysia, malah juga kepada negara jiran di Asia Tenggara.
“Melalui kerjasama serantau, kita dapat menggabungkan sumber dan kepakaran bagi melaksanakan program bantuan kemanusiaan, memperkukuh diplomasi rakyat ke rakyat, serta meningkatkan tekanan moral terhadap pihak-pihak yang terus menzalimi Palestin,” tegasnya.