lightning-solid
Berita :
Terengganu Rekod Hampir 7 Juta Pelancong, Atasi Jangkaan Awal
Terengganu Rekod Hampir 7 Juta Pelancong, Atasi Jangkaan Awal
Ahmad Zaeem Zainudin
15 Sep 25
3713

KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu terus mencatatkan perkembangan positif dalam sektor pelancongan apabila merekodkan kehadiran kira-kira 6.9 juta pelancong setakat Jun 2025.

Perkara ini telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, angka tersebut dilihat memberi isyarat positif apabila ia semakin menghampiri sasaran tahunan bagi tahun ini iaitu 8.5 juta pelancong. 

Tambahnya, pencapaian itu hasil kerjasama erat Jabatan Pelancongan negeri bersama agensi-agensi berkaitan yang sentiasa komited memastikan kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa ke Terengganu.

"Ni bukan perkara kecil, ia hasil kerja keras semua pihak yang bertungkus-lumus siang malam untuk memastikan Terengganu terus menjadi pilihan pelancong.

"Jadi, alhamdulillah berjaya," katanya ketika berucap bagi Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025 di Pantai Teluk Ketapang.

Pengunjung mencuba permainan lastik tradisional di Karnival Pantai 2025

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 70 peratus merupakan pelancong domestik, manakala 30 peratus lagi merupakan pelancong antarabangsa.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong memaklumkan bahawa negeri itu telah menerima 2.1 juta pelancong pada suku pertama 2025.

Pengunjung menyaksikan persembahan wayang kulit di Karnival Pantai 2025  

Meskipun dalam tempoh tersebut Terengganu masih berhadapan cabaran Monsun Timur Laut dan beberapa destinasi pantai peranginan masih belum dibuka sepenuhnya.

Sulaiman yakin sasaran 8.5 juta pelancong mampu dicapai tahun ini, apatah lagi dengan rekod cemerlang tahun lalu apabila Terengganu berjaya menarik 7.8 juta pelancong, jauh mengatasi sasaran asal 4.5 juta orang.


Artikel Berkaitan