lightning-solid
Berita :
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
Sultan Terengganu Berkenan Mencemar Duli Sertai Sultan Mizan Cup 2025
Ahmad Zaeem Zainudin
13 Sep 25
169

SETIU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai acara kuda lasak Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, petang tadi.

Baginda telah berkenan menyertai kategori Championship Endurance National (CEI) 2*120 Kilometer (KM).

Sebanyak empat kategori dan tiga jarak laluan telah dipertandingkan yang melibatkan kategori CEI 2* 120 KM,  CEI 1* 100 KM, CEYJ 1* 100 KM dan CEN 80 KM.

Kejuaraan kali ini dengan penyertaan seramai 128 peserta turut menampilkan penyertaan daripada Malaysia serta tujuh negara luar, termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, China, Jepun, Belarus dan Rusia.

Mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan bersarungkan rompi biru bernombor sembilan, Sultan Terengganu bersama tunggangan pilihannya iaitu seekor kuda kelabu bernama M M Daykir, bersedia menentang 22 pencabar lain dalam kategori sama.

Turut kembali bersama pasukan Unit Berkuda PDRM petang tadi ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husian, selaku penunggang bernombor 153 yang beraksi dalam kategori CEN 80KM bersama kudanya, Gelding.

Perlumbaan yang bermula di litar berkeluasan 47 hektar dalam daerah Setiu itu dilepaskan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang.

Dengan jangkaan lebih 12 jam, perlumbaan tersebut dijadualkan untuk melabuhkan tirai seawal 5.20 pagi esok.

 


Artikel Berkaitan